|
EKONOMI MALAYSIA 2008
Ekonomi
Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.6% pada tahun 2008 meskipun berlaku
kegawatan dalam kewangan antarabangsa dan kemerosotan ketara dalam
persekitaran ekonomi global. Permintaan dalam negeri yang kukuh, terutamanya
penggunaan swasta yang mampan dan perbelanjaan awam yang kukuh, menyokong
pertumbuhan sepanjang tahun itu. Walaupun permintaan luar negeri kukuh pada separuh
pertama tahun 2008, keadaan ekonomi global yang merosot dengan ketara dan
mendadak serta pembetulan yang besar dalam harga komoditi pada separuh kedua
tahun telah membawa kepada penguncupan prestasi eksport Malaysia pada
bahagian akhir separuh kedua tahun itu. Memandangkan tahap keterbukaan
ekonomi Malaysia yang tinggi, penguncupan eksport telah menjejaskan
pendapatan dan permintaan dalam negeri. Aktiviti pelaburan dan penggunaan
swasta menjadi sederhana dengan ketara pada suku keempat tahun 2008
Pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 7.1% dalam separuh pertama tahun
2008, disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh. Permintaan
dalam negeri diterajui oleh penggunaan swasta yang berkembang kukuh dan
berterusan, disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna yang stabil,
keadaan pasaran pekerja yang positif dan persekitaran pembiayaan yang memuaskan.
Permintaan luar negeri disokong oleh harga komoditi yang sangat tinggi dan
jumlah eksport yang kukuh. Permintaan daripada negara serantau juga kukuh.
Apabila
kemerosotan global semakin buruk pada separuh kedua tahun 2008, dengan
beberapa ekonomi maju yang utama mengalami kemelesetan dan pertumbuhan
beberapa ekonomi serantau menyederhana dengan nyata, permintaan luar negeri
bersih merosot dengan ketara. Walau bagaimanapun, pertumbuhan KDNK benar
kekal positif pada separuh kedua tahun itu, dengan berkembang secara
sederhana sebanyak 2.4%, disokong oleh penggunaan awam yang kukuh dan
pengembangan penggunaan swasta yang berterusan. Bonus untuk kakitangan awam, pembayaran
rebat tunai subsidi minyak dan akses berterusan kepada pembiayaaan telah menyokong
penggunaan swasta ketika keadaan guna tenaga yang kian lemah telah
menjejaskan sedikit sebanyak sentimen pengguna. Persekitaran ekonomi global
yang semakin merosot juga telah mendorong kepada kemerosotan aktiviti pelaburan
swasta pada separuh kedua tahun itu. Dari segi penawaran, pertumbuhan pada
enam bulan pertama tahun itu telah didorong oleh prestasi sektor perkhidmatan
yang teguh lantaran keadaan permintaan dalam negeri yang mantap, dan
pengembangan aktiviti perdagangan dan pelancongan. Sokongan berterusan dating
daripada sektor perkilangan berikutan permintaan luar negeri yang teguh
daripada pasaran bukan AS dan eksport keluaran berasaskan sumber yang lebih
tinggi yang turut mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi. Sektor pertanian
juga meningkat pada kadar yang lebih kukuh disebabkan terutamanya
pengembangan pengeluaran minyak sawit mentah. Walau bagaimanapun, sektor
perkilangan, terutamanya industri berorientasikan eksport, menjadi lemah pada
separuh kedua tahun itu, sejajar dengan kemerosotan permintaan global dan
pembetulan mendadak harga komoditi. Sektor perkhidmatan terus menyokong
ekonomi pada separuh kedua tahun itu, walaupun pertumbuhan menjadi sederhana
disebabkan pertumbuhan perlahan subsektor perkhidmatan yang bergantung pada
aktiviti berkaitan perdagangan dan pasaran modal.
Sejajar
dengan aktiviti ekonomi yang kukuh pada separuh pertama tahun 2008, keadaan pasaran
pekerja teguh sepanjang tempoh itu. Bagaimanapun, keadaan pasaran pekerja mula
lembap pada separuh kedua tahun itu apabila syarikat-syarikat, terutamanya
dalam sektor perkilangan, bersikap berhati-hati ketika permintaan luar negeri
merosot. Oleh itu, kadar pengangguran bertambah kepada 3.7% pada tahun 2008,
apabila jumlah guna tenaga berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding
dengan peningkatan dalam tenaga kerja. Walaupun tekanan inflasi semakin meningkat
pada separuh pertama tahun itu, tiada bukti berlakunya kenaikan upah
berlebihan sebagai tindak balas terhadap harga yang lebih tinggi. Kaji
Selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia menunjukkan bahawa gaji purata
dalam sektor swasta bertambah sebanyak 5.9% pada 2008 sejajar dengan trend
tempoh terdahulu. Sementara itu, produktiviti pekerja meningkat lagi pada
tahun 2008 dan terus menyokong kenaikan gaji dan pertumbuhan upah. Inflasi
berada pada trend menaik pada lima bulan pertama tahun 2008 ekoran
peningkatan dalam harga makanan dan bahan api global, hingga mencecah paras
tertinggi pada pertengahan tahun. Kadar inflasi, walau bagaimanapun, naik dengan
mendadak pada suku ketiga ekoran pelarasan 40.4% ke atas harga bahan api runcit
pada bulan Jun. Kadar inflasi mencatat paras tertinggi kepada 8.5% pada bulan
Julai.
Penurunan
harga makanan global dan juga penurunan harga komoditi yang cepat telah membawa
kepada pembetulan mendadak dan pesat bagi seluruh harga komoditi global. Hal ini
mengakibatkan penyusutan harga makanan dalam negeri dan harga bahan api pada
suku keempat. Bagi keseluruhan tahun itu, inflasi keseluruhan berpurata pada
5.4%. Kedudukan luaran kekal kukuh pada separuh pertama tahun 2008,
disebabkan terutamanya oleh lebihan akaun semasa yang besar. Akaun semasa
disokong oleh lebihan dagangan yang ketara besar berikutan pertumbuhan yang lebih
kukuh pada kedua-dua eksport komoditi dan perkilangan berasaskan sumber,
dalam keadaan harga komoditi yang tinggi. Akaun perkhidmatan terus
mencatatkan lebihan, disebabkan perolehan yang lebih tinggi daripada
pelancongan. Akaun kewangan turut mencatatkan lebihan yang besar pada separuh
pertama tahun 2008, disebabkan aliran masuk pelaburan langsung asing dan
pelaburan lain yang kukuh. Lebihan yang besar pada akaun semasa terus mampan
pada separuh kedua tahun 2008, disebabkan eksport yang lebih sederhana telah
diimbangi oleh penyusutan dalam import. Walau bagaimanapun, imbangan pembayaran
secara keseluruhan pada separuh kedua tahun 2008 mencatatkan defisit bersih. Ini
disebabkan aliran keluar bersih yang besar dalam akaun kewangan, yang lebih
daripada mengimbangi lebihan dalam akaun semasa. Aliran keluar bersih dalam
akaun kewangan adalah disebabkan terutamanya oleh kebalikan aliran portfolio
pelaburan yang banyak berikutan aktiviti pembayaran balik hutang oleh
institusi kewangan ekoran krisis kewangan global yang semakin buruk.
Ekonomi
Malaysia menghadapi krisis kewangan global dalam keadaan kedudukan ekonominya
yang kukuh. Ini disebabkan terutamanya oleh sistem kewangan yang lebih teguh
selepas negara menghadapi krisis kewangan Asia sedekad yang lalu di samping
struktur ekonomi yang lebih seimbang dan pelbagai. Kedudukan luaran negara
juga berdaya tahan, dengan hutang luar negeri yang rendah, lebihan akaun semasa
yang mampan dan paras rizab luar negeri yang tinggi. Sektor kewangan adalah
mantap, dengan mudah tunai dan penampan modal yang kukuh. Memandangkan
ketidakpastian dalam persekitaran luaran yang berlanjutan, tindak balas dasar
tertumpu pada usaha menyokong permintaan dalam negeri, dengan memastikan pengembangan
berterusan dalam penggunaan swasta dan perbelanjaan awam, serta mengelakkan
pengangguran yang meluas.
|
|
EKONOMI
MALAYSIA 2009
Ekonomi
Malaysia menguncup sebanyak 1.7% pada tahun 2009, iaitu tahun ekonomi global mengalami
kemerosotan terburuk dalam sejarah moden. Ekonomi negara merasai kesan kemelesetan
ekonomi global sepenuhnya pada suku pertama apabila ia merosot sebanyak 6.2%.
Kemerosotan ini adalah penguncupan asas tahunan yang pertama bagi KDNK benar sejak
suku ketiga 2001. Kejatuhan yang teruk dalam permintaan global dan
perdagangan dunia menyebabkan eksport dan pengeluaran perindustrian di
Malaysia merosot pada kadar dua angka. Berikutan tahap keterbukaan ekonomi yang
tinggi, kemerosotan permintaan luar negeri telah menjejaskan guna tenaga,
pendapatan serta sentimen keseluruhan sektor perniagaan dan pengguna lantas
mengakibatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta pada suku pertama 2009
merosot. Pertumbuhan pada suku tersebut juga terjejas oleh pengeluaran
inventori yang besar, terutamanya dalam sektor perkilangan dan komoditi.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan langkah rangsangan fiskal yang dipercepat,
pelonggaran dasar monetari yang agresif dan pengenalan langkah komprehensif
untuk memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah menyumbang
kepada penstabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua. Ini disusuli oleh pemulihan
pada separuh kedua tahun tersebut. Di samping perbelanjaan awam yang lebih tinggi,
langkah-langkah dasar tersebut juga membantu memulihkan sentimen sektor
swasta, yang bersama-sama dengan keadaan pasaran pekerja yang semakin baik,
telah menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua 2009.
Tanda-tanda bahawa aktiviti pelaburan swasta mula stabil semakin jelas
menjelang akhir tahun 2009. Selain itu, permintaan luar negeri menjadi
pemangkin pertumbuhan selanjutnya apabila ekonomi global, terutamanya ekonomi
serantau, beransur-ansur pulih. Hasilnya, ekonomi Malaysia mendapat momentum
pertumbuhannya pada suku keempat, apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5% hasil
sokongan permintaan dalam dan luar negeri yang lebih kukuh.
Dari
segi penawaran, pertumbuhan pada suku pertama terjejas terutamanya akibat
kemerosotan yang ketara dalam sektor perkilangan. Sektor-sektor lain juga
menguncup, kecuali sector pembinaan. Dalam sektor perkilangan, industry berorientasikan
eksport terutamanya, telah terjejas teruk oleh kemerosotan permintaan luar negeri
yang ketara. Namun, sektor perkilangan beransur-ansur pulih dan mencatat
pertumbuhan positif pada suku keempat sejajar dengan pemulihan dalam
permintaan luar negeri. Sektor perkhidmatan pula merosot sedikit pada suku
pertama, disebabkan terutamanya oleh penguncupan subsektor berkaitan dengan aktiviti
perkilangan dan perdagangan. Ekoran permintaan dalam negeri yang meningkat,
prestasi sektor perkhidmatan secara beransur-ansur menjadi bertambah baik
sejak suku kedua, hasil sumbangan pertumbuhan subsektor perkhidmatan yang
bergantung pada aktiviti ekonomi dalam negeri dan subsektor berkaitan dengan
kewangan dan pasaran modal. Namun, pertumbuhan sector pembinaan kekal positif
sepanjang tempoh tersebut terutamanya berikutan pelaksanaan projek berkaitan
pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan langkah rangsangan
fiskal.
Keadaan
pasaran pekerja menjadi sangat lemah pada suku pertama apabila syarikat
perkilangan mengurangkan operasi mereka, terutamanya pada dua bulan pertama
2009. Jumlah pemberhentian pekerja meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh
tujuh tahun, iaitu sebanyak 25,064 orang pekerja pada tahun 2009, dengan separuh
daripada mereka kehilangan pekerjaan pada suku pertama. Keadaan pasaran
pekerja mula stabil pada suku kedua dan selepas itu menjadi bertambah baik
seperti ditunjukkan oleh pemberhentian pekerja yang berkurang dan pengambilan
pekerja baharu oleh syarikat. Pemulihan pasaran pekerja yang lebih pantas daripada
jangkaan berikutan keadaan ekonomi global dan dalam negeri yang lebih baik
telah menyebabkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 3.7% daripada
tenaga kerja, berbanding dengan unjuran awal pada 4.5%. Walaupun persekitaran
ekonomi terus mencabar dan produktiviti merosot pada tahun 2009, majikan
dalam sektor swasta tetap menaikkan gaji pekerja, meskipun pada kadar yang
lebih sederhana sebanyak 3.4% (2008: 5.1%). Inflasi keseluruhan berpurata
pada 0.6% pada tahun 2009 (2008: 5.4%) apabila tekanan inflasi di Malaysia
menjadi lebih sederhana, sejajar dengan perkembangan global dan dalam negeri.
Keadaan permintaan global yang lemah, terutamanya pada suku pertama 2009, menyebabkan
kejatuhan yang besar dalam harga komoditi dunia, terutamanya harga minyak
mentah. Berikutan itu, beberapa Negara mengalami tekanan inflasi yang lebih
rendah pada tahun itu. Inflasi dalam ekonomi maju mencatat kejatuhan yang
besar, sementara inflasi dalam ekonomi pesat membangun juga merosot pada tahun
2009. Kemelesetan inflasi yang paling ketara dicatat oleh Republik Rakyat
China (2009: -0.7%; 2008: +5.9%). Kejatuhan harga bahan api dan komoditi
dunia serta inflasi yang lebih rendah di negara-negara rakan perdagangan
utama Malaysia telah menyumbang kepada inflasi dalam negeri yang lebih
rendah. Penurunan harga runcit petrol tempatan secara kumulatif pada separuh kedua
2008, mendorong kepada trend inflasi dalam negeri yang sederhana pada tahun
2009. Kedudukan luaran Malaysia terus kukuh pada tahun 2009 walaupun
persekitaran luaran sangat lemah. Akaun semasa terus mencatat lebihan yang
besar pada tahun 2009, disokong oleh lebihan perdagangan yang besar dan akaun
perkhidmatan yang bertambah baik. Walaupun eksport kasar merosot dengan
ketara pada tahun 2009, khususnya pada separuh pertama tahun, lebihan
perdagangan kekal besar memandangkan permintaan terhadap eksport yang lebih
rendah diiringi oleh kejatuhan dalam import. Akaun perkhidmatan mencatat lebihan
yang ketara pada tahun 2009 berikutan perolehan daripada sektor perjalanan
yang lebih tinggi berikutan aktiviti perjalanan serantau yang berterusan dan
defisit yang lebih kecil dalam perkhidmatan lain. Sementara itu, akaun
kewangan mencatat aliran keluar bersih yang lebih rendah pada tahun itu,
sebahagian besarnya disebabkan oleh aliran keluar portfolio yang lebih
sederhana pada separuh pertama dan aliran masuk bersih pada separuh kedua.
Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing dan aliran keluar bersih
pelaburan langsung luar negeri juga menjadi sederhana di tengah-tengah
keadaan ekonomi yang lemah. Aliran keluar pelaburan lain, sebahagian besarnya
terdiri daripada kredit perdagangan, meningkat pada tahun itu. Memandangkan lebihan
akaun semasa yang besar telah lebih daripada mengimbangi aliran keluar bersih
dalam akaun kewangan, imbangan pembayaran secara keseluruhan mencatat lebihan
pada tahun 2009.
Perkembangan
ini menyumbang kepada kenaikan rizab antarabangsa bersih sebanyak RM13.9 bilion
lagi. Rizab berjumlah RM331.3 bilion (atau USD96.7 bilion) pada 31 Disember
2009. Ekonomi Malaysia yang terjejas dengan ketara oleh perkembangan ekonomi
global pada suku pertama 2009, pulih dengan pantas untuk mencatat pertumbuhan
positif pada suku keempat. Selain permintaan luar negeri yang bertambah baik,
ekonomi dalam negeri juga disokong oleh pelaksanaan langkah rangsangan fiskal
yang dipercepat, persekitaran monetari yang akomodatif dan akses kepada
pembiayaan yang berterusan. Tindak balas dasar yang pantas dan komprehensif, yang
juga membantu memulihkan sentiment pengguna dan perniagaan, telah memainkan peranan
penting dalam mengekalkan permintaan dalam negeri, iaitu faktor utama yang
menyokong aktiviti ekonomi sepanjang tempoh tersebut. Selain itu, sistem
kewangan domestik kekal kukuh walaupun persekitaran kewangan antarabangsa makin
mencabar. Sistem kewangan meneruskan fungsi pengantaraannya dengan berkesan
dan membantu memulihkan permintaan dalam negeri. Secara keseluruhan,
asas-asas ekonomi dan kewangan yang kukuh, seperti dicerminkan oleh daya
tahan permintaan dalam negeri, kedudukan rizab antarabangsa yang tinggi,
hutang luar negeri yang rendah, kadar simpanan yang terus tinggi dan sektor
perbankan yang kukuh, telah meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang
lebih baik untuk terus berkembang pada masa hadapan.
|
|
EKONOMI MALAYSIA 2010
Pada tahun 2010, ekonomi Malaysia kembali mencatat pertumbuhan
yang kukuh, iaitu sebanyak 7.2% selepas mencatat kemerosotan pada tahun 2009.
Pertumbuhan dipacu sebahagian besarnya melalui permintaan dalam negeri yang
teguh; dan terutamanya melalui aktiviti sektor swasta. Khususnya, penggunaan swasta
berkembang mantap sepanjang tahun itu, disokong oleh keadaan pasaran pekerja
yang menggalakkan, peningkatan pendapatan yang stabil, pengguna yang lebih
optimistik dan akses yang berterusan kepada kredit. Keadaan pasaran pekerja
yang menggalakkan dicerminkan dalam pertumbuhan guna tenaga yang lebih kukuh,
kadar pemberhentian pekerja dan juga kadar pengangguran yang lebih rendah.
Di samping itu, selepas mengalami penguncupan yang ketara pada
tahun 2009, pelaburan swasta meningkat semula dengan kukuh dan mencatat pertumbuhan
dua angka pada tahun 2010. Ini mencerminkan peningkatan perbelanjaan modal
dalam semua sektor, khususnya sector perkilangan, perlombongan dan
perkhidmatan, berikutan keadaan ekonomi dalam negeri yang menggalakkan dalam
keadaan permintaan luar negeri yang bertambah baik.
Sektor awam terus memberikan sokongan penting kepada ekonomi
dalam negeri pada tahun ini melalui pelaksanaan program untuk terus
mempertingkat infrastruktur dan sistem penyampaian sector awam. Permintaan
luar negeri meningkat semula dengan kukuh pada separuh tahun pertama,
disokong oleh permintaan serantau yang kukuh, dan sebahagiannya disebabkan oleh
kesan asas (base-effect) pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, momentum pertumbuhan menjadi perlahan pada separuh tahun
kedua, seiring dengan pertumbuhan lebih sederhana dalam perdagangan global
dan kesan asas pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya yang
semakin berkurang.
Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatat prestasi yang
kukuh pada tahun 2010, seiring dengan permintaan dalam negeri yang teguh dan
eksport yang meningkat semula.
Sektor perkhidmatan khususnya, mendapat faedah daripada
pengukuhan permintaan dalam negeri dan permintaan luar, dan kekal sebagai penyumbang
terbesar kepada pertumbuhan. Semua subsektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan
lebih tinggi pada separuh tahun pertama tetapi pertumbuhan menjadi sederhana
pada separuh tahun kedua berikutan permintaan luar negeri yang lebih perlahan
yang memberikan kesan kepada subsektor perkhidmatan berkaitan perdagangan dan
perkilangan. Namun begitu, pertumbuhan yang mampan dalam penggunaan dalam
negeri terus memberikan manfaat kepada subsektor yang bergantung pada
permintaan dalam negeri.
Sektor
perkilangan kembali mencatat pertumbuhan yang mantap, dengan industry kelompok
keluaran elektronik dan elektrik serta industri berorientasikan dalam negeri mencatat
kadar pertumbuhan dua angka. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan menjadi sederhana
menjelang akhir tahun disebabkan oleh permintaan luar yang lebih perlahan dan
kesan asas pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya yang semakin
berkurang. Sektor komoditi juga berkembang pada kadar lebih kukuh pada tahun
2010, disokong oleh pengeluaran gas asli dan tanaman makanan yang kekal
tinggi. Sektor pembinaan menjadi sederhana, sebahagiannya disebabkan oleh pertumbuhan
yang lebih perlahan pada separuh tahun kedua berikutan siapnya projek yang dibiayai
melalui pakej rangsangan kedua.
Inflasi
keseluruhan berpurata pada 1.7% pada tahun 2010 (2009: 0.6%), dipacu oleh faktor
penawaran ekoran harga makanan yang lebih tinggi dan pelarasan harga barangan
ditadbir. Faktor penawaran dalam negeri secara relatif lebih dominan
mendorong inflasi pada tahun 2010. Pada tahun itu, terdapat satu siri
pelarasan yang lebih tinggi terhadap harga runcit petrol RON95, diesel, LPG
dan gula, yang merupakan sebahagian daripada langkah pengurangan subsidi oleh
Kerajaan yang diumumkan pada bulan Mei. Kesan faktor luaran terhadap harga
dalam negeri adalah lebih sederhana pada tahun 2010, dan hanya tertumpu pada
jenis makanan terpilih. Ini mencerminkan kenaikan harga global yang ketara
untuk gandum dan jagung disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk di Negara pengeluar
gandum dan jagung yang utama. Inflasi teras, yang merupakan penunjuk tekanan terhadap
harga yang dipacu oleh permintaan, meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak
1.5% pada tahun 2010 (2009: 2.7%).
Kedudukan
luaran Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2010. Lebihan akaun semasa
kekal besar, tetapi lebih kecil dari tahun 2009, manakala akaun kewangan mencatat
aliran keluar bersih yang lebih rendah. Pengurangan dalam lebihan akaun
semasa mencerminkan lebihan perdagangan yang lebih rendah berikutan
pertumbuhan import menjadi pesat susulan permintaan dalam negeri yang kukuh
pada tahun itu serta mengatasi pertumbuhan eksport. Di samping itu, deficit akaun
pendapatan meningkat disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi yang terakru kepada
pelabur langsung asing di Malaysia, manakala akaun perkhidmatan kekal dalam lebihan,
walaupun dengan amaun yang lebih kecil kerana disokong oleh ketibaan
pelancong yang lebih tinggi. Akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih
yang lebih kecil pada tahun 2010, sebahagian besarnya mencerminkan aliran
masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing yang lebih tinggi
berikutan keadaan ekonomi global dan dalam negeri yang bertambah baik. Aliran
masuk ini sebahagiannya mengimbangi aliran keluar pelaburan langsung di luar
negeri yang lebih tinggi kerana syarikat Malaysia terus meneroka peluang di
luar negeri. Aliran keluar pelaburan lain, yang kebanyakannya mencerminkan
kredit perdagangan dan penempatan deposit di luar negeri oleh pemastautin,
menjadi sederhana pada tahun ini. Selepas pelarasan bagi kesilapan dan
ketinggalan, rizab antarabangsa bersih merosot sebanyak RM2.6 bilion kepada
RM328.6 bilion, bersamaan dengan USD106.5 bilion, pada 31 Disember 2010.
|
|
EKONOMI
MALAYSIA 2011
Meskipun
persekitaran ekonomi antarabangsa pada tahun 2011 adalah mencabar, ekonomi Malaysia
mencatat kadar pertumbuhan yang stabil sebanyak 5.1% (2010: 7.2%).
Pertumbuhan pada separuh pertama tahun itu adalah lebih sederhana,
terutamanya pada suku kedua, berikutan ekonomi telah terjejas oleh kelemahan yang
menyeluruh di ekonomi-ekonomi maju dan gangguan dalam rantaian bekalan
perkilangan global yang disebabkan oleh bencana di Jepun. Walaupun
persekitaran ekonomi global menjadi semakin mencabar dan tidak menentu pada separuh
tahun kedua, pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik disebabkan oleh permintaan
dalam negeri yang lebih kukuh. Permintaan dalam negeri mencatat pertumbuhan yang
lebih tinggi pada tahun 2011, didorong oleh perbelanjaan sektor isi rumah dan
perniagaan, serta penggunaan sektor awam yang lebih tinggi. Penggunaan swasta
bertambah kukuh pada tahun 2011, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang
menyeluruh, berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik secara
keseluruhan. Selain itu, kakitangan
awam juga memperoleh manfaat daripada dua pembayaran bonus setengah bulan
gaji pada separuh kedua tahun tersebut, manakala isi rumah di kawasan luar bandar
mendapat manfaat daripada harga getah dan minyak sawit yang lebih tinggi.
Pelaburan swasta kekal kukuh, walaupun pertumbuhan menjadi sederhana sedikit
pada separuh tahun kedua, disebabkan oleh persekitaran luaran menjadi semakin
tidak menentu. Penggunaan awam juga mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi
pada tahun 2011, sejajar dengan usaha Kerajaan untuk menambah baik
perkhidmatan penyampaian awam. Walau bagaimanapun, pelaburan awam menguncup
pada tahun itu berikutan pembayaran perbelanjaan pembangunan yang lebih
rendah oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, pelaburan oleh perusahaan awam bukan kewangan (PABK)
kekal kukuh pada tahun 2011. Walaupun permintaan luar negeri untuk keluaran
elektronik dan elektrik (E&E) dipengaruhi oleh perdagangan global yang
lebih lemah, eksport komoditi dan keluaran bukan E&E kekal kukuh pada
tahun itu, lantas memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan.
Pengembangan
yang kukuh dalam permintaan dalam negeri adalah faktor utama dalam memacu pertumbuhan
keseluruhan sektor berorientasikan dalam negeri, manakala permintaan serantau
yang kukuh memberi sokongan kepada industry perkilangan berkaitan komoditi
dan sector pertanian. Sektor perkhidmatan berkembang dengan kukuh pada tahun
2011 dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan. Pengembangan
teguh penggunaan swasta telah memberikan sokongan kepada subsektor perdagangan
borong dan runcit serta penginapan dan restoran. Sektor perkilangan
berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan prestasi yang lemah
dalam industri berorientasikan eksport dan dalam negeri. Industri
berorientasikan eksport dipengaruhi terutamanya oleh permintaan luaran yang
lebih lemah dan gangguan dalam rantaian bekalan global E&E, manakala industry
berorientasikan dalam negeri pula dipengaruhi terutamanya oleh penguncupan
industri peralatan pengangkutan berikutan gangguan pada bekalan rantaian.
Pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi telah menyumbang kepada
pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor pertanian, sementara sektor
pembinaan menjadi sederhana berikutan beberapa projek utama telah disiapkan. Sektor
perlombongan menguncup pada tahun 2011 kerana pengeluaran minyak mentah dan kondensat
telah terjejas oleh penutupan beberapa buah loji pengeluaran.
Inflasi
keseluruhan berpurata pada 3.2% pada tahun 2011 (2010: 1.7%). Peningkatan
inflasi, khususnya pada separuh pertama tahun 2011, disebabkan terutamanya
oleh faktor penawaran yang berpunca daripada harga makanan yang lebih tinggi
dan pelarasan yang lebih tinggi terhadap harga ditadbir. Inflasi mencatat paras
tertinggi pada 3.5% pada bulan Jun dan menurun pada separuh kedua tahun itu disebabkan
kesan daripada pelarasan lebih tinggi bagi harga keluaran petroleum dan gula
pada bulan Julai dan Disember 2010 telah luput. Inflasi teras, iaitu penunjuk
tekanan harga berasaskan permintaan, meningkat kepada 2.6% pada tahun 2011
(2010: 1.5%). Kedudukan luaran Malaysia bertambah baik pada tahun 2011.
Imbangan
pembayaran secara keseluruhan kembali pulih untuk mencatat lebihan yang kukuh
kerana lebihan akaun semasa telah meningkat dan akaun kewangan kembali positif.
Lebihan yang lebih besar dalam akaun perdagangan, yang berpunca terutamanya daripada
eksport komoditi yang kukuh yang sebahagian besarnya mendapat manfaat daripada
harga yang lebih tinggi, dan defisit yang lebih rendah dalam akaun
pendapatan, telah menyumbang kepada peningkatan lebihan dalam akaun semasa.
Imbangan yang positif dalam akaun kewangan sebahagian besar disebabkan oleh
aliran masuk dana portfolio dan pelaburan langsung asing (foreign direct
investment, FDI). Pelaburan langsung di luar negeri mencatat aliran keluar
bersih yang lebih tinggi berikutan syarikat-syarikat Malaysia terus mengembangkan
perniagaan ke luar negeri. Aliran keluar pelaburan lain, yang terdiri
terutamanya daripada aliran kredit perdagangan dan perbankan, menjadi
sederhana dengan ketara pada tahun 2011. Selepas pelarasan bagi kesilapan dan
ketinggalan, imbangan pembayaran secara keseluruhan mencatat lebihan yang
besar sebanyak RM94.7 bilion. Dengan itu, rizab antarabangsa bersih Bank
Negara Malaysia berjumlah RM423.3 bilion, bersamaan dengan USD133.6 bilion,
pada 31 Disember 2011.
|
|
EKONOMI
MALAYSIA 2012
Ekonomi
Malaysia mencatat prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada tahun 2012,
dengan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.6% (2011: 5.1%). Pertumbuhan
yang kukuh ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang
mengurangkan kesan negatif daripada persekitaran luar yang lemah. Permintaan
dalam negeri mencatat kadar pertumbuhan tertinggi bagi dekad ini, disokong
oleh perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang lebih kukuh. Berbeza dari
tahun 2009 apabila permintaan luaran yang lemah telah menjejaskan aktiviti
ekonomi dalam negeri dengan ketara melalui kesannya ke atas pelaburan swasta
dan penggunaan swasta, permintaan dalam negeri pada tahun 2012 kekal berdaya
tahan. Daya tahan permintaan dalam negeri yang berterusan disokong sebahagian
besarnya oleh asas-asas makroekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih
pelbagai dan seimbang, sistem kewangan yang lebih kukuh dan lebih maju, serta
dasar makroekonomi yang lebih fleksibel.
Meneruskan
trend sejak tahun 2011, pembentukan modal tetap kasar mencatat pertumbuhan
yang kukuh pada tahun 2012. Kadar pertumbuhan pelaburan swasta kekal
memberangsangkan sepanjang tahun itu, dengan aktiviti pelaburan yang
menyeluruh oleh firma merentas kebanyakan sektor. Pelaburan dalam sektor
minyak dan gas mencerminkan usaha bersepadu oleh sector awam dan sektor
swasta untuk meningkatkan pengeluaran minyak melalui pelaburan baharu dalam
medan minyak laut dalam dan medan minyak yang lebih kecil. Pertumbuhan kukuh
yang berterusan dalam penggunaan swasta telah mendorong kepada pelaburan yang
lebih besar dalam sektor perkhidmatan berkaitan pengguna dan perkilangan,
manakala permintaan serantau yang teguh memberikan insentif yang besar bagi
pelaburan dalam sektor perkhidmatan berkaitan pelancongan, seperti industri Perkhidmatan penerbangan, perubatan dan
pendidikan. Persekitaran pembiayaan yang kondusif dalam sector perbankan dan
pasaran modal juga menyokong pembiayaan perbelanjaan modal. Di samping itu, pelaksanaan
dan kemajuan dalam beberapa projek infrastruktur, termasuk projek yang
dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti Aliran Transit MY, juga telah memberikan
kesanlimpahan positif yang ketara terhadap aktiviti dalam sektor perkilangan
dan perkhidmatan dalam negeri. Ekoran perkembangan ini, nilai ditambah dalam sektor
pembinaan mencatat pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2012.
Walaupun
wujudnya ketidaktentuan dalam persekitaran luar, aktiviti penggunaan terus kukuh
pada tahun 2012. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan
pendapatan yang menggalakkan, persekitaran inflasi yang rendah erta keadaan
pembiayaan yang menyokong aktiviti penggunaan. Perbelanjaan isi rumah juga
disokong oleh bayaran pindahan Kerajaan kepada isi rumah yang berpendapatan
rendah dan sederhana. Walaupun pendapatan di kawasan luar Bandar terjejas
akibat kemerosotan harga getah dan kelapa sawit, sebahagiannya telah
diimbangi oleh pembayaran sebanyak RM15,000 kepada peneroka FELDA dengan
jumlah keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion.
Peningkatan
aktiviti ekonomi dalam negeri pada tahun itu telah menyebabkan import
barangan dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan yang terus kukuh. Pertumbuhan
kukuh ini sebahagian besarnya mencerminkan import barangan modal yang mantap,
terutamanya import jentera, kelengkapan telekomunikasi serta pesawat
penumpang. Import barangan penggunaan juga berkembang sejajar dengan
pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perbelanjaan pengguna. Import perkhidmatan
turut didorong terutamanya oleh pembayaran yang lebih tinggi bagi
perkhidmatan profesional dan pembinaan, berikutan aktiviti pelaburan dan
pembinaan yang kukuh pada tahun itu. Pembayaran untuk perjalanan juga lebih
tinggi, mencerminkan bilangan rakyat Malaysia yang lebih banyak melancong ke
luar negeri untuk percutian.
Eksport
barangan dan perkhidmatan menjadi sederhana dengan ketara dalam keadaan permintaan
luar negeri yang lebih lemah dari ekonomi maju dan ekonomi serantau. Pertumbuhan
yang lebih rendah dalam eksport kasar disebabkan terutamanya oleh permintaan yang
lebih lemah terhadap komoditi mentah dan keluaran bukan elektrik dan
elektronik (E&E). Pada separuh pertama tahun 2012, pertumbuhan dalam
eksport bukan E&E disokong oleh permintaan serantau. Walau bagaimanapun, pada
separuh kedua tahun 2012, permintaan dari rantau ini terhadap eksport
perkilangan dan komoditi merosot, berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan
dalam ekonomi serantau utama. Yang ketara, permintaan terhadap minyak sawit
mentah dan getah asli yang lebih rendah dialami semasa RR China mengalami pertumbuhan
yang lembap dan kawasan euro mengalami kemelesetan ekonomi. Penguncupan dalam
eksport komoditi juga diburukkan lagi oleh pengeluaran minyak sawit mentah
yang lebih rendah dan gangguan dalam pengeluaran gas asli. Walaupun mencatat
peningkatan kecil, eksport E&E masih lemah disebabkan oleh trend
pelaburan dan penggunaan yang lembap dalam ekonomi maju. Eksport perkhidmatan
meningkat sedikit disebabkan terutamanya oleh perolehan yang lebih tinggi daripada
penyediaan perkhidmatan komputer, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
serta perkhidmatan perniagaan dan professional oleh syarikat Malaysia.
Perolehan daripada perkhidmatan pengangkutan merosot dengan nyata, berikutan
eksport barangan yang sederhana dan ketibaan pelancong yang lebih rendah.
Pertumbuhan ketibaan pelancong yang lebih rendah juga telah menjejaskan
penerimaan daripada aktiviti pelancongan bagi tahun 2012.
Pertumbuhan
import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding dengan eksport
menyebabkan eksport barangan dan perkhidmatan bersih mencatat penguncupan
yang lebih besar pada tahun 2012, sekali gus mencatat sumbangan negatif yang
lebih besar kepada pertumbuhan KDNK keseluruhan. Walau bagaimanapun, keadaan
ini lebih daripada diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada
permintaan dalam negeri yang lebih kukuh.
|
|
EKONOMI
MALAYSIA 2013
Ekonomi
Malaysia meningkat 4.7% pada tahun 2013 (2012: 5.6%), didorong oleh
pertumbuhan permintaan dalam negeri yang terus kukuh. Meskipun persekitaran
luar negeri lebih lemah pada separuh pertama tahun 2013, permintaan dalam
negeri kekal berdaya tahan sepanjang tahun, dipacu aktiviti sektor swasta
yang teguh. Penggunaan swasta kukuh, disokong terutamanya oleh keadaan guna
tenaga dan pertumbuhan gaji yang menggalakkan. Pelaburan swasta mencatat
pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2013, meneruskan momentum pertumbuhan tahun
sebelumnya. Pertumbuhan disokong oleh perbelanjaan modal dalam sektor
perlombongan, perkhidmatan dan perkilangan. Walaupun perbelanjaan pembangunan
Kerajaan Persekutuan berkurang pada tahun 2013, pertumbuhan pelaburan awam
kekal positif hasil daripada perbelanjaan modal perusahaan awam yang terus
tinggi.
Prestasi
pertumbuhan yang lebih sederhana pada tahun 2013 disebabkan sebahagian
besarnya oleh perkembangan di sektor luaran. KDNK benar mencatat pertumbuhan
yang lebih sederhana pada 4.3% pada separuh pertama tahun 2013 (ST1 2012:
5.4%), akibat terjejas oleh kelemahan permintaan luar negeri yang
berpanjangan. Permintaan terhadap eksport Malaysia, terutamanya produk
elektronik dan elektrik (E&E), telah menerima kesan akibat pertumbuhan
yang perlahan di AS dan aktiviti ekonomi yang lemah di kebanyakan negara
Eropah. Permintaan daripada ekonomi maju yang berterusan lemah juga telah
memberikan kesan kepada beberapa ekonomi serantau, yang seterusnya
melembapkan permintaan terhadap produk bukan E&E Malaysia. Akibatnya,
eksport barangan dan perkhidmatan benar merosot sebanyak 2.9% pada separuh
pertama tahun 2013. Sebaliknya, import barangan dan perkhidmatan benar terus
berkembang pada separuh tahun pertama berikutan pertumbuhan yang mampan dalam
pelaburan dan penggunaan dalam negeri. Ini telah menyumbang kepada penguncupan
lebih besar dalam eksport bersih.
Akibat
daripada prestasi eksport yang lemah, unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun
2013 telah dikurangkan kepada 4.5%-5% pada bulan Ogos, daripada unjuran awal
5%-6%. Unjuran pertumbuhan juga dikurangkan oleh beberapa ekonomi serantau
yang lain. Susulan momentum pertumbuhan global yang secara keseluruhannya
meningkat pada awal suku kedua 2013, eksport benar Malaysia bertambah baik
untuk mencatat pertumbuhan positif 2.3% pada separuh kedua tahun 2013.
Berikutan itu, meskipun import benar meningkat dengan lebih kukuh, eksport
bersih mencatat penguncupan lebih kecil pada separuh kedua tahun 2013.
Dari
sudut penawaran, pertumbuhan permintaan dalam negeri yang terus mantap
sepanjang tahun 2013 telah menyumbang kepada pengembangan aktiviti berkaitan
dalam negeri di sector perkhidmatan dan perkilangan, manakala industry berorientasikan
eksport di sektor perkilangan mendapat manfaat daripada keadaan luar negeri yang
bertambah baik pada separuh tahun kedua. Sementara itu, aktiviti yang
memberangsangkan dalam subsektor kediaman dan kejuruteraan awam telah
menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan yang terus kukuh.
|
|
SEMUA INI MERUPAKAN HIMPUNAN DARIPADA LAPORAN TAHUNAN BANK NEGARA MALAYSIA. LAPORAN INI BOLEH DI AKSES DI LAMAN WEB BANK NEGARA MALAYSIA.
WWW.BNM.GOV.MY
|
|
|
Blog ini membicarakan tetang proses mendapatkan data sekunder, memproses dan proses seterusnya untuk menyiapkan KERJA KURSUS EKONOMI
Isnin, 5 Ogos 2019
Ekonomi Malaysia 2008-2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023
Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...
-
RENCANA 2009 BAGAIMANA KEMELESETAN GLOBAL BARU-BARU INI MEMBERIKAN KESAN KEPADA EKONOMI MALAYSIA? (MS:13) ...
-
Tema kerja kursus ekonomi STPM boleh dikategori kepada dua jenis. melibatkan data primer data sekunder biasanya guru lebih cenderung k...
-
sebahagian daripada maklumat berkaitan perkembangan pasaran buruh Malaysia dari tahun 2001 sehingga 2012 yagng boleh dicapai dilaman web aca...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan