|
PERUNTUKAN BAJET
KERAJAAN PERSEKUTUAN PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN 2015-2020
|
|
Tindakan ke-8:
Merancak Pelaburan Awam dan Swasta
51. Bagi tahun
2015, beberapa projek infrastrutur akan dilaksanakan:
·
Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi - Ulu
Klang sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5.3 bilion
ringgit;
·
Kedua: Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping
- Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5 bilion
ringgit;
·
Ketiga: Membina Lebuh Raya Damansara - Shah Alam sepanjang
47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2 bilion ringgit;
·
Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur
- Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan 1.6 bilion
ringgit;
·
Kelima: Menaik taraf landasan keretapi sektor
Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu dan Gua
Musang-Tumpat dengan peruntukan 150 juta ringgit;
·
Keenam: Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer
dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23 bilion ringgit; dan
·
Ketujuh: Projek LRT 3 yang bakal menghubungkan Bandar
Utama sehingga Shah Alam dan Klang, dianggarkan 9 bilion ringgit akan
dilaksanakan.
Tindakan ke-2:
Merasionalisasi Subsidi
72. Kerajaan
telah memperuntukkan 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi pada tahun 1994.
Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion ringgit pada tahun 2014.
73. Bagi
menambahbaik kedudukan kewangan awam, Kerajaan komited untuk melaksanakan
langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini
bertujuan mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan
ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan mempastikan langkah rasionalisasi
subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi mempastikan ianya tidak
membebankan rakyat.
74. Kini,
lebih 21 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol
RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi telah
meningkat lebih 14 kali ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada
23.5 bilion ringgit tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit
petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6
juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013.
75. Oleh yang
demikian, bagi mempastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan
mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi
subsidi, Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi
petroleum yang akan saya umumkan dalam masa terdekat.
108.
Sememangnya, Kerajaan sentiasa mengambil berat dan amat prihatin dalam
membangun dan membela nasib rakyat di Sabah dan Sarawak dalam agenda
pembangunan negara.
109.
Sehubungan itu, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara-Selatan telah
mentransformasikan pembangunan dari Perlis ke Johor, Kerajaan akan mula
membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer melibatkan jajaran
Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer
dengan kos pembinaan sebanyak 27 bilion ringgit.
115. Sebagai
tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, Kerajaan akan
memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron
Hawk dari Butterworth ke Labuan, dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.
Mempertingkatkan
Sistem Pengangkutan Awam
142. Bagi
mempertingkatkan sistem pengangkutan awam pula, Kerajaan akan memperkenalkan
beberapa program berikut:
·
Pertama: Menyediakan perkhidmatan bas antara
Bandar kepada penduduk yang menetap di luar tetapi bekerja di Kuala Lumpur.
Kemudahan ini menawarkan tambang bulanan pada kadar diskaun 30 peratus.
Sebagai permulaan, 3 laluan bas akan beroperasi iaitu Rawang-KL; Klang-KL dan
Seremban-KL;
·
Kedua: Menyediakan perkhidmatan Electric Train
Service (ETS) Ipoh-Butterworth bermula pada April 2015; dan
·
Ketiga: Menambahbaik Perkhidmatan Bas
Berhenti-henti di beberapa ibu negeri melalui sistem kontrak dengan syarikat
bas sedia ada. Pelaksanaan program ini adalah secara berperingkat dan akan
melibatkan Bandaraya Kuching, Ipoh, Seremban, Kuala Terengganu dan Kangar.
Kemudahan dan
Infrastruktur Luar Bandar
155. Kerajaan juga
terus komited menyedia dan menaiktaraf kemudahan dan infrastruktur luar
bandar. Sejumlah 4.5 bilion ringgit akan diperuntukkan terutamanya di Sabah
dan Sarawak bagi melaksanakan program berikut, antaranya:
·
Pertama: projek jalan luar bandar sepanjang 635
kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak dengan
peruntukan sebanyak 943 juta ringgit;
·
Kelima: Meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar
bandar di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan sewaan pesawat baru dengan
peruntukan sebanyak 160 juta ringgit;
|
|
2016
|
|
MENAMBAH BAIK
INFRASTRUKTUR
74. Langkah 4:
Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial
negara.
75. Terkini,
ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke-25 di antara 160
negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia
2014.
76. Sehubungan
itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah
membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada
2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi –
Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.
77. Untuk
mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota pula, 900 juta ringgit
diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan
dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
78. Kerajaan
juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke
Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.
79.
Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan
Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota
Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan
terbang di Batu Berendam, Melaka.
SISTEM
PENGANGKUTAN AWAM YANG EFISIEN
80. Demi
keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem pengangkutan awam yang efisien
sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang
besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.
81. Izinkan
saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam
sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT – LRT.
82. Bagi
projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh
kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana
Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh
dinaiki pada pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai
10 bilion ringgit.
83. Projek MRT
jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016,
pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dijangka siap
pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan
dengan kos 32 bilion ringgit.
Tuan Yang
Dipertua,
84. Hasil
daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian
perhubungan awam lain seperti berikut:
·
Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang
– Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk
dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana
bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;
·
Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara – Johan
Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk
dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap
pada 2020. Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High
Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan
·
Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid
Transit atau BRT KL – Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT
Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.
PEMBANGUNAN
INFRASTRUKTUR LUAR BANDAR
87. Memang
dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar,
menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan
luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada tahun 2009 kepada 51 ribu
kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan
hampir
95 peratus
mendapat bekalan air.
88. Kerajaan
akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar
seperti berikut:
·
Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta
menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara.
Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di
kawasan penempatan FELDA;
·
Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan
Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di
luar bandar.
MEMPERHEBAT
PEMBANGUNAN SABAH DAN SARAWAK
139. Manakala,
untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan
dilaksanakan:
·
Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang
meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021
dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit. Di Sabah pula, fasa 1
lebuhraya ini, akan mula dibina pada tahun 2016 meliputi 706 kilometer, bermula
dari Sindumin dan akan berakhir di Tawau dengan anggaran kos 12.8 bilion
ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini
akan bebas daripada sebarang bayaran tol;
·
Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara
mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman di Sabah dan Sarawak serta
Labuan. Maka perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi
bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;
|
|
2017
|
|
103.
Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan akan terus komited melaksanakan projek
dan program Rakyat Centric di bandar dan luar bandar seperti berikut:
·
Kedua: Membina dan menaik taraf 616 kilometer
jalan kampung dan jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung,
pekan dan bandar, dengan peruntukan 1.2 bilion ringgit;
·
Ketiga: Bagi menyelenggara jalan negeri, 4.6
bilion ringgit disediakan kepada semua negeri di bawah Sistem Maklumat
Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS;
115.
Bagi meringankan kos sara hidup rakyat, Kerajaan menyediakan peruntukan
subsidi hampir 10 bilion ringgit, merangkumi subsidi bahan api termasuk gas
memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.
179.
Kerajaan juga akan menaiktaraf sistem perparitan dan pembinaan 2 Overhead
Motorcycle Ramp di Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan atau Federal
Highway, bagi mengatasi masalah banjir di laluan motosikal serta menjamin
keselamatan penunggang motosikal. Untuk ini, 29 juta ringgit diperuntukkan.
182.
Bagi merangsang pelaburan swasta, projek-projek infrastruktur akan
dilaksanakan seperti
·
menaiktaraf Jalan Lok Kawi – Pengalat
– Papar, di Sabah;
·
Jalan Kampung Keruak – Gua Musang –
Kuala Berang;
·
membina Jambatan Batang Lupar, Sri
Aman; dan
·
Projek Pembangunan Semula Stesen
Janakuasa Sandakan.
237.
Pengangkutan awam merupakan nadi kepada mobiliti rakyat seharian dalam negara
menuju kemajuan. Jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan
selesa sangat dinanti-nantikan oleh rakyat.
238.
Lantas, seperti dimaklumi, projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya
dan Ampang telah pun beroperasi pada bulan Jun yang lalu.
239.
Manakala perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang akan beroperasi pada
Disember 2016, memanfaatkan 1.2 juta pengguna di Lembah Klang.
240.
Kerajaan juga komited untuk menambah baik pengangkutan awam di luar bandar
dengan langkah-langkah berikut:
·
Pertama: Pelaksanaan projek rel baharu
East Coast Rail Line, menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur
sepanjang 600 kilometer yang melalui Port Klang, ITT Gombak, Bentong,
Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir
di Tumpat secara berfasa dengan anggaran kos 55 bilion ringgit;
·
Kedua: Menggiatkan pelaksanaan
Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak;
·
Ketiga: 100 juta ringgit bagi membaik
pulih Landasan kereta api Pantai Timur, jajaran Gua Musang – Tumpat akibat
kerosakan banjir; dan
·
Keempat: Bagi meningkatkan kekerapan
trip perkhidmatan ETS bagi laluan Johor Bharu – Padang Besar, Kerajaan telah
memperoleh 9 set tren sehingga tahun 2019. Sebagai tambahan, sebanyak 10 set
tren baharu lagi akan diperoleh secara berperingkat sehingga tahun 2019,
dengan peruntukan keseluruhan 1.1 bilion ringgit.
|
|
2018
|
|
69. Dalam mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara
bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan
pengangkutan, melalui langkah berikut:
·
Pertama: Pembinaan projek
East Coast Rail Link atau ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke
Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat membawa muatan kargo dan penumpang dalam
tempoh empat jam. Kerja-kerja pembinaan fizikal akan bermula Januari 2018.
Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia jalan alternatif ke
Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan pengangkutan;
·
Kedua: Projek MRT2
jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi 37
stesen dengan anggaran kos 32 bilion ringgit. Selain itu, Kerajaan akan
mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada
2025, lebih awal berbanding 2027. Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal
menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari
2021;
·
Ketiga: Projek High
Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur- Singapura sejauh 350 kilometer
dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026;
·
Keempat: Berita gembira
buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting
ke Taiping sedang dibina dengan kos lima bilion ringgit;
·
Kelima: Untuk Projek Central
Spine Road, 230 juta ringgit diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi
meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong dan jajaran Gua
Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang;
70. Di samping itu juga, Kerajaan melihat secara holistic keperluan
rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat
dengan langkah berikut:
·
Pertama: Tiga bilion
ringgit disediakan kepada Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset
kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel. Seterusnya, satu
bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja
dan pembelian aset seperti bas dan teksi;
·
Kedua: 95 juta ringgit
bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai;
·
Ketiga: Berikutan
kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45 juta ringgit dibelanjakan bagi
mewujudkan satu sistem kawalan biometric untuk memantau pemanduan
perkhidmatan bas ekspres; dan
·
Keempat: 55 juta ringgit
sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan keretapi luar Bandar, dari Tumpat
ke Gua Musang.
71. Saya membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk
kesejahteraan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kedudukan geografi,
demi kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya, maka saya mengumumkan.
·
Pertama: Kerajaan akan
menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa
Langkawi;
·
Kedua: Membina baharu
lapangan terbang Mukah dan pembesaran lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan;
·
Ketiga: Sementara itu,
satu kajian mengenai lapangan terbang baharu di Pulau Tioman sedang
dijalankan oleh Kerajaan; Menyedia Infrastruktur Rakyat yang Berkualiti
119. Sesungguhnya, kualiti infrastruktur dan interconnectivity negara
akan terus dipermodenkan.
120. Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada projek infrastruktur rakyat
bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita
siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari.
121. Menariknya, MRT ini merupakan success story di mana kita bukan
sahaja dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah, telah
berjaya menjimatkan kos sebanyak dua bilion ringgit daripada jumlah asal
pembinaan.
Tuan Yang Dipertua,
122. Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan
telah mengotakan janjinya melalui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.
123. Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar
kepada urang-urang Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di
kaki-kaki halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu
Song, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar.
Tuan Yang Dipertua,
124. Untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion
ringgit disediakan, antaranya:
·
Pertama: Dua bilion
ringgit untuk projek Lebuhraya Pan Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua 11
pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama
di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender;
|
|
2019
|
|
40. KEEMPAT: Bagi menswastakan aset infrastruktur,
Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan
Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT), yang pertama
di dunia. Pelabur dalam skim REIT ini, akan memperolehi pulangan melalui fi
pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang
iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Melalui inisiatif ini, Kerajaan
berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30% ekuiti
REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur
yang berkualiti. Program ini hanya akan dilaksanakan selepas rundingan fi
pengguna dan Pangkalan Aset Diselia dimuktamadkan.
41. REIT Lapangan Terbang akan berpeluang
menerbitkan unit REIT baharu atau mendapatkan pinjaman bagi membiayai
penambahbaikan lapangan terbang terutamanya lapangan terbang yang melebihi
kapasiti. Struktur kewangan ini akan mengurangkan bebanan hutang Kerajaan
untuk membiayai projek pembesaran lapangan terbang. Pada masa yang sama,
peranan MAHB sebagai operator aset ringan dapat dikekalkan tanpa perlu
dibebankan dengan pelaburan modal dan hutang yang besar. Projek lain juga
boleh menerima pakai pembiayaan dan struktur pelaburan seumpama ini seperti
hospital dan infrastruktur rel.
Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam
Tuan Yang Dipertua,
107. Selepas perbelanjaan perumahan, perbelanjaan
pengangkutan merupakan item perbelanjaan yang terbesar. Kebanyakan isi rumah
tidak hanya memiliki sebuah kenderaan, malah ramai yang memiliki dua buah
kereta. Secara lazimnya, perbelanjaan bulanan bagi sebuah Perodua Myvi adalah
lebih kurang RM900 setelah mengambil kira ansuran bulanan, petrol, bayaran
parkir dan penyelenggaraan. Sehubungan itu, penyelesaian utama untuk meningkatkan
pendapatan boleh guna bagi isi rumah adalah peralihan daripada pemilikan
kereta kepada penggunaan pengangkutan awam.
108. Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan
awam, Kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan
RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL
mulai 1 Januari 2019. Selain itu, pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan bagi
bas RapidKL sahaja juga disediakan. Kempen ini akan diperluaskan bagi
meliputi syarikat bas lain secara berperingkat. Skim ini akan meningkatkan
pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak beberapa ratus ringgit sebulan.
109. Syarikat Prasarana Berhad iaitu anak syarikat
pengangkutan awam milik penuh Kerajaan, akan memperbaiki jaringan
perkhidmatan basnya dengan menggunakan sepenuhnya aset terkini yang
merangkumi 1,131 bas RapidKL, 408 RapidPenang, 69 RapidKuantan dan 300 bas
perantara MRT. Prasarana juga akan melaksanakan model usahasama dengan
syarikat bas swasta yang lain untuk menguruskan laluan dan perkhidmatan,
serta mengawal kos, bagi memaksimumkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.
110. Pengurangan kos untuk LRT3 dan MRT2 juga
boleh meningkatkan kemampanan operasi yang membolehkan tambang dikenakan pada
harga yang lebih rendah untuk pengguna pengangkutan awam. Justeru, ini akan
menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan penggunaan
kereta dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya.
111. Bagi menambahbaik liputan pengangkutan awam
di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperuntukkan RM20 juta,
bagi menyediakan perkhidmatan tambahan bas GoKL secara percuma selain
daripada 4 laluan sedia ada.
112. Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia
Berhad (BPMB) akan menyediakan Tabung Pengangkutan Awam dengan dana RM500
juta yang menawarkan insentif subsidi kadar faedah sebanyak 2% kepada teksi
dan syarikat bas serta pengendali pengangkutan awam. 113. Kerajaan akan
membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuhraya dalam bandar pada tahun
2019 yang melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM700 juta.
Selain itu, Kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama
dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan
implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari
2019.
114. Sebagai tambahan, Kerajaan akan memberi
keutamaan kepada Laluan Tambak Johor dan Laluan Kedua ke Singapura bagi
mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh warganegara Malaysia dan
pemastautin yang mengambil perjalanan ulang alik setiap hari. Sebagai permulaan,
RM10 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf Autogate Malaysia Automated
Clearance System dan M-Bike. Memudahkan Aktiviti Logistik dan
Pengangkutan
Tuan Yang DiPertua,
165. Sektor logistik dan pengangkutan memainkan
peranan yang penting dalam pembangunan negara, memandangkan eksport dan
pembuatan merupakan antara tunjang utama ekonomi Malaysia. Kerajaan akan
memperuntukkan RM2.46 bilion bagi kerja menaik taraf dan memulihara landasan
kereta api untuk mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan negara.
166. Kerajaan komited memacu pembangunan dan
pertumbuhan projek Zon Sempadan Khas Ekonomi Kota Perdana di Bukit Kayu
Hitam, Kedah sebagai pintu gerbang strategik bagi aktiviti perdagangan dua
hala di antara Malaysia dan Thailand. Bagi pelaksanaan peringkat awal projek
ini yang merangkumi pembangunan truck depot, peruntukan sebanyak RM25
juta akan disediakan. 167. Kerajaan bercadang untuk menjadikan tanah seluas
380 ekar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas untuk menyokong dan
memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang. Zone Bebas
baru ini akan menjadi sambungan kepada Port Klang Free Zone (PKFZ).
Tanah ini akan dimajukan melalui kaedah penswastaan atau usahasama dengan
sektor swasta.
183. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab,
pembangunan seimbang diseluruh negara akan diberi penekanan, terutamanya di
kawasan luar bandar. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik dan
meningkatkan kemudahan asas terutama di luar bandar dengan inisiatif berikut:
184. PERTAMA: Membina dan menaiktaraf jalan raya,
jalan luar bandar dan jambatan dengan peruntukan RM926 juta.
190. KETUJUH: Bagi penempatan FELDA, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaiktaraf jalan, RM160 juta bagi
projek sistem bekalan air, RM35 juta bagi projek membina dan naiktaraf
bangunan serta projek pemasangan lampu jalan. Ini adalah peningkatan sebanyak
51% berbanding peruntukan tahun lepas.
191. Kerajaan akan memastikan Sabah dan Sarawak
terus dibangunkan. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5,009 juta untuk
Sabah berbanding RM4,133 juta pada tahun 2018. Bagi Sarawak pula, RM4,346
juta telah diperuntukkan berbanding RM4,336 juta pada 2018.
192. Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek
Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tertakluk kepada kajian rasionalisasi
kos. Di samping itu, projek di Sabah dan Sarawak akan merangkumi pembinaan
dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan
kesihatan dan pendidikan, serta pembangunan koridor ekonomi masing-masing.
|
|
2020
|
|
26. Tidak dapat dinafikan bahawa pelabuhan dan
sistem logistik yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk sebuah negara
perdagangan seperti Malaysia. Laporan Daya Saing Global oleh World Economic
Forum (WEF) 2018 menunjukkan bahawa infrastruktur pengangkutan laut Malaysia
adalah antara yang terbaik di dunia.
27. Pelabuhan Klang kini menduduki tangga ke-12
pelabuhan kontena yang paling sibuk di dunia dan dijangka mencapai kapasiti
penuh dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Oleh itu, Kerajaan sedang
melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan Pulau Carey bagi fasa
pertumbuhan seterusnya. Ini adalah untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai
pusat maritim serantau dan hab logistik kargo yang menggabungkan aktiviti
pembuatan, pengedaran, penyatuan kargo, bunkering dan pembaikan kapal.
28. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan akan
memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan
Klang. Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan
projek Serendah-Port Klang Rail Bypass serta kajian kebolehlaksanaan Koridor
Logistik Klang iaitu lebuh raya logistik baru yang akan dibangunkan khusus
untuk menghubungkan Northport, Westport dan rangkaian lebuh raya yang sedia
ada dengan lebih cekap. Kedua-dua projek ini dianggarkan bernilai RM8.3
bilion.
71. Di samping itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta
khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan
(FELDA), seperti berikut:
·
Kelima : RM90
juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA.
Strategi 8: Pembangunan Inklusif - Peruntukan
RM10.9 bilion untuk
Pembangunan Luar Bandar
115. Satu lagi keutamaan pembangunan ialah jalan luar bandar dan jalan
perhubungan desa, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion di seluruh Malaysia
di mana tumpuan diberikan untuk membina jalan luar bandar di Sabah dan
Sarawak. Projek-projek di Sabah sebanyak RM326 juta dan Sarawak sebanyak
RM224 juta akan memberi faedah kepada 145 ribu penduduk.
116. Kerajaan tetap komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan
Borneo, yang merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah dan
Sarawak. Proses rasionalisasi kos setakat ini telah menghasilkan penjimatan sebanyak
RM1.2 bilion, mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion. Penjimatan ini
membolehkan perancangan Kerajaan untuk projek lain bagi memacu pertumbuhan
ekonomi termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Lebuh Raya Trans Borneo
sepanjang 165 km yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur.
Antara komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40
km Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen,
Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan
119. Selain itu, sejumlah RM4.85 bilion juga akan disediakan di bawah
MARRIS kepada semua Kerajaan Negeri untuk penyelenggaraan jalan raya negeri.
Garis panduan sedia ada tidak membenarkan dana MARRIS digunakan untuk
kerja-kerja membaiki dan menaik taraf jalan. Justeru, untuk memberi lebih kelonggaran,
Kerajaan Negeri dibenarkan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun
dengan menggunakan dana MARRIS sehingga 15 peratus atau RM20 juta, yang mana
lebih rendah.
Strategi 10: Meningkatkan Ekosistem Pengangkutan
Tan Sri Yang Dipertua,
145. Kerajaan komited untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan
mengurangkan kos serta menambah baik infrastruktur pengangkutan.
Mengutamakan
Pengangkutan Awam
146. Pada Januari 2019, Kerajaan telah memperkenalkan pas bulanan tanpa
had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL. Skim ini
telah memberi manfaat kepada lebih 120 ribu pengguna pengangkutan awam.
Kerajaan juga telah melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan
tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan
Rapid Ferry.
147. Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menambah baik
pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau, Kerajaan
berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta
untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara.
148. Untuk kemudahan penduduk luar bandar pula, Kerajaan akan terus
menyokong sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar dengan
memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta
pada tahun 2020.
149. Selain itu, Kerajaan akan menaik taraf landasan keretapi di
kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah dengan
kos sebanyak RM50 juta. Ini akan meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk
tempatan di samping menjadi tarikan pelancong.
Lapangan
Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh
150. Kerajaan juga bercadang untuk menaik taraf lapangan terbang Sultan
Azlan Shah, Ipoh termasuk memanjangkan landasan. Untuk tujuan tersebut,
Kerajaan akan mempelawa cadangan kerjasama awam swasta bagi merealisasikan
projek ini.
Mengurangkan
kesesakan Tambak Johor
151. Saban hari, lebih 300 ribu rakyat Malaysia berulang alik ke
Singapura. Bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, Kerajaan
akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran
trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan
Kuarantin (CIQ). Melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka
untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara
Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik. Sebagai sebahagian daripada langkah
jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan
berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor
Bahru dan Singapura.
Mengurangkan
Beban Tol Lebuh Raya
Tan Sri Yang Dipertua,
152. Dalam Manifesto Pakatan Harapan, adalah dinyatakan bahawa
rundingan akan dilaksanakan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk
mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan
tol secara berperingkat.
153. Jemaah Menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk
daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua
saham PLUS Malaysia Berhad. Selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, rakyat
boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya
milik PLUS. Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan
tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang Kerajaan. Diskaun
tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh
raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan untuk sepanjang baki
tempoh konsesi sehingga 2038, penjimatan kepada pengguna dan rakyat sebanyak
RM43 bilion.
154. Selain itu, Jemaah Menteri juga telah meluluskan pengambilalihan
empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya
Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART
(SMART). Pengenalan caj kesesakan di mana caj kesesakan pada waktu sekitar puncak
dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol
semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak, akan menjimatkan pengguna
lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat
konsesi. Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut
perjanjian konsesi sedia ada.
155. Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan Kerajaan
kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya
melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada
Kerajaan pada masa hadapan. Jelas sekali, Kerajaan menolak dasar Kerajaan
terdahulu yang “menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian”.
156. Semasa Belanjawan 2019, Kerajaan telah menghapuskan tol motosikal
di Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang. Mulai 1 Januari 2020, bagi
menyeragamkan kadar tol di antara Jambatan Pertama dan Kedua, kadar tol untuk
kategori kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang akan disamakan dengan
Jambatan Pertama iaitu dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7.00.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Blog ini membicarakan tetang proses mendapatkan data sekunder, memproses dan proses seterusnya untuk menyiapkan KERJA KURSUS EKONOMI
Rabu, 16 Oktober 2019
BAJET KERAJAAN PERSEKUTUAN 2015-2020-Peruntukan Pengangkutan dna perhubungan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023
Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...
-
RENCANA 2009 BAGAIMANA KEMELESETAN GLOBAL BARU-BARU INI MEMBERIKAN KESAN KEPADA EKONOMI MALAYSIA? (MS:13) ...
-
Tema kerja kursus ekonomi STPM boleh dikategori kepada dua jenis. melibatkan data primer data sekunder biasanya guru lebih cenderung k...
-
sebahagian daripada maklumat berkaitan perkembangan pasaran buruh Malaysia dari tahun 2001 sehingga 2012 yagng boleh dicapai dilaman web aca...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan