Isnin, 8 Jun 2020

PERKEMBANGAN PASARAN BURUH MALAYSIA 2001-2012

sebahagian daripada maklumat berkaitan perkembangan pasaran buruh Malaysia dari tahun 2001 sehingga 2012 yagng boleh dicapai dilaman web academia sepertimana di bawah:

https://www.academia.edu/43286996/PERKEMBANGAN_PASARAN_BURUH_MALAYSIA_2001_2012

PERKEMBANGAN PASARAN PEKERJA 2001-2012

Pada tahun 2001, kesan kelembapan dalam aktiviti ekonomi telah memberi kesan kepada pasaran pekerja, terutamanya dari segi pemberhentian pekerja di sector perkilangan. Walau bagaimanapun, berikutan keadaan pasaran pekerja yang fleksibil, langkah-langkah alternatif yang diambil oleh pihak majikan seperti mengurangkan gaji pekerja dan memberhentikan pekerja secara sementara telah dapat membantu membendung bilangan pekerja yang diberhentikan. Pada tahun 2001, keadaan pertumbuhan yang lebih lembap telah menyebabkan jumlah guna tenaga dan jumlah tenaga pekerja meningkat pada kadar yang lebih sederhana, masing-masing sebanyak 2.6% kepada 9.5 juta pekerja dan 3.2% kepada 9.9 juta orang. Dalam keadaan inflasi yang rendah dan kapasiti yang berlebihan, keadaan pasaran pekerja yang lembap telah menyumbang kepada peningkatan upah yang lebih sederhana pada tahun 2001. Selaras dengan keadaan pasaran pekerja yang lebih lembap, kadar pengangguran meningkat daripada 3.1% pada tahun 2000 kepada 3.7% pada tahun 2001, dengan bilangan penganggur meningkat sebanyak 63,500 kepada 364,800 orang. Walau bagaimanapun, kadar pengangguran kekal di bawah paras 4% iaitu tahap yang dianggap sebagai guna tenaga penuh.

Mengikut sektor, pertumbuhan guna tenaga yang lebih perlahan pada tahun 2001 adalah disebabkan`terutamanya oleh pengurangan guna tenaga yang ketara di sektor perkilangan, berikutan kemerosotan`permintaan terhadap barangan perkilangan, terutamanya bagi produk elektronik dan elektrikal.`Justeru itu, sektor perkilangan yang mencakup bahagian yang besar daripada bilangan pekerjaan baru pada tahun 2000 (156,100) telah mencatat pengurangan yang terbesar dalam guna tenaga (29,900). Walau bagaimanapun, pengurangan guna tenaga di sektor perkilangan telah lebih daripada`diimbangi oleh pertumbuhan pesat yang berterusan dalam guna tenaga di sektor perkhidmatan yang mencatatkan bilangan pekerja baru yang terbanyak (90.2% atau 217,300 orang).

Dalam sector perkhidmatan, pekerjaan baru yang diwujudkan`tertumpu terutamanya di sub sektor ‘perkhidmatan lain’yang merangkumi perkhidmatan sosial, perkhidmatan swasta, perkhidmatan isi rumah yang tidak berasaskan keuntungan serta perkhidmatan domestik isi rumah`(41.5%) dan sub sektor perniagaan borong dan runcit,`hotel dan restoran (24.1%). Program penggabungan institusi perbankan hanya menunjukkan gangguan minima guna tenaga di sub sektor tersebut memandangkan guna tenaga di sub sektor perbankan hanya berkurangan sedikit, iaitu sebanyak 2% kepada 93,314 orang pada akhir tahun 2001. Sementara itu, di sektor pembinaan, 55,500 pekerjaan baru telah diwujudkan sejajar dengan peningkatan dalam projek-projek rumah kediaman dan infrastruktur awam.
Dalam usaha untuk membendung kemerosotan pendapatan, pihak majikan telah mengurangkan gunatenaga mereka sebagai sebahagian daripada proses perasionalan keseluruhan untuk mengurangkan kos pengeluaran.
Berikut adalah penilaian berkaitan pemberhentian pekerja pada tahun 2001:
·       Sejumlah 38,116 pekerja telah diberhentikan (2000: 25,236), dengan 75.6% adalah daripada sektor perkilangan. Sub sektor barangan elektronik dan elektrikal mencakup lebih kurang separuh (45.7%) daripada jumlah pekerja yang diberhentikan.
·       Bilangan majikan yang terlibat dalam pemberhentian pekerja meningkat sebanyak 55.2% kepada 1,380.
·       Jumlah pemberhentian pekerja pada tahun 2001 mencakup sebanyak 45.4% daripada jumlah pemberhentian pekerja yang dicatat semasa krisis kewangan pada tahun 1998.
·       Sebahagian besar (48%) daripada jumlah pekerja yang diberhentikan adalah disebabkan oleh kemerosotan dalam permintaan barangan.
·       Mengikut kategori pekerjaan, pekerja pengeluaran dan yang berkaitan dengannya mencakup bahagian terbesar daripada bilangan yang diberhentikan (63.6%). Pemberhentian pekerja profesional, teknikal dan pekerjaan berkaitan dengannya meningkat dengan nyata sebanyak 54.8% pada tahun 2001 (2000: -36.2%), menunjukkan bahawa langkah-langkah pengurangan kos memberi kesan kepada pekerja berskil tinggi dan berskil rendah.
·       Pekerja tempatan mencakup bahagian terbesar (86.9%) daripada jumlah pekerja yang diberhentikan.
·       Dari segi lokasi, Malaysia Barat mencakup sebanyak 96.9% daripada jumlah pekerja yang diberhentikan, dengan Pulau Pinang, iaitu pengeluar utama elektronik, mencatat sebanyak 23% daripada jumlah pemberhentian pekerja, diikuti oleh Johor (20.6%) dan Selangor (15.5%).
·       Laporan Kaji Selidik Syarikat-syarikat oleh BNM menunjukkan kadar pemberhentian pada tahun 2001 berbeza berasaskan kepada jenis pemilikan syarikat. Sebahagian besar syarikat milik tempatan yang memberhentikan pekerja melaksanakan pemberhentian dalam semua kategori pekerjaan, seterusnya menyebabkan pengeluaran terhenti secara keseluruhannya. Sebaliknya, syarikat milik asing yang memberhentikan pekerja hanya memberhentikan sebahagian daripada pekerja bahagian jualan dan pengeluaran mereka. Justeru itu, ianya membolehkan pengeluaran diteruskan walaupun terhad kepada jumlah jam bekerja yang lebih pendek. Di samping itu, pemberhentian pekerja didapati lebih tinggi di kalangan syarikat yang mengeksport sebahagian besar daripada barangan mereka ke Amerika Syarikat dan Jepun, berbanding ke Eropah.
·       Pemberhentian pekerja memuncak pada bulan September 2001 dengan sejumlah 5,828 pekerja diberhentikan. Namun begitu, pada suku ke-empat tahun 2001, pemberhentian pekerja berkurangan sebanyak 40%, berbanding suku tahun sebelumnya Keadaan pasaran buruh yang lebih baik menjelang akhir tahun 2001 menunjukkan kesan daripada kelembapan ekonomi Amerika Syarikat ke atas aktiviti perniagaan di Malaysia yang sedikit sebanyak telah stabil dan kebanyakan syarikat pula sedang dalam proses pemulihan perniagaan mereka.

Pada tahun 2001, untuk membendung kesan kelembapan ekonomi ke atas pekerja mereka, jumlah bilangan majikan yang mengambil langkah-langkah alternatif kepada langkah pemberhentian pekerja meningkat (941; 2000:144). Oleh yang demikian, upah bagi 36,294 pekerja telah dikurangkan, sementara 91,915 pekerja telah diberhentikan buat sementara waktu. Di samping itu, sebanyak 27,756 pekerja telah menerima tawaran Skim Pemisahan Secara Sukarela (VSS) pada tahun 2001. Di sector perbankan, sebanyak 4,240 pekerja telah menerima VSS pada akhir bulan Disember 2001. Tidak termasuk pekerja ekspatriat, Kerajaan telah meluluskan pengambilan sebanyak 258,578 pekerja asing yang baru (2000: 230,608), iaitu peningkatan dalam jumlah pekerja asing yang didaftarkan sebanyak 5% kepada 769,566. Pekerja asing yang diambil bekerja adalah kebanyakannya di sector perkilangan, pertanian dan perkhidmatan dalam negeri. Pada tahun 2001, sebahagian besar (73.7%) pekerja asing berasal dari Indonesia.

Permintaan pekerja seperti yang diukur berdasarkan jumlah kekosongan jawatan meningkat dengan lebih sederhana sebanyak 6.5% kepada 131,459 pada tahun 2001 (2000: 14%) Bilangan kekosongan jawatan sebenar berkemungkinan adalah lebih tinggi memandangkan firma-firma tidak diwajibkan melaporkan kekosongan jawatan kepada Jabatan Tenaga Buruh, Kementerian Sumber Manusia. Kekosongan tersebut tertumpu terutamanya di sektor perkilangan (46%), pertanian, perhutanan dan perikanan (27.6%) dan perkhidmatan (15.7%). Sarawak terus mencakup lebih separuh daripada kekosongan jawatan. Pulau Pinang pula mencatat penguncupan terbesar dalam kekosongan jawatan
(46.2%) berbanding tahun 2000.

Jumlah bilangan pencari kerja aktif1 yang berdaftar dengan Jabatan Buruh meningkat sebanyak 22.9% kepada 34,200 pada akhir tahun 2001 (akhir tahun 2000: -12.6%). Berbanding tahun sebelumnya, peningkatan yang lebih sederhana dalam permintaan terhadap pekerja menyebabkan nisbah kekosongan jawatan kepada nisbah pencari kerja meningkat daripada 1:0.23 pada akhir tahun 2000 kepada 1:0.26 pada akhir tahun 2001. Khususnya, nisbah bagi kategori profesional dan pentadbiran melebar daripada 1:1.40 kepada 1:2.15, sementara nisbah bagi kerja-kerja perkeranian pula melebar daripada 1:1.18 kepada 1:1.72. Pada akhir tahun 2001, sebahagian besar daripada penganggur adalah terdiri daripada lepasan sekolah menengah (65.7%). Walaupun sebahagian besar daripada kekosongan jawatan adalah bagi operator pengeluaran (67%), kebanyakan daripada pekerjaan yang dikehendaki adalah kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang perkeranian (45%). Walaupun sebahagian besar daripada pengangguran adalah bersifat kitaran pada  tahun 2001, analisa Keluk Beveridge (Pengangguran- Kekosongan3) menunjukkan wujudnya ketidakserasian di antara penawaran dan permintaan pekerja pada tahun 2001, seperti yang digambarkan oleh peralihan ke atas dan ke kanan dalam keluk daripada tahun 2000 kepada 2001.
Berikutan pemberhentian pekerja dan pengurangan gaji yang dialami oleh beberapa sektor tertentu pada tahun 2001, tekanan ke atas upah secara umumnya berkurangan:
·       Data daripada Kaji Selidik Bulanan Industri Perkilangan yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan upah benar bagi setiap pekerja, pada asas tahunan, meningkat sedikit pada kadar 1.5% pada tahun 2001 (2000: 4.9%), sementara produktiviti buruh yang diukur berlandaskan nilai jualan barangan sebenar bagi setiap pekerja merosot sebanyak 2.1% (2000: 16%). Produktiviti buruh yang diukur mengikut nisbah KDNK kepada jumlah guna tenaga juga merosot pada kadar yang sama. Produktiviti yang rendah pada tahun 2001 menunjukkan pengurangan dalam keluaran disebabkan oleh kemerosotan dalam permintaan luar.
·       Kajian Gaji dan Kemudahan Tambahan oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menunjukkan peningkatan dalam purata gaji sektor swasta telah stabil pada kadar 6.9% pada tahun 2001 (2000: 7%). Purata gaji minima yang ditawarkan kepada pemegang ijazah am meningkat sedikit pada kadar 0.5% kepada RM1,671 pada tahun 2001. Mengikut sektor, kenaikan purata gaji di sektor bukan perkilangan adalah juga lebih tinggi (7.1%) berbanding sector perkilangan (6.7%).

Kerajaan terus memantau dengan teliti keadaan guna tenaga dan mengambil langkah-langkah awalan untuk menangani masalah yang timbul daripada kelembapan ekonomi. Antara lain, pameran pekerjaan telah diadakan di seluruh negara untuk menyediakan platform kepada pencari kerja untuk mendapatkan maklumat tentang kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh bakal majikan. Projek Elektronik Pertukaran Buruh yang dilancarkan pada 19 September 2001 dijangka beroperasi di internet pada tahun 2002. Projek tersebut dirangka untuk menemukan pencari kerja dengan kekosongan jawatan melewati sempadan geografi, seterusnya memperbaiki mobilisasi sumber manusia. Kerajaan juga telah memperuntukkan dana untuk meneruskan pembangunan sumber manusia, di bawah dua pakej rangsangan fiskal yang diumumkan pada bulan Mac dan September 2001 serta semasa Belanjawan Tahun 2002.

Dalam hal ini, langkah-langkah dasar telah ditumpukan terutamanya ke arah menggiatkan penggunaan teknologi maklumat, meningkatkan kemahiran pekerja, mengukuhkan program latihan dan pembelajaran, membangunkan pelbagai institusi pembelajaran dan memperbaiki kemudahan pendidikan. Perjanjian upah baru di antara Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Malaysia (MAPA) dan Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW) telah menghasilkan upah bulanan minimum yang terjamin sebanyak RM325, yang akan dibayar berkuatkuasa 1 Januari 2001, kepada penuai kelapa sawit dan pekerja kilang minyak sawit.Sebagai langkah untuk mempercepatkan peralihan Malaysia kepada ekonomi yang berteraskan pengetahuan, satu program untuk menggalakkan rakyat Malaysia yang berkepakaran istimewa yang bekerja di luar negara untuk kembali ke Malaysia telah bermula pada 1 Januari 2001. Pada 1 Julai 2001, pindaan kepada senarai kepakaran, dari segi bidang kepakaran, kelayakan dan pengalaman telah dijalankan. Kajian semula ini dilakukan untuk memastikan kualiti kepakaran yang diluluskan di bawah program adalah selaras dengan keperluan negara untuk bidang kepakaran yang telah dikenalpasti.

Dalam industri kewangan, ‘Projek Latihan Semula Kakitangan’ atau Projek ‘StaRs’ telah dilancarkan pada 23 Mac 2001 dengan objektif untuk meningkatkan mobilisasi kakitangan, terutamanya mereka yang menerima VSS. Projek yang diuruskan oleh Institut Bank-bank Malaysia ini dibiayai melalui sumbangan institusi kewangan kepada Tabung Latihan Kakitangan, telah memasukkan beberapa siri program latihan yang berkaitan dengan kemahiran untuk memenuhi kehendak sebuah ekonomi yang lebih berteraskan pengetahuan, dan sebuah sistem sokongan infrastruktur untuk membantu kakitangan yang meninggalkan sektor kewangan secara sukarela mencari pekerjaan baru. Pada tahun 2001, sejumlah 64 program telah dijalankan dan telah memberi manfaat kepada lebih kurang 1,300 pelatih.

Bagi menaikkan taraf kemahiran graduan dan lepasan sekolah yang mengganggur serta pekerja yang diberhentikan, pakej rangsangan berjumlah RM4.3 bilion yang telah diperkenalkan pada bulan September 2001, termasuklah peruntukan sebanyak RM300 juta untuk penubuhan Skim Khas yang mengandungi program latihan IT, matematik dan bahasa; keusahawanan pertanian komersil; pengajian lanjutan; dan penempatan dengan agensi kerajaan, universiti awam, firma profesional swasta dan perusahaan kecil dan sederhana. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1993, Majlis Pembangunan Sumber Manusia (MPSM) yang  mentadbir Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) untuk latihan semula dan menaikkan taraf kemahiran pekerja telah meluluskan sejumlah 3.1 juta tempat latihan, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1 bilion.

Dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan yang disediakan, MPSM yang telah dikorporatkan pada
16 Mei 2001 telah ditukar namanya kepada ‘Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Pada akhir bulan Disember 2001, bilangan pekerja yang berdaftar dengan PSMB meningkat kepada 7,690, dengan bahagian terbesar (71.6%) adalah daripada sektor perkilangan dan selebihnya daripada sektor perkhidmatan. Memandangkan pendapatan korporat yang lebih rendah sepanjang tahun ini, pada 1 November 2001, levi yang dikenakan oleh PSMB ke atas bil upah bulanan syarikat telah dikurangkan separuh daripada 1% kepada 0.5%. Pada tahun 2001, pungutan levi KWPSM terus meningkat kepada RM209.1 juta daripada RM188.3 juta pada tahun 2000. Berkuatkuasa untuk jangka masa setahun, bermula 1 November 2001, bantuan kewangan kepada majikan telah dinaikkan daripada 85% kepada 100% daripada kos program latihan terpilih yang dijalankan oleh pelatih tempatan, termasuk latihan mengenai pengawalseliaan, pengurusan strategik, pengurusankewangan, pengurusan sumber manusia dan keselamatan serta kesihatan pekerja.

Pada tahun 2001, sejumlah 420,057 tempat latihan telah diluluskan oleh PSMB dengan bantuan kewangan sebanyak RM189.8 juta. PSMB juga telah dilantik sebagai salah satu agensi penyelaras untuk dua daripada sembilan program di bawah Skim Khas yang ditubuhkan untuk pekerja yang diberhentikan dan graduan yang mengganggur. Ini merupakan`“Skim Latihan untuk Pekerja yang Diberhentikan II”dan “Skim Latihan Graduan” yang telah memberi manfaat kepada 5,519 pelatih dengan bantuan kewangan terkumpul sebanyak RM36.1 juta. Dana Pembangunan Kemahiran (SDF) yangditubuhkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan peruntukan sebanyak RM140 juta telah mula beroperasi pada 2 Januari 2001. Dana ini bertujuan untuk memberi pinjaman mudah untuk latihan teknikal dan vokasional yang ditawarkan oleh institusi yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Negara. Pada tahun 2001, lebih kurang 20,000 permohonan telah diluluskan dan sebanyak RM24.2 juta telah dikeluarkan.

Secara keseluruhan, pelarasan yang berlaku di pasaran buruh dalam negara pada tahun ini menunjukkan bagi semua pihak yang terlibat, termasuk Kerajaan, majikan dan pekerja telah menunjukkan fleksibiliti dalam suasana ekonomi yang lebih sukar. Melangkah ke hadapan, peningkatan dalam produktiviti akan terus menjadi agenda utama dalam peralihan ekonomi kepada ekonomi yang lebih berteraskan pengetahuan. Dalam hal ini, usaha yang akan dijalankan termasuklah keperluan untuk menangani ketidaksuaian dari segi kemahiran dan peningkatan
yang berterusan dalam mobilisasi pekerja.

Keadaan pasaran pekerja kekal menggalakkan pada tahun 2002 untuk menyokong pemulihan dalam aktiviti ekonomi. Anggaran terkini menunjukkan bahawa jumlah tenaga pekerja dan jumlah guna tenaga berkembang dengan kadar yang sederhana, masing-masing sebanyak 3.1% kepada 10.2 juta orang dan 3.2% kepada 9.8 juta pekerja. Hasilnya, kadar pengangguran berkurangan daripada 3.6% kepada 3.5%, iaitu hampir kepada tahap guna tenaga penuh. Keadaan pasaran pekerja yang lebih baik pada tahun 2002 juga dicerminkan oleh pengurangan yang ketara dalam bilangan pemberhentian pekerja serta permintaan pekerja yang lebih tinggi.Langkah-langkah telah diambil pada tahun 2002 untuk meningkatkan kualiti pekerja serta untuk menangani masalah ketidaksepadanan kemahiran dengan permintaan untuk pekerja. Pembangunan sumber manusia masih merupakan bidang yang terus diberi keutamaan dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan ekonomi Malaysia.

Mengikut sektor, sebahagian besar daripada pekerja baru (175,000) diambil bekerja oleh sector perkhidmatan, seterusnya meningkatkan bahagian sektor tersebut kepada jumlah guna tenaga kepada 52.6%. Pekerjaan baru yang diwujudkan tertumpu terutamanya di subsektor ‘perkhidmatan lain’ (60,000), yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan kerja sosial, aktiviti perkhidmatan komuniti, sosial dan persendirian lain dan isi rumah persendirian dengan pekerja bergaji. Mencerminkan peningkatan aktiviti di sector perkilangan pada separuh tahun kedua, terutamanya di subsektor elektronik, bilangan pekerjaan di sektor perkilangan juga meningkat dengan sejumlah 124,000 pekerjaan baru dihasilkan. Mencerminkan keadaan ekonomi yang bertambah baik pada tahun 2002, bilangan pekerja yang diberhentikan berkurangan dengan ketara sebanyak 30.6% kepada 26,457, manakala bilangan yang ditawarkan Skim Pemisahan Secara Sukarela (VSS) berkurangan 22.6% kepada 21,486. Di sector perbankan, sebanyak 1,741 pekerja menerima VSS pada tahun 2002, menjadikan jumlah pekerja yang menerima VSS ekoran daripada program penyatuan institusi perbankan tempatan kepada 5,981 pada akhir bulan Disember 2002.

Kesemua sektor utama ekonomi mencatatkan bilangan pemberhentian pekerja yang lebih rendah pada tahun 2002. Khususnya keseluruhan penurunan adalah disebabkan oleh bilangan   pemberhentian pekerja yang lebih rendah di subsektor elektronik dan elektrikal (10,496; 2001:17,413) serta sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (733; 2001: 1,129). Bilangan majikan yang mengurangkan tenaga pekerja juga turut berkurangan sebanyak 10.4% kepada 1,236. Apa yang lebih memberangsangkan ialah pemberhentian pekerja akibat daripada pengurangan permintaan produk dan penyusunan semula syarikat berkurangan sebanyak separuh kepada 9,917.

Mengikut kategori pekerjaan, pekerja pengeluaran dan yang berkaitan, khususnya pekerja separuh mahir, adalah kumpulan pekerja yang paling banyak diberhentikan (58%), menunjukkan bahawa langkah-langkah mengurangkan kos kebanyakannya melibatkan pekerja di peringkat bawahan. Pemberhentian pekerja profesional, teknikal dan yang berkaitan, berkurangan dengan ketara sebanyak 26%. Pekerja tempatan mencakup sebahagian besar (90.8%) daripada jumlah pekerja yang diberhentikan.

Dari segi lokasi, Semenanjung Malaysia mencakup 96% daripada pekerja yang diberhentikan, dengan Pulau Pinang, yang merupakan pengeluar utama barangan elektronik, terus mencakup sebahagian terbesar (24%) daripada  jumlah pemberhentian, diikuti Selangor Darul Ehsan
(21%) dan Johor Darul Takzim (13%). Pada masa yang sama, guna tenaga tidak penuh berkurangan selaras dengan prestasi ekonomi yang lebih baik. Ini dicerminkan dalam penurunan bilangan pekerja yang bekerja kurang dari masa yang sepatutnya (61,959; 2001: 91,915) dan juga bilangan pekerja yang menerima potongan upah (17,425; 2001: 36,294).

Sejajar dengan pemulihan ekonomi, permintaan terhadap pekerja yang diukur berdasarkan jumlah
kekosongan jawatan yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia meningkat 23.8% kepada 162,787 pada tahun 2002 (2001: 6.5%). Peningkatan ini dilaporkan bagi kesemua sektor, kecuali subsektor pengangkutan, penyimpanan dan perhubungan, di mana kekosongan berkurangan 13.5%. Antara yang ketara ialah peningkatan yang besar sebanyak 25.1% bagi kekosongan di sektor perkilangan berbanding dengan penurunan 10.4% pada tahun 2001. Sektor
tersebut terus mencakup hampir separuh (46.5%) daripada kekosongan yang dilaporkan pada tahun
2002.

Mengikut kumpulan pekerjaan, kekosongan yang dilaporkan kebanyakannya adalah untuk pekerjaan yang berkaitan dengan pengeluaran (63.2%), serta pertanian (21.1%). Pada tahun 2002, peningkatan permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi menyebabkan permintaan bagi pekerja profesional, teknikal, pentadbiran dan pengurusan meningkat dengan nyata sebanyak 70.8% kepada 8,575 kekosongan. Sarawak terus mencakup lebih separuh daripada jumlah kekosongan. Penghantaran pulang pekerja tanpa izin ketika tempoh pengampunan turut menyebabkan bilangan kekosongan yang tinggi di sektor pembinaan. Namun demikian, keadaan ini tidak dicerminkan dalam jumlah kekosongan kerana majikan tidak diwajibkan melaporkan kekosongan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Jumlah bilangan pencari kerja aktif yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja berkurangan 5.5%
kepada 32,305 pada akhir tahun 2002. Sementara kebanyakan kekosongan adalah untuk pekerjaan
yang berkaitan dengan pengeluaran dan pertanian,  sebahagian besar daripada pekerjaan yang dicari
adalah yang berkaitan dengan perkeranian (49.4%), profesional, teknikal dan pentadbiran (21%) serta pengeluaran (20.3%). Ini mencerminkan ketidaksepadanan permintaan dan penawaran kemahiran di pasaran pekerja. Khususnya, terdapat kekurangan pekerja di sektor pertanian dan pengeluaran, tetapi terdapat lebihan penawaran pekerja di bidang yang berkaitan dengan profesional, teknikal dan pentadbiran. Walaupun terdapat banyak bilangan pencari kerja untuk pekerjaan pengeluaran, kekurangan pekerja pengeluaran yang masih dihadapi oleh majikan menunjukkan bahawa pengilang di Malaysia memerlukan pekerja yang lebih mahir apabila mereka meningkatkan pengeluaran ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Analisa Keluk Beveridge (Pengangguran-Kekosongan) menunjukkan walaupun ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan pekerja berterusan sehingga ke tahun 2002, keluk ini juga menunjukkan bahawa terdapat pemulihan dalam struktur pasaran pekerja. Nisbah kekosongan kepada pengangguran yang lebih tinggi bersama dengan peralihan keluk ke kiri dari tahun 2001 ke 2002 menandakan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan penganggur yang mengisi jawatanjawatan kosong. Ini mencerminkan pemadanan kerja yang lebih baik berikutan langkah-langkah berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi meningkatkan kualiti dan pergerakan pekerja.

Pada akhir bulan September 2002, sebahagian besar daripada pencari kerja aktif dan penganggur adalah terdiri daripada lepasan sekolah menengah (masing-masing mencakup 80% dan 62.9%).Bilangan penganggur graduan meningkat kepada 45,400 atau 0.1% daripada jumlah penganggur pada akhir bulan September 2002 dan mencakup 0.5% daripada jumlah tenaga pekerja (akhir tahun kepada 19,100. Walaupun keadaan pengangguran dikalangan graduan pada umumnya adalah mengikut kitaran ekonomi yang meningkat semasa pertumbuhan ekonomi merosot, terdapat factor-faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan pengangguran di kalangan graduan di tahun-tahun kebelakangan ini.

Satu Kaji Selidik Mengenai Keupayaan Memperoleh Pekerjaan oleh Graduan yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia pada Julai 2002 untuk mengenal pasti kelayakan pekerjaan mengikut kehendak majikan,menunjukkan bahawa masalah utama ialah ketidaksepadanan kemahiran kerana kebanyakan syarikat yang menjawab kaji selidik menyatakan sebahagian besar graduan tidak memiliki kemahiran yang diperlukan oleh industri dan masalah ini lebihketara di kalangan graduan tempatan. Oleh kerana sektor-sektor tertentu masihmempunyai kapasiti yang berlebihan, peningkatan aktiviti ekonomi tidak memberi tekanan ke atas upah pada tahun 2002.

Penunjuk upah yang sedia`ada menunjukkan bahawa peningkatan kadar upah`telah menjadi sederhana:
·       Data daripada Kaji Selidik Bulanan Industri Perkilangan yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pada asas tahunan, upah benar bagi setiap pekerja meningkat 2.9% (2001: 1.7%).
·       Kajian Gaji dan Kemudahan Tambahan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan peningkatan dalam purata gaji sektor swasta yang lebih rendah pada kadar 6%pada tahun 2002 (2001: 6.9%). Mengikut sektor, kenaikan purata gaji di sektor bukan perkilangan adalah lebih tinggi 6.1% (2001: 7.1%) berbanding dengan sektor perkilangan 5.9% (2001: 6.7%). Purata gaji minima yang ditawarkan kepada pemegang ijazah am kekal stabil pada RM1,675.
·       Hanya dua mogok perindustrian yang berkaitan dengan permintaan upah yang lebih tinggi dilaporkan pada tahun 2002, melibatkan sector-sektor perkilangan dan pertanian.

Produktiviti pekerja yang diukur dengan nisbah KDNK kepada jumlah guna tenaga juga pulih dengan mencatatkan pertumbuhan positif 0.9% pada tahun 2002 (2001: -1.8%). Pertumbuhan produktiviti adalah disebabkan terutamanya oleh pemulihan produktiviti di sektor-sektor pembinaan, perkhidmatan dan perkilangan. Produktiviti di sektor pembinaan pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif 1.1% (2001: -3.4%), sementara produktiviti di sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan positif 0.8% (2001: -1.6%) disebabkan terutamanya oleh pemulihan produktiviti di subsektor kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan dan juga  subsektor perdagangan borong dan runcit, hotel dan restoran. Sejajar dengan prestasi sector perkilangan yang lebih baik pada tahun 2002, terutamanya dalam industri yang berasaskan eksport, kadar penurunan produktiviti di sector perkilangan menyederhana kepada 1.6% pada tahun 2002 (2001: -7.6%).

Kerajaan juga terus melaksanakan beberapa inisiatif sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kualiti pekerja dan memenuhi permintaan majikan yang berubah selaras dengan perubahan struktur ekonomi. Langkah-langkah untuk meningkatkan pergerakan pekerja dari satu sektor ke sektor yang lain termasuklah penganjuran pameran kerjaya di seluruh negara dan pelaksanaan program latihan semula untuk pekerja yangdiberhentikan. Inisiatif lain yang diambil termasuk Projek Bursa Buruh Elektronik (ELX). ELX yang mula beroperasi pada bulan Mei 2002, direka dengan tujuan untuk memadankan pencari kerja dengan jawatan kosong yang meliputi kawasan geografi yang lebih luas untuk memperbaiki pergerakan sumber manusia. Pada akhir tahun 2002, seramai 11,000 pencari kerja aktif telah mendaftar melalui ELX, manakala 2,040 jawatan kosong telah diiklankan pada bursa ini oleh 720 majikan.

Dalam usaha menangani kekurangan pekerja di sektor-sektor tertentu, kerajaan telah meluluskan pengambilan 545,725 pekerja asing yang baru(2001: 258,578). Jumlah pekerja asing yangberdaftar meningkat 111% kepada 1,057,156 pada tahun 2002. Sebahagian besar daripada pekerja asing diambil bekerja di sektor perkilangan, pertanian, perkhidmatan rumah dan pembinaan.Sementara pengambilan pekerja dari Indonesia mencakup bahagian yang paling besar (71.4%)daripada jumlah pekerja asing yang berdaftar, pengambilan pekerja dari Negeri Thai pula meningkat dengan ketara kepada 23,660 pada tahun 2002 (2001: 2,240), dengan kebanyakannya diambil untuk bekerja di sektor pembinaan. Memandangkan bilangan pendatang tanpa izin yang tinggi di negara ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah pada tahun 2002 untuk menangani isu-isu keselamatan. Satu daripada langkah-langkah yang dilaksanakan termasuklah pembaharuan Akta Imigresen. Akta Imigresen 1959/ 63 (Pindaan 2002) baru yang berkuat kuasa 1 Ogos 2002, memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang didapati bersalah mengambil pendatang tanpa izin sebagai pekerja ataupun memasuki Malaysia secara tidak sah. Majikan-majikan mengambil kesempatan daripada tempoh program pengampunan dari 22 Mac hingga 31 Julai2002 untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal mereka. Semasa tempoh pengampunan, 318,272 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang, dengan pendatang tanpa izin dari Indonesia (84.7%) mencakup bahagian terbesar daripada mereka yang dihantar pulang, diikuti India (6.3%) dan Bangladesh (5.5%).

Untuk memastikan kemasukan pekerja asing yang lebih teratur, Kerajaan kini dalam proses menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 13 buah negara lain (India, Indonesia,Kemboja, Kazakhstan, Laos, Myanmar, Nepal, Filipina, Sri Lanka, Negeri Thai, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam), yang akan menawarkan pekerja kepada Malaysia. Di antara syarat-syarat baru yang dimasukkan ke dalam MoU ialah pekerja-pekerja mesti boleh berkomunikasi dalam bahasaMelayu atau Inggeris, tidak mempunyai rekod jenayah dan kerajaan tuan rumah mesti bertanggungjawab untuk menghantar pekerja-pekerja ini balik jika mereka didapati melanggar undang-undang Malaysia. Dengan MoU ini, urusan pengambilan pekerja akan menjadi lebih sistematik dan membolehkan pembangunan pangkalan data pekerja asing yang komprehensif di negara ini. Pada bulan September, Kerajaan telah memperbaharui dasar dan garis panduan berkenaan pengambilan pekerja asing untuk menangani masalah kekurangan pekerja mahir berikutan tamatnya tempoh pengampunan, terutamanya di sektor-sektor perkilangan dan pembinaan. Di bawah garis panduan baru, pekerja asing berpengalaman yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) boleh melanjutkan tempoh   tinggal mereka selama lima tahun lagi, kepada 10 tahun. Pada tahun 2002, sebanyak 12,662 pekerja asing dari sektor-sektor perkilangan (8,974), perkhidmatan (2,215) dan pertanian (1,473) telahdiiktiraf sebagai pekerja mahir oleh MLVK.

Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menambah bilangan pekerja mahir dan meningkatkan kualiti tenaga pekerja sebagai persediaan untuk beralihkepada ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Dalam Bajet tahun 2003, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.62 bilion kepadaKementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian PembangunanUsahawan untuk melaksanakan pelbagai program latihan kemahiran dan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan tenaga pekerja yang lebih mahir untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan, satu Geran Latihan bernilai RM100 juta juga akan ditubuhkan. Geran ini akan disalurkan kepada syarikat sektor swasta untuk membiayai latihan untuk kakitangan penyelidikan dan pembangunan mereka.

Status projek-projek yang dilaksanakan pada tahun 2001 dengan objektif mempertingkat kualiti sumber manusia adalah seperti yang berikut:
·       Projek “Dual System” – Projek ini bertujuan memberi persediaan kepada belia-belia untuk menjadi pekerja yang berpengetahuan melalui latihan berorientasikan industri yang akan dijalankan di tempat bekerja dalam suasana bekerja yang sebenar. Projek yang mengandungi lima komponen utama, kini berada pada tahap pertama yang melibatkan penubuhan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional(TEVT) dan meningkatkan penyertaan industry dan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara langsung dalam TEVT.
·       Program Menggalakkan Warganegara Malaysia yang Berkepakaran di Luar Negara Pulang ke Malaysia – Pada akhir tahun 2002, sebanyak 184 daripada 506 permohonan yang diterima telah diluluskan dibawah program ini, yang menggalakkan warganegara Malaysia yang berkepakaran yang bekerja di luar Negara pulang ke Malaysia untuk membantu proses pembinaan negara. Daripada jumlah permohonan yang diluluskan, 47 adalah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyelidikan dan pembangunan dan bioteknologi.
·       Program Khas untuk Graduan Menganggur dan Pekerja yang Diberhentikan – Sebanyak 37,033 peserta telah menyertai pelbagai skim sangkutan dan latihan untuk graduan menganggur, manakala 9,499 peserta menyertai skim untuk pekerja diberhentikan dan lepasan sekolah. Pada akhir tahun 2002, sejumlah RM254 juta telah digunakan untuk pelbagai program di bawah skim ini. Kesemua program (kecuali skim sangkutan dengan agensi kerajaan,yang berakhir pada bulan Oktober 2002) akan terus dilaksanakan sehingga kesemua peruntukan kewangan sebanyak RM300 juta selesai digunakan.
·       Projek Latihan Semula Kakitangan (StaRs) – Pada akhir tahun 2002, sembilan institusi kewangan telah menyertai Projek StaRs. Projek ini bertujuan untuk menyediakan pekerja dari institusi kewangan yang akan meninggalkan industri kewangan di bawah Skim Pemisahan Secara Sukarela dengan kemahiran untuk memenuhi keperluan ekonomi berasaskan pengetahuan supaya membolehkan mereka memasuki industri-industri lain. Pada tahun 2002, Institut Bank-Bank Malaysia telah menjalankan 26 program dengan memberi manfaat kepada kira-kira 714 pelatih.

Pada tahun 2002, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), yang mentadbir Kumpulan Wang
Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) untuk latihan semula dan meningkatkan taraf kemahiran pekerja telah meluluskan 441,102 tempat latihan untuk 14 skim latihan di bawah KWPSM, dengan bantuan kewangan sebanyak RM319.5 juta. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1993, PSMB telah meluluskan 3.5 juta tempat latihan dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.3 bilion. Pada akhir bulan Disember 2002, jumlah majikan yang berdaftar dengan PSMB meningkat kepada 8,172, dengan sebahagian besar (71%) adalah dari sector perkilangan dan selebihnya dari sector perkhidmatan.

Memandangkan levi yang dikenakan oleh PSMB adalah lebih rendah pada tahun 2002, levi yang dikumpul oleh KWPSM berkurangan kepada RM121.2 juta daripada RM209.1 juta pada tahun 2001. Walau bagaimanapun, mulai 1 November 2002, levi yang dikenakan oleh PSMB bertukar kembali daripada 0.5% kepada 1% daripada upah bulanan majikan pada tahun 2002. Sebagai satu agensi yang menyelaraskan skim latihan untuk pekerja yang diberhentikan dan graduan yang menganggur, pada tahun 2002, PSMB juga menguruskan peruntukan sebanyak RM137 juta yang telah memberi manfaat kepada 20,573 pelatih (graduan: 11,787) di bawah "Skim Latihan untuk Penganggur dan Pekerja yang Diberhentikan" dan "Skim Latihan Graduan." Di samping itu, Dana Pembangunan Kemahiran (SDF) telah mengeluarkan bayaran sejumlah RM181.6 juta (2001: RM24.2 juta) kepada 36,700 permohonan yang diluluskan (2001: 5,000). SDF ditubuhkan oleh Kementerian Sumber Manusia untuk memberi pinjaman mudah untuk latihan teknikal dan vokasional yang ditawarkan oleh  institusi yang diiktiraf oleh Majlis Latihan Vokasional Negara

Keadaan pasaran pekerja dalam negeri kekal stabil dan positif. Pada tahun 2003, pertumbuhan keseluruhan jumlah guna tenaga dan tenaga pekerja berkembang secara sederhana pada kadar yang sama masing-masing sebanyak 3.3% kepada 10.2 juta pekerja dan 10.5 juta orang. Kadar pengangguran kekal rendah pada paras 3.5%. Langkah-langkah tambahan telah diambil pada tahun 2003 bertujuan untuk meningkatkan kualiti pekerja, mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan menangani permintaan yang berubah dalam ekonomi.

Keluk Beveridge, yang menjejaki corak pengangguran dan kekosongan dalam pasaran pekerja, beralih ke bawah dan ke dalam pada tahun 2003. Ini menandakan pusingan ganti dalam pasaran pekerja adalah lebih rendah manakala proses memadankan pekerja dengan jawatan menjadi lebih cekap. Perkara ini disahkan oleh hasil kajian lain. Kaji selidik Gaji, Faedah dan Keadaan Guna Tenaga di Sektor Perkilangan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menunjukkan bahawa kadar purata pusingan ganti bulanan keseluruhan adalah lebih rendah sebanyak 1.76% pada tahun 2003 (2002: 4.1%). Begitu juga, Kaji selidik Gaji dan Kemudahan Tambahan oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), yang termasuk firma-firma daripada sektor-sektor bukan perkilangan, menunjukkan bahawa kadar purata pusingan ganti bulanan keseluruhan kekal rendah pada 1.76% pada tahun 2003 (2002: 1.66%). Pusingan ganti yang rendah dalam pasaran pekerja juga dicerminkan dalam data kekosongan dan pemberhentian pekerja untuk tahun 2003, manakala data mengenai pencari pekerjaan yang sudah dan belum ditempatkan mencerminkan kecekapan dalam proses memadankan pekerja dengan jawatan.

Pertumbuhan dalam jumlah kekosongan yang dilaporkan, terutamanya yang terdapat dalam sector perkilangan, pertanian, perkhidmatan dan pembinaan, menyederhana sebanyak 40% kepada 96,918 (2002: 162,787). Pemberhentian pekerja, yang kebanyakannya berlaku dalam sector perkilangan dan sektor berkaitan pelancongan, juga merosot sebanyak 20% (21,206 orang; 2002: 26,452). Sebab-sebab utama pemberhentian pekerja termasuk pengurangan permintaan barangan, pengorganisasian semula syarikat dan penutupan syarikat. Sebab-sebab yang lain termasuk penyempurnaan projek, pengurangan dalam pengeluaran dan guna tenaga serta penggunaan khidmat luaran. Pertumbuhan dalam jumlah penempatan pada tahun 2003 menyederhana sebanyak 16%, walaupun penyederhanaan dalam pertumbuhan kekosongan jawatan adalah lebih tinggi. Pada masa yang sama, bilangan pencari pekerjaan yang ditempatkan berjumlah 28,404 orang pada akhir tahun 2003, iaitu bilangan terendah sejak bulan Januari 2001. Kedua-dua perkembangan ini menandakan kecekapan yang lebih tinggi dalam proses memadankan pekerja dengan kekosongan jawatan.

Memandangkan terdapat guna tenaga tidak penuh dalam sektor-sektor tertentu, lonjakan dalam aktiviti ekonomi tidak menimbulkan tekanan terhadap upah pada tahun 2003. Penunjuk yang sedia ada mengenai upah menunjukan kenaikan kadar upah terus menyederhana pada tahun 2003:
·       Data daripada Kaji selidik Bulanan Industri Perkilangan yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa pada asas tahunan, upah benar bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 2.6% (2002: 3.2%). 
·       Kaji selidik Gaji dan Kemudahan Tambahan oleh MEF menunjukan kenaikan dalam purata gaji sektor swasta adalah lebih rendah sedikit pada 5.8% pada tahun 2003 (2002: 6%). Mengikut sektor, kenaikan purata gaji dalam sektor bukan perkilangan adalah lebih tinggi(6.1% pada tahun 2003 dan 2002) berbanding sektor perkilangan (5.5%; 2002: 5.9%). Purata gaji bulanan minimum yang ditawarkan kepada pemegang ijazah am adalah lebih rendah sedikit pada RM1,669 (2002: RM1,675).
·       Kaji selidik Gaji, Faedah dan Keadaan Guna Tenaga dalam sektor perkilangan yang dijalankan oleh FMM menunjukkan kenaikan dalam gaji purata keseluruhan yang dibayar kepada pekerja  juga menyederhana pada 5.5% pada tahun 2003, manakala gaji purata asas graduan baru adalah sebanyak RM1,861.
·       Hanya terdapat dua mogok yang berkaitan dengan permintaan gaji yang lebih tinggi pada tahun 2003, iaitu sama seperti tahun yang lepas.

Produktiviti pekerja yang diukur dengan nisbah KDNK kepada jumlah guna tenaga bertambah baik dengan ketara dengan kadar pertumbuhan berganda kepada 2% pada tahun 2003 (2002: 0.9%). Pertumbuhan produktiviti adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan pengeluaran dalam kesemua sektor utama sejajar dengan aktiviti ekonomi yang lebih kukuh. Khususnya, produktiviti dalam sektor perkilangan bertukar arah untuk mencatat pertumbuhan positif sebanyak 3% (2002: -0.8%) disebabkan pertambahan dalam pengunaan modal. Sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi masing-masing pada 5.7% dan 0.7% (2002: masing–masing sebanyak 3.1% dan 0.5%). Pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi dalam sektor pertanian adalah disebabkan oleh keadaan cuaca yang baik, iaitu satu faktor penting dalam menentukan hasil keluaran pertanian, amalan pertanian yang lebih baik dan automasi yang lebih tinggi. Untuk jangka lebih panjang, Kerajaan terus menggalakkan firma-firma untuk menggunakan amalan kerja yang lebih baik, meningkatkan penggunaan jentera dan automasi di samping memperkenalkan perubahan struktur untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti bagimengatasi kekurangan pekerja, khususnya untuk pekerjaan-pekerjaan di tahap yang rendah.

Buat masa ini, Kerajaan terus meluluskan pengambilan pekerja asing yang baru dari negara-negara yang ditetapkan, iaitu Bangladesh, Kemboja, Republik Rakyat China, India, Indonesia, Kazakhstan, Republik Kyrgyz, Republik Demokratik Rakyat Lao, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam. Pada tahun 2003, Kerajaan menandatangani sebanyak enam Memoranda Persefahaman, iaitu dengan Bangladesh, Republik Rakyat China, Sri Lanka, Thailand, Pakistan dan Vietnam dengan tujuan untuk mengawal prosesdan prosedur pengambilan, manakala persefahaman secara dasar telah dipersetujui dengan Nepal dan Republik Kyrgyz.

Pada tahun 2003, kelulusan telah diberi bagi penggajian seramai 516,355 pekerja asing baru (2002: 545,725), terutamanya dalam sector pertanian, perkilangan dan pembinaan. Sebahagian besar daripada pekerja baru tersebut berasal dari Indonesia, sementara yang lain, adalah terutamanya dari Nepal, Vietnam, India, Myanmar dan Thailand. Pada keseluruhannya,  bilangan pekerja asing berdaftar di negara ini meningkat sebanyak 17% kepada 1,239,862  orang (2002: 1,057,156) dan mencakupi lebih kurang 12% daripada jumlah tenaga pekerja. Sebahagian besar daripada mereka bekerja dalam
sektor perkilangan, diikuti oleh sektor pertanian,perkhidmatan (termasuk pembantu rumah) dan pembinaan. Lebih kurang 70% daripada jumlah pekerja asing adalah berasal dari Indonesia, manakala pekerja dari Nepal dan Bangladesh merupakan kumpulan kedua dan ketiga terbesar, masing-masing sebanyak 8% dan 7%.

Dasar penggajian pekerja asing terus dilonggarkan untuk memenuhi keperluan bagi kemahiran dalam
bidang tertentu. Oleh yang demikian, tempoh penggajian pekerja asing yang terlibat dalam bidang 3’D’ (Difficult, Dirty and Dangerous atau Sukar, Kotor dan Merbahaya) telah dilanjutkan daripada lima tahun kepada tempoh maksimum sepuluh tahun. Begitu juga, dasar penggajian ekspatriat dalam sektor perkilangan telah dilonggarkan. Memandangkan strategi untuk mempelbagaikan kepada sektor pertumbuhan baru, terutamanya perkhidmatan berkaitan perkilangan dan penyelidikan dan reka bentuk serta industry-industri berteknologi tinggi, peluang-peluang pekerjaan adalah lebih banyak dalam sektor yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi yang memerlukan kemahiran khusus yang tinggi. Oleh yang demikian, program Brain-Gain telah dilancarkan pada tahun 2001 untuk menggalak warganegara Malaysia yang berada di luar negeri dan mempunyai kepakaran khas dalam bidangtertentu, seperti perubatan dan kesihatan, ICT, perakaunan dan kewangan untuk pulang berkhidmat di Malaysia. Program tersebut Berjaya menarik permohonan daripada seramai 599 orang professional, dan 234 daripadanya telah diluluskan.

Sementara itu, di bawah Pakej Ekonomi, sebuah Tabung Latihan Semula dengan dana sebanyak RM100 juta telah dilancarkan dengan tujuan untuk membantu siswazah menganggur memperoleh kemahiran yang mempunyai permintaan seperti ICT dan perakaunan. Pada akhir tahun 2003, seramai 7,338 siswazah pelatih mendapat manfaat daripada latihan yang disediakan di bawah Tabung tersebut, yang secara umumnya dikenali sebagai Skim Latihan Graduan II (SLG II). Bantuan kewangan yang diberikan kepada pelatih-pelatih SLG II berjumlah RM55.7 juta. Memandangkan masih terdapat peruntukan di bawah skim khas yang dilancarkan dahulu pada tahun 2001 untuk siswazah menganggur dan pekerja yang diberhentikan, skim tersebut diteruskan pada tahun 2003. Pada akhir tahun 2003, seramai 38,942 orang telah menyertai pelbagai skim sangkutan dan latihan untuk siswazah menganggur, yang secara umumnya dikenali sebagai Skim Latihan Graduan I, manakala seramai11,135 peserta mendapat manfaat daripada skim untuk pekerja yang diberhentikan dan para penganggur.

Sejajar dengan penekanan terhadap pertumbuhan yang berasaskan pengetahuan dan diterajui perkhidmatan, Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) memainkan peranan yang penting untuk mempertingkatkan latihan pekerja oleh majikan. Pada tempoh 1993-2003, sejumlah 3.9 juta tempat latihan dengan jumlahperuntukan RM1.4 bilion telah diluluskan (2003:441,721 tempat latihan dengan bantuan kewangan RM206 juta). Skop KWPSM diperluaskan untuk memenuhi permintaan yangberubah. Pembayaran semula untuk kursus yangdigalakkan dinaikkan kepada jumlah penuh levi (sebelumnya 85%), manakala skim tambahan untuk syarikat yang lebih kecil dan PKS telah diperkenalkan. Tempoh penggunaan KWPSM oleh para majikan telah dilanjutkan kepada lima tahun, daripada dua tahun sebelumnya. Skop KWPSM akan diperluaskan bagi meliputi latihan dalamperkhidmatan berkaitan, seperti pelabuhan dan logistik, perkhidmatan kesihatan, pemasaran, perkhidmatan ICT dan penyelidikan danpembangunan.

Tabung Pembangunan Kemahiran (TPK) adalah satu lagi inisiatif latihan kemahiran yang telahdiadakan sejak tahun 2001. Tujuannya adalah  untuk meningkatkan penyertaan sektor swasta sebagai pembekal latihan dan meningkatkan akseskepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional
dengan menyediakan bantuan kewangan kepada para pelatih. TPK terbuka kepada semua, termasuk
golongan lepasan sekolah, pekerja-pekerja yang diberhentikan dan pekerja-pekerja yang sedang mengikuti kursus di institut-institut latihan milik swasta dan kerajaan. Tujuannya adalah untukmemastikan bakal pekerja memperoleh kemahiran yang dikehendaki oleh para majikan. Pada tahun 2003, di samping peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Pakej Ekonomi, garis panduanmengenai kelayakan bantuan kewangan dikaji semula untuk membolehkan lebih ramai pelatih
dapat memperoleh latihan kemahiran di bawah TPK. Hasilnya, dengan menggunakan peruntukanyang sedia ada (tidak termasuk RM500 juta tersebut) TPK dapat menyediakan bantuan kewangan kepada seramai 45,856 peminjam berbanding dengan 36,700 pada tahun yang lepas.

Selain daripada dasar latihan yang biasa diterajui oleh Kerajaan, satu perkembangan yang menggalakkan adalah penglibatan aktif sektorswasta bagi meningkatkan kualiti pekerja menerusi amalan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti. Di samping mengaitkan ganjaran dengan prestasi dan produktivti yang lebih tinggi, amalan yang fleksibel tersebut dapat membantupara majikan mengawal kos dengan lebih baik dan berkongsi kejayaan dengan pekerja. Maklum balas ke atas Kaji selidik Gaji dan Kemudahan Tambahan yang dijalankan oleh MEF pada tahun 2003 menunjukkan majoriti syarikat mengamalkan  sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023

Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...