|
2011
|
||||||||||||
|
Dalam
persekitaran global yang kian mencabar, Kerajaan akan terus memperkukuh
kedudukan fiskal di samping memastikan ekonomi Negara dapat mengekalkan
momentum pertumbuhan. Walaupun perbelanjaan mengurus meningkat terutamanya
untuk menampung subsidi minyak masak dan bahan api yang lebih tinggi, deficit
fiskal dijangka dapat dikawal pada 5.4% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) (2010: 5.6%). Defisit fiskal yang terkawal ini adalah hasil daripada
peningkatan kecekapan perbelanjaan, kutipan hasil yang lebih baik dan langkah
pengurangan kos operasi. Jumlah deficit ini akan dibiayai sebahagian besarnya
daripada sumber domestik. Jumlah perbelanjaan Kerajaan dianggar meningkat
kepada RM229.6 bilion, iaitu peningkatan 12.3% berbanding tahun 2010. Hasil Kerajaan
Persekutuan dijangka meningkat 14.9% kepada RM183.4 bilion disokong oleh
harga komoditi yang kukuh dan pertumbuhan ekonomi domestik yang menggalakkan.
Disiplin fiskal akan terus diamalkan melalui pelbagai inisiatif untuk mengurangkan
perbelanjaan yang tidak kritikal, mengukuhkan kutipan hasil dan meningkatkan akauntabiliti
dalam pelaksanaan projek.
Kerajaan telah
melaksanakan beberapa inisiatif dalam memperkukuh kedudukan kewangan awam.
Dari segi perbelanjaan, rasionalisasi subsidi diteruskan bagi memastikan
subsidi kekal dinikmati oleh kumpulan sasar. Harga petrol RON97, merupakan
bahan api gred premium, ditentukan secara apungan terurus tertakluk kepada
perubahan harga dari semasa ke semasa selaras dengan harga minyak mentah antarabangsa.
Manakala, subsidi super diesel telah dimansuhkan bagi kategori kenderaan komersial
tertentu dan kapal nelayan laut dalam. Selain daripada itu, harga gula telah
dinaikkan lagi sebanyak 20 sen kepada RM2.30 sekilogram pada Mei 2011 untuk
mengurangkan ketirisan dan faktor kesihatan. Langkah mengoptimumkan penggunaan
aset Kerajaan seperti kemudahan fizikal dan peralatan bertujuan mengurangkan kos
perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan semakin menjadi amalan
agensi Kerajaan. Program audit perjawatan secara komprehensif di setiap
agensi Kerajaan juga sedang dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam
lebih kejat dan fleksibel. Ini termasuk menempatkan semula kakitangan awam ke
agensi yang kritikal, manakala pelantikan pekerja secara kontrak sedang
dikaji semula. Selaras dengan perkembangan teknologi, penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) serta media bentuk baharu dipertingkatkan bagi menambah baik
penyampaian perkhidmatan awam dan mengukur keberkesanan dasar.
Mulai tahun
2011, pelbagai projek pembangunan di bawah RMKe-10 akan dilaksanakan secara two-year
rolling plan. Pendekatan ini memberi lebih fleksibiliti kepada Kerajaan
bagi menjalankan kajian semula tahunan ke atas projek-projek berasaskan
kemampuan kewangan, perubahan hala tuju dasar dan kepantasan tindak balas terhadap
sebarang kejutan sistemik ekonomi. Pengurusan nilai turut dijalankan ke atas
semua projek pembangunan baharu yang melebihi RM50 juta bagi memastikan
jaminan nilai untuk wang dan kos perbelanjaan terkawal. Selain daripada itu,
sistem pemantauan projek yang rapi telah diwujudkan bagi memastikan projek
disempurnakan mengikut jadual. Pembidaan kompetitif dalam perolehan barangan
dan perkhidmatan serta sistem e-bidding telah menyumbang ke arah peningkatan
ketelusan dan kecekapan kos.
Beberapa
inisiatif juga sedang diambil bagi merasionalisasikan insentif fiskal yang
disediakan kepada pelbagai industri, meningkatkan lagi ketelusan pengurusan
perolehan serta menambah baik pentadbiran dan pematuhan cukai. Di samping
itu, Kerajaan juga telah mendapatkan khidmat institusi kewangan antarabangsa
untuk mengkaji semula kedudukan perbelanjaan Kerajaan dari sudut kecekapan
dan keberkesanan serta mengukur kekuatan, kelemahan dan ketelusan dalam
kewangan awam. Pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan lagi kutipan
hasil, termasuk memperluas liputan, kekerapan pengauditan, penyiasatan dan penguatkuasaan
cukai serta menambah baik pentadbiran dan pematuhan cukai. Usaha ini dilaksanakan melalui
peluasan penggunaan teknologi maklumat serta sentiasa menyemak semula
undang-undang dan peraturan bagi mengurangkan karenah birokrasi. Di samping itu,
Kerajaan akan terus melaksanakan langkah monetisasi aset melalui jualan
pegangan, pajakan atau pembangunan bersama serta pelupusan kepentingan pelaburan
bukan teras syarikat milik Kerajaan untuk menggalakkan pewujudan ciptaan
nilai dan merangsang pelaburan swasta. Langkah yang dilaksanakan akan
menjadikan kedudukan fiskal kewangan awam lebih kukuh dan fleksibel serta
berupaya bertindak dengan tangkas bagi menangani persekitaran global yang
kian mencabar.
|
Blog ini membicarakan tetang proses mendapatkan data sekunder, memproses dan proses seterusnya untuk menyiapkan KERJA KURSUS EKONOMI
Jumaat, 27 September 2019
Operasi Fiskal 2011-2017
Pernahkan terfikir menghimpunkan operasi fiskal dari tahun 2011-2017 yang boleh didapati di dalam Laporan Ekonomi Kementeriaan Kewangan dari tahun 2011-2017 Bab 1 Pengurusan dan Prospek Ekonomi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023
Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...
-
RENCANA 2009 BAGAIMANA KEMELESETAN GLOBAL BARU-BARU INI MEMBERIKAN KESAN KEPADA EKONOMI MALAYSIA? (MS:13) ...
-
Tema kerja kursus ekonomi STPM boleh dikategori kepada dua jenis. melibatkan data primer data sekunder biasanya guru lebih cenderung k...
-
sebahagian daripada maklumat berkaitan perkembangan pasaran buruh Malaysia dari tahun 2001 sehingga 2012 yagng boleh dicapai dilaman web aca...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan