Rabu, 17 Julai 2019

Perkembangan ekonomi antarabangsa dan Malaysia sepanjang tempoh kajian (2009-2013)


Adalah lebih baik bagi calon yang memilih tema Hutang Kerajaan Persekutuan mengetahui perkembangan ekonomi antarabangsa dan Malaysia sepanjang tempoh masa kajian. Apabila pelajar mengetahui situasi ekonomi semasa maka pelajar boleh memahamai sebaranga sebarang pelan ekonomi ynag dirancang dan dilaksanakan sepanjang tempoh kajian merupakan tindakbalas yang perlu dilakukan.
     Pertumbuhan global dari tahun 2009 sehingga 2013 sentiasa berubah-ubah oleh kerana berlaku perbezaan antara pertumbuhan antara Negara maju dan Negara sedang membangun. Pada tahun 2009, pertumbuhan global boleh dikategori dengan jelas kepada dua iaitu pada separuh tahun pertama ekonomi global mengalami pengucupan ketara sebelum kembali memulih pada separuh kedua 2009. Pengucupan ketara ekonomi global berpunca dari ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan tanda kemelesetan pada tahun 2007 ekoran pasaran perumahan yang berterusan merosot dan kesan yang muncul daripada kegawatan pasaran kewangan.  Krisis yang bermula sebagai masalah dalam sistem kewangan AS ini telah merebak dengan pantas menjadi krisis kewangan global apabila ia merebak dengan cepat ke semua segmen pasaran kewangan dalam ekonomi maju, dan juga merebak dengan pantas ke ekonomi sedang pesat membangun.
     Selain daripada itu, pertumbuhan global yang tinggi secara berterusan sejak tahun 2003 telah menyebabkan tekanan terhadap penggunaan sumber dan mengakibatkan kenaikan harga komoditi. Harga minyak telah melambung ke tahap paling tinggi dan juga menyumbang kepada kenaikan harga bahan makanan disebabkan permintaan terhadap barangan pengganti kepada bahan api konvensional bertambah, termasuklah tenaga boleh dibaharui seperti biodiesel dan etanol. Keadaan cuaca yang buruk juga menyumbang kepada kenaikan harga bahan makanan.
     Krisis kewangan global yang teruk yang disusuli oleh kemelesetan global yang ketara telah mengakibatkan tindak balas dasar yang belum pernah dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa monetari di seluruh dunia. Rangsangan fiskal yang besar antara 1–12% daripada KDNK telah dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan, sementara bank-bank pusat pula melonggarkan dasar monetari secara agresif melalui potongan kadar faedah ke paras terendah yang pernah dicatatkan.
     Walaupun berlaku kegawatan dalam kewangan antarabangsa dan kemerosotan ketara dalam persekitaran ekonomi global pada tahun 2008, ekonomi Malaysia masih mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.6%. Memandangkan tahap keterbukaan ekonomi Malaysia yang tinggi, kegawatan ekonomi di peringkat global telah mengakibatkan penguncupan eksport telah menjejaskan pendapatan dan permintaan dalam negeri. Pada separuh pertama 2009, ekonomi global menguncup dengan amat ketara merupakan penguncupan terburuk sejak Perang Dunia Kedua kerana negara-negara yang mencakupi 60% daripada pengeluaran dunia terheret ke dalam kancah kemelesetan secara serentak. Kesan daripada krisis kewangan antarabangsa terhadap ekonomi benar dirasai sepenuhnya pada suku pertama 2009, apabila sebilangan besar ekonomi mengalami penguncupan KDNK benar yang sangat ketara.
     Krisis dalam pasaran kewangan antarabangsa mencapai kemuncaknya pada suku pertama 2009 ekoran kegagalan sebuah bank pelaburan AS Lehman Brothers pada suku keempat 2008. Pendedahan kerugian oleh institusi kewangan utama global yang lain dan ketidaktentuan terhadap kesolvenan institusi utama ini di tengah-tengah kebimbangan mengenai kegagalan sistemik dalam beberapa pasaran kewangan telah mengakibatkan peralihan kepada asset yang lebih selamat, termasuk wang tunai. Akibatnya, aktiviti dalam pasaran sekuriti hutang terhenti, mudah tunai pasaran merosot dan pasaran ekuiti global jatuh dengan ketara ke paras terendah dalam beberapa tahun pada bulan Mac 2009.
          Ekonomi Malaysia mengalami penguncupan sebanyak 1.7% pada tahun 2009, iaitu tahun ekonomi global mengalami kemerosotan terburuk dalam sejarah moden. Ekonomi negara merasai kesan kemelesetan ekonomi global sepenuhnya pada suku pertama apabila ia merosot sebanyak 6.2%. Kejatuhan yang teruk dalam permintaan global dan perdagangan dunia menyebabkan eksport dan pengeluaran perindustrian di Malaysia merosot pada kadar dua angka. Berikutan tahap keterbukaan ekonomi yang tinggi, kemerosotan permintaan luar negeri telah menjejaskan guna tenaga, pendapatan serta sentimen keseluruhan sektor perniagaan dan pengguna lantas mengakibatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta pada suku pertama 2009 merosot. Pertumbuhan pada suku tersebut juga terjejas oleh pengeluaran inventori yang besar, terutamanya dalam sektor perkilangan dan komoditi.
     Kerajaan Malaysia telah melaksanakan langkah untuk mengurangkan kemelesetan ekonomi yang melibatkan tindak balas dasar iaitu mengumumkan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 billion dengan tumpuan utama untuk menyokong permintaan dalam negeri dan mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi global terhadap segmen ekonomi yang terjejas. Selain daripada itu, rangsangan monetari untuk mengurangkan kos pengantaraan, langkah komprehensif untuk memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan, serta meminimumkan kesan kemelesetan ekonomi terhadap sektor tertentu yang terjejas dan lain-lain tindakbalas dasar. Pelaksanaan langkah rangsangan fiskal yang dipercepat, pelonggaran dasar monetari yang agresif dan pengenalan langkah komprehensif untuk memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah menyumbang kepada penstabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua. Ini disusuli oleh pemulihan pada separuh kedua tahun tersebut. Langkah-langkah dasar tersebut juga membantu memulihkan sentimen sektor swasta dan telah menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua 2009. Hasilnya, ekonomi Malaysia mendapat momentum pertumbuhannya pada suku keempat, apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5% hasil sokongan permintaan dalam dan luar negeri yang lebih kukuh.
     Pada tahun 2010, ekonomi global semakin pulih meskipun pada kadar yang tidak seimbang, setelah mengalami penguncupan ekonomi yang paling ketara pascaperang (post war), pada separuh kedua tahun 2009. Pemulihan pesat yang berlaku pada separuh pertama tahun itu disebabkan oleh penambahan semula inventori, sokongan dasar yang berterusan serta kesan asas   (base effect) pertumbuhan yang rendah pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, momentum pemulihan mulai perlahan pada separuh kedua apabila pengaruh faktor yang sementara ini berkurang. Pertumbuhan global didorong oleh aktiviti ekonomi yang kukuh dalam ekonomi sedang pesat membangun, manakala ekonomi maju terus menghadapi isu yang dicetuskan oleh krisis dan isu-isu asas ekonomi. Yang penting, ekonomi sedang pesat membangun menyumbang lebih dua pertiga daripada pertumbuhan global pada tahun 2010.
     Dalam ekonomi maju, pemulihan yang dicapai pada separuh pertama tahun 2010 disokong oleh faktor-faktor seperti rangsangan fiskal dan penambahan semula inventori secara berterusan. Walau bagaimanapun, kadar pemulihan menjadi sederhana menjelang akhir tahun 2010. Keadaan permintaan dalam negeri bagi ekonomi maju kekal sederhana disebabkan oleh kesan krisis kewangan yang berterusan terhadap kedudukan kewangan sektor swasta. Krisis hutang kerajaan yang bertambah buruk di kawasan euro dan pengumuman langkah penjimatan fiskal yang akan dilaksanakan dalam beberapa ekonomi maju terus menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan di negara tersebut.
     Sebaliknya, pemulihan dalam ekonomi sedang pesat membangun terutamanya di Asia adalah sangat kukuh, khususnya pada separuh pertama tahun itu. Pertumbuhan dalam ekonomi ini didorong oleh aktiviti permintaan dalam negeri yang kukuh, perdagangan intrarantau yang pesat berkembang dan juga disebabkan oleh penambahan semula inventori. Selepas mencatat prestasi pertumbuhan yang luar biasa pada separuh pertama, kebanyakan ekonomi Asia terus mengekalkan pemulihan yang kukuh pada separuh kedua, tetapi pada kadar yang lebih sederhana disebabkan oleh peningkatan yang lebih perlahan dalam permintaan luar negeri serta semakin berkurangnya kesan asas (base effect) Ekonomi Asia juga menghadapi tekanan inflasi yang semakin meningkat menjelang separuh tahun kedua, disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, khususnya harga makanan.
     Perbezaan dari segi prestasi pertumbuhan dan langkah dasar yang diambil oleh ekonomi maju serta ekonomi yang sedang pesat membangun telah memberikan implikasi yang ketara terhadap aliran modal, harga aset dan kadar pertukaran global pada tahun itu. Dalam ekonomi maju, pihak berkuasa meneruskan langkah dasar monetari mengembang dengan melanjutkan langkah pelonggaran kuantitatif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya, banyak ekonomi sedang pesat membangun mula mengembalikan dasar monetarinya pada kedudukan yang wajar sebagai respons terhadap prospek pertumbuhan yang lebih baik dan inflasi yang makin meningkat. Akibat perbezaan kadar faedah yang semakin besar dan perbezaan pertumbuhan, serta suntikan mudah tunai global dalam jumlah yang besar hasil daripada langkah pelonggaran kuantitatif, aliran modal yang masuk ke dalam ekonomi sedang pesat membangun telah bertambah ketara. Ini meningkatkan tekanan terhadap harga aset dan kadar pertukaran dalam ekonomi tersebut, lantas menyebabkan pihak berkuasa monetari mengambil langkah yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan aliran modal terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan.
     Krisis pendanaan kerajaan yang bertambah buruk di Greece pada akhir bulan April meningkatkan risiko penularan dalam ekonomi kawasan euro yang lain. Sebagai tindak balas, EU-IMF memperuntukkan pakej penyelamat sebanyak €110 bilion kepada Greece pada 2 Mei. Bagi menenangkan pasaran kewangan, EU-IMF turut mengumumkan pewujudan jaringan keselamatan kewangan sebanyak €750 bilion, yang merangkumi Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (European Financial Stability Facility) sebanyak €440 bilion pada 9 Mei bagi membantu negara di kawasan euro yang menghadapi kesulitan ekonomi.
     Di Malaysia, ekonominya kembali mencatat pertumbuhan yang kukuh, iaitu sebanyak 7.2% selepas mencatat kemerosotan pada tahun 2009. Pertumbuhan dipacu sebahagian besarnya melalui permintaan dalam negeri yang teguh; dan terutamanya melalui aktiviti sektor swasta. Khususnya, penggunaan swasta berkembang mantap sepanjang tahun itu, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, peningkatan pendapatan yang stabil, pengguna yang lebih optimistik dan akses yang berterusan kepada kredit.
     Selepas mengalami penguncupan yang ketara pada tahun 2009, pelaburan swasta meningkat semula dengan kukuh dan mencatat pertumbuhan dua angka pada tahun 2010. Ini mencerminkan peningkatan perbelanjaan modal dalam semua sektor, khususnya sector perkilangan, perlombongan dan perkhidmatan, berikutan keadaan ekonomi dalam negeri yang menggalakkan dalam keadaan permintaan luar negeri yang bertambah baik. Sektor awam terus memberikan sokongan penting kepada ekonomi dalam negeri pada tahun ini melalui pelaksanaan program untuk terus mempertingkat infrastruktur dan sistem penyampaian sector awam.
         Pada tahun 2011, landskap ekonomi dan kewangan global bercirikan lima trend utama. Pertama, momentum pertumbuhan global menjadi sederhana selepas pemulihan kukuh pada tahun 2010, kerana terjejas oleh ketidakpastian yang semakin meningkat berhubung isu fiscal dalam ekonomi maju, ketegangan geopolitik dan bencana alam. Kedua, ketidakpastian ini menyumbang kepada ketidaktentuan yang lebih ketara dalam pasaran kewangan antarabangsa, sementara tindakan penghindaran risiko global yang meningkat menambah tekanan menaik terhadap mata wang selamat (safe-haven currencies). Ketiga, kenaikan harga komoditi yang sangat tinggi ekoran gangguan penawaran dan keadaan cuaca buruk dalam keadaan permintaan yang mampan. Keempat, tekanan inflasi kekal tinggi hampir sepanjang tahun, berpunca daripada faktor penawaran dan permintaan. Khususnya, harga komoditi yang meningkat merupakan penyumbang utama kepada tekanan inflasi. Kelima, ekoran persekitaran ekonomi yang makin mencabar, pendirian dasar monetary dalam beberapa negara beralih daripada usaha mengembalikan dasar kepada kedudukan wajar atau melaksanakan dasar yang ketat kepada dasar akomodatif untuk menyokong pertumbuhan.
     Meskipun persekitaran ekonomi antarabangsa pada tahun 2011 adalah mencabar, ekonomi Malaysia mencatat kadar pertumbuhan yang stabil sebanyak 5.1% (2010: 7.2%). Pertumbuhan pada separuh pertama tahun itu adalah lebih sederhana, terutamanya pada suku kedua, berikutan ekonomi telah terjejas oleh kelemahan yang menyeluruh di ekonomi-ekonomi maju dan gangguan dalam rantaian bekalan perkilangan global yang disebabkan oleh bencana di Jepun. Walaupun persekitaran ekonomi global menjadi semakin mencabar dan tidak menentu pada separuh tahun kedua, pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Permintaan dalam negeri mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2011, didorong oleh perbelanjaan sektor isi rumah dan perniagaan, serta penggunaan sektor awam yang lebih tinggi.
         Landskap ekonomi antarabangsa pada tahun 2012 adalah lebih mencabar berbanding dengan tahun sebelumnya. Pertumbuhan global meningkat dengan lebih sederhana secara serentak apabila keadaan ekonomi yang semakin lemah di beberapa ekonomi utama menjejaskan perdagangan antarabangsa yang seterusnya memberikan kesan limpahan negatif terhadap aktiviti dalam negeri ekonomi sedang pesat membangun. Prospek pertumbuhan global yang lebih rendah berserta keadaan ketidakpastian fiscal semasa yang berterusan dalam ekonomi maju, secara kumulatif telah menyumbang kepada ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran kewangan.  
     Ekonomi Malaysia mencatat prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada tahun 2012, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.6% (2011: 5.1%). Pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang mengurangkan kesan negatif daripada persekitaran luar yang lemah. Permintaan dalam negeri mencatat kadar pertumbuhan tertinggi bagi dekad ini, disokong oleh perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang lebih kukuh. Daya tahan permintaan dalam negeri yang berterusan disokong sebahagian besarnya oleh asas-asas makroekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan seimbang, sistem kewangan yang lebih kukuh dan lebih maju, serta dasar makroekonomi yang lebih fleksibel.
     Ekonomi global berkembang pada kadar yang sederhana pada tahun 2013, dengan momentum pertumbuhan yang tidak sekata antara ekonomi. Dalam ekonomi maju, pertumbuhan terus bertambah baik secara beransur-ansur, dipacu oleh pemulihan sektor swasta di Amerika Syarikat (AS). Kawasan euro pulih daripada kemelesetan manakala aktiviti ekonomi di Jepun bertambah baik berikutan pengenalan dasar yang merangsang pertumbuhan. Walau bagaimanapun, kadar pemulihan adalah sederhana kerana ketidakpastian dasar dan kekangan struktur terus menjejaskan permintaan secara keseluruhan.
     Berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada trend lazim sejak beberapa tahun yang lalu, pertumbuhan dalam ekonomi sedang pesat membangun menjadi sederhana kerana kelemahan yang berpanjangan dalam permintaan luar negeri menular ke dalam ekonomi domestik. Beberapa ekonomi sedang pesat membangun juga memperkenalkan langkah-langkah dasar untuk menangani kelemahan dalam negeri yang mungkin wujud, lantas menyebabkan permintaan dalam negeri menjadi agak sederhana. Di samping itu, perubahan jangkaan pasaran terhadap dasar monetari AS yang kembali kepada kedudukan yang wajar menjelang separuh kedua tahun 2013 menyebabkan kebalikan aliran modal yang besar daripada ekonomi sedang pesat membangun. Berlatarkan perkembangan ini, inflasi global menurun, mencerminkan keadaan permintaanyang sederhana dalam banyak ekonomi dan harga komoditi bukan tenaga yang lebih rendah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023

Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...