Isnin, 24 Jun 2019

masih dalam proses

walaupun tak lengkap, tapi bolehlah sekadar rujukan.

https://drive.google.com/drive/u/1/my-drive



KERJA KURSUS EKONOMI-KISAH DI SEBALIK DATA

Apabila calon sudah memperolehi data terkumpul, sudah pasti masalah yang timbul kemudiannya adalah bagaimana nak menganalisa data. Adalah lebih baik mendapat pandangan guru anda hala tuju analisa data anda. Anda boleh melihat beberapa contoh analisa data yang dibuat agensi-agensi yang boleh dipercayai seperti di dalam Laporan Ekonomi Tahunan terbitan Kementerian Kewangan ataupun Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia. Dari situ anda boleh mendapat ke arah mana analisa yang akan anda buat dan contoh carta dan jadual untuk dipersembahkan di dalam laporan akhir anda.

ini adalah contoh analisa data yang dibuat oleh Jabatan Akautan Negara Malaysia di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2014


Hutang Awam merupakan salah satu sumber yang membantu dalam menjana pembangunan
negara dalam persekitaran defisit fiskal. Ianya penting dalam memastikan kelangsungan
pelaksanaan projek-projek yang memberikan manfaat besar kepada peningkatan kualiti hidup
dan kesejahteraan rakyat serta membantu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.

Hutang Awam merangkumi pinjaman Kerajaan Persekutuan daripada sumber dalam dan luar negeri
yang terdiri daripada terbitan sekuriti hutang iaitu Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan,
Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Pinjaman Pasaran Luar Negeri yang terdiri daripada Sukuk Global. Bantuan Luar Negeri pula merupakan pinjaman bersindiket yang diperolehi daripada kerajaan
asing dan institusi kewangan antarabangsa bagi membiayai projek yang berupaya menjana ekonomi,
memberi impak pembangunan dan meningkatkan kemajuan sosial masyarakat. Selain daripada itu,
terbitan Sukuk Perumahan Kerajaan dan pinjaman berjangka juga diperoleh bagi membiayai  Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan.






Pada 31 Disember 2014, Hutang Awam Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM582,828 juta. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM42,970 juta iaitu 8.0% berbanding RM539,857 juta pada tahun 2013. Sebanyak RM566,052 juta (97.1%) daripada Hutang Awam adalah daripada instrumen dalam negeri manakala RM16,776 juta (2.9%) adalah daripada sumber luar negeri.

Peratus hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 54.06% yang menunjukkan sedikit penurunan berbanding 54.84% pada tahun 2013. Aspek yang sentiasa
diberi perhatian seiring dengan peningkatan jumlah hutang adalah pertambahan kos pinjaman
yang perlu ditanggung oleh Kerajaan. Kawalan dan pemantauan terhadap perbelanjaan kerana
hutang sentiasa dilaksanakan bagi memastikan ia tidak menjadi beban kepada kewangan
negara. Pada tahun 2014, sebanyak RM22,588 juta dibelanjakan bagi pembayaran faedah,
diskaun atas sekuriti, caj komitmen dan bayaran pengurusan bagi mendapatkan pinjaman.
Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM1,812 juta (8.7%) berbanding 2013.


Persembahan analisa, carta dan jadual memang menarik. Cuma analisa data di dalamnya kurang menyatakan kisah di sebalik nombor berbanding analisa yang dilakukan di dalam Laporan Ekonomi Bab 4 Kewangan Sektor Awam 2014 terbitan Kementerian Kewangan.

Kerajaan Persekutuan mencatat RM568.9 bilion terutamanya disebabkan oleh terbitan hutang
domestik yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan pembiayaan. Hutang dalam negeri
menyumbang 97.1% atau RM552.7 bilion dengan SKM dan TPK mewakili 91.1% manakala pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM16.2 bilion. Pemegang utama SKM dan TPK termasuk institusi perbankan (27.5%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (21.8%) dan syarikat insurans (6.2%) manakala pegangan asing pula telah meningkat kepada 30.5%. Permintaan oleh pelabur luar
yang menggalakkan adalah selaras dengan keinginan pelabur untuk melabur dalam instrumen
yang selamat dan lebih berkualiti serta kadar pulangan lebih tinggi dalam suasana lebihan
kecairan tunai dan volatiliti pasaran kewangan global. Peningkatan kehadiran pelabur asing
dalam pasaran modal juga menggambarkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan dan asas makroekonomi Malaysia. Pada akhir Jun 2014, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat 52.8% daripada KDNK, masih di bawah tahap berhemat dan terurus iaitu 55% daripada KDNK. Walaupun paras hutang meningkat, Kerajaan akan memastikan komitmen untuk membayar balik tanggungan hutang akan dipenuhi sewajarnya. Bayaran khidmat hutang, yang merujuk kepada bayaran faedah ke atas pinjaman, dijangka kekal terurus pada 10.3% daripada hasil (2013: 9.7%), masih jauh di bawah paras 15% seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal.

Berikutan definisi semula, hutang luar negeri kini adalah terdiri daripada pinjaman luar pesisir
oleh Kerajaan Persekutuan, perusahaan awam dan sektor swasta serta pegangan sekuriti hutang
dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, hutang perdagangan
yang diberikan oleh rakan dagang luar negeri dan liabiliti hutang yang lain. Pada akhir Jun 2014,
berikutan definisi baharu ini, hutang luar negeri mencatat RM729 bilion atau 67.6% daripada
KDNK, yang mana pinjaman luar pesisir sektor awam mewakili 9.2% daripada KDNK, sementara
sektor swasta meliputi 21.9% manakala pegangan sekuriti hutang, deposit dan kredit perdagangan
dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin mencakupi 36.5%. Peningkatan ini terutamanya
disebabkan oleh pinjaman luar pesisir yang lebih besar oleh sektor swasta dan pegangan sekuriti
hutang dan deposit dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin.


HARUS DIINGAT PERBEZAAN AYAT YANG DIGUNAKAN DALAM LAPORAN EKONOMI TERBITAN KEMENTERIAN KEWANGAN DENGAN AYAT YANG DIGUNAKAN DALAM Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2014 YANG DITERBITKAN JABATAN AKAUTAN NEGARA (ANM) JADI BERHATI-HATI.

Rabu, 19 Jun 2019

JAMINAN KERAJAAN PERSEKUTUAN (GG)


Liabiliti Luar Jangka
Liabiliti Luar Jangka meliputi Jaminan Kerajaan yang terdiri daripada Jaminan Deposit dan Jaminan Berkanun. Liabiliti Luar Jangka akan menjadi liabiliti sebenar kerajaan sekiranya entiti
berkenaan gagal memenuhi obligasi perjanjian atau berlaku sesuatu peristiwa tertentu.


INI ADALAH Artikel dari Laporan Tahunan Kementerian Kewangan 2017
Jaminan Kerajaan: Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi
Pengenalan
Seiring dengan perubahan struktur ekonomi negara, Kerajaan terus memanfaatkan sumber menerusi instrumen fiskal terutamanya melalui percukaian dan perbelanjaan awam. Selain itu, instrumen fiskal lain yang penting ialah Jaminan Kerajaan (GG). Secara umumnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mentakrifkan jaminan ke atas pinjaman sebagai satu ikatan perjanjian sah di mana penjamin bersetuju untuk membayar sebahagian atau keseluruhan jumlah pinjaman yang perlu dibayar sekiranya peminjam gagal untuk membayar balik pinjaman.1
Dalam konteks GG, Kerajaan bertanggungjawab untuk menjelaskan bayaran sekiranya peminjam
gagal memenuhi tuntutan pinjaman. IMF tidak mengambil kira GG sebagai hutang langsung Kerajaan tetapi mengklasifikasikannya sebagai liabiliti luar jangka eksplisit dan dilaporkan sebagai nota kepada penyata kewangan Kerajaan.  Sebagai instrumen fiskal, GG mempunyai kelebihan berbanding perbelanjaan langsung terutamanya bagi pelaburan yang dapat menjana aliran tunai mapan dalam jangka panjang. Selain itu, pemberian GG adalah wajar apabila Kerajaan melalui entitinya, lebih sesuai melaksanakan pelaburan kerana persekitaran yang tidak menentu atau pihak swasta tidak berupaya untuk menanggung risiko pelaburan tersebut.
Tadbir Urus
GG di Malaysia adalah tertakluk di bawah Seksyen 14 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].
Akta ini memberi mandat kepada Perbendaharaan Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal yang boleh memberi jaminan bagi pihak Kerajaan. Seksyen tersebut juga menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai hak untuk memberi sebarang jaminan kecuali dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan.
Secara khususnya, GG dikawal selia di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan)
1965 [Akta 96] yang membenarkan Kerajaan untuk memberi jaminan ke atas pinjaman, bon, pembiayaan patuh Syariah atau sukuk yang dibuat oleh badan korporat atau entiti tertentu, iaitu
badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat kerajaan negeri atau anak syarikat. Pinjaman atau pembiayaan yang bersandarkan kepada GG mesti dibuat di atas nama entiti
tersebut, sama ada dalam mata wang tempatan atau asing. Entiti tersebut bertanggungjawab
untuk membuat bayaran balik, manakala Kerajaan kekal sebagai penanggung obligasi kedua
perjanjian tersebut. Selagi GG berkuat kuasa, entiti tersebut tidak dibenarkan untuk membuat
sebarang pinjaman atau pembiayaan lain tanpa kebenaran Kerajaan. Selain itu, di bawah Seksyen
8 Akta ini, entiti peminjam bertanggungjawab untuk membayar balik jumlah bayaran (termasuk
faedah atau kadar keuntungan) bagi liabiliti yang ditanggung oleh Kerajaan di bawah GG.
Manfaat
Matlamat utama GG adalah untuk memudahkan pengagihan risiko dalam pembiayaan pembangunan
infrastruktur bagi memenuhi keperluan rakyat dan memacu ekonomi ke arah negara maju dan
berpendapatan tinggi. Kemudahan GG telah membuka peluang kepada penglibatan sektor swasta
dalam agenda pembangunan negara dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi. Peruntukan
Kerajaan menerusi perbelanjaan mengurus dan pembangunan memerlukan peruntukan yang
besar tetapi dikekang oleh pertumbuhan hasil dan konsolidasi fiskal. Di samping itu, berikutan
peningkatan pelbagai keperluan perbelanjaan dan sumber yang terhad, GG memberi ruang
fiskal kepada Kerajaan untuk melaksanakan program dan projek infrastruktur yang memberi
manfaat besar kepada rakyat. Keutamaan diberikan kepada projek yang menghasilkan pulangan
jangka panjang dan kesan pengganda yang tinggi.
Sehubungan itu, fasiliti GG memudahkan entiti untuk melaksanakan projek pembangunan
terutamanya projek infrastruktur dan sosial serta projek berkepentingan nasional dan
strategik. Memandangkan sesetengah projek bersifat sosial, terdapat entiti yang tidak berupaya
menanggung risiko bagi melaksanakan projek seperti infrastruktur pengangkutan awam,
utiliti dan pendidikan. Oleh itu, risiko projek ini adalah lebih wajar dikongsi bersama dengan
Kerajaan. GG yang diperoleh dapat memberi keyakinan dan kepastian kepada entiti untuk
menguruskan pendedahan risiko.
GG juga dapat membantu sesebuah entiti mendapatkan pinjaman dengan terma yang lebih
baik dan melindungi entiti tersebut daripada risiko pembiayaan dan kecairan. Keadaan ini
berlaku terutamanya kepada projek pembangunan berskala besar yang memerlukan kepakaran
teknikal yang tinggi bagi memastikan projek tersebut berdaya maju. Memandangkan negara
mempunyai penarafan kredit berdaulat yang baik, kemudahan GG membolehkan entiti tersebut
memperoleh pembiayaan atau bon dengan kadar kupon yang rendah, jadual pembayaran balik
yang fleksibel dan dalam keadaan tertentu, dikecualikan daripada syarat cagaran aset. GG juga
membolehkan projek dilaksanakan lebih awal dan kos diagihkan dalam tempoh yang lebih
panjang, seterusnya mengurangkan kos keseluruhan projek.
Pengurusan Risiko
GG sentiasa dikaitkan sebagai antara sumber risiko fiskal. Risiko kredit entiti harus dinilai dengan
menyeluruh dan dipantau dengan teliti bagi memastikan obligasi pembiayaan tidak menjejaskan
kedudukan kewangan Kerajaan. Langkah ini diambil kerana tanggungjawab Kerajaan menjelaskan
bayaran akan wujud sekiranya peminjam gagal untuk membayar balik pinjaman. Walaupun
GG bukan satu bentuk liabiliti langsung kepada Kerajaan, namun ia diklasifikasikan sebagai
liabiliti luar jangka dan dilaporkan setiap tahun dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan sentiasa mengkaji dan menambah baik proses dan syarat pemberian GG bagi mengurangkan
risiko kepada kewangan Kerajaan. Antara langkah yang diambil termasuk mengenakan fi jaminan
ke atas sesetengah terbitan berdasarkan tahap risiko sesuatu projek. Kedudukan kewangan
dan bayaran balik pinjaman entiti sentiasa dipantau rapi bagi memastikan aliran tunai adalah
stabil dan mencukupi untuk membayar balik pinjaman. Kerajaan juga memantau penggunaan
dana pinjaman bagi memastikan dana berkenaan dibelanjakan mengikut tujuan pembiayaan.
Di samping itu, syarat pematuhan dan sekatan dimasukkan ke dalam perjanjian pembiayaan
tertentu bagi melindungi kepentingan pelabur dan mengurangkan risiko kepada Kerajaan.
Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Risiko Fiskal dan
Liabiliti Luar Jangka2 pada Mei 2016. Peranan utama Jawatankuasa Teknikal ini adalah untuk
mengenal pasti sumber risiko fiskal, termasuk GG dan mengesyorkan langkah yang sesuai
bagi menangani risiko tersebut. Jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk membuat penilaian
semula ke atas semua liabiliti Kerajaan dan mengkaji kebarangkalian risiko pelaksanaan projek
pembangunan berskala besar menggunakan kemudahan GG.
Status Semasa
Portfolio GG sedia ada merangkumi pelaburan yang dibuat dalam pelbagai segmen. Sebahagian
besar GG adalah untuk membiayai projek infrastruktur awam, antaranya transit aliran massa
(MRT) dan transit aliran ringan (LRT), lebuh raya, lapangan terbang serta pelabuhan kontena
dan jambatan bertol. GG juga diberikan kepada syarikat pegangan pelaburan yang menceburi
pelaburan strategik serta kepada entiti yang memberi pinjaman pendidikan tertiari dan
perumahan kakitangan awam. Selain itu, GG disediakan kepada entiti dalam sektor utiliti
terutamanya untuk menaik taraf bekalan air dan elektrik. Bagi sektor kewangan, institusi
kewangan pembangunan (DFI) boleh mendapatkan pinjaman pasaran untuk menyediakan
kemudahan pembiayaan kepada PKS serta projek pembangunan yang strategik.
Pada akhir 2016, jumlah hutang GG adalah
RM187.3 bilion atau 15.2% daripada KDNK.
Kadar pertumbuhan purata tahunan hutang GG
adalah lebih rendah iaitu 4.3% dalam tempoh
dua tahun yang lalu berbanding 14% bagi
tempoh 2012 – 2014. Keadaan ini berikutan
proses saringan yang lebih selektif dan ketat
serta penilaian risiko yang lebih teliti. Kirakira
97% daripada hutang GG adalah dalam
mata wang ringgit manakala bakinya terdiri
daripada yen dan dolar AS. Oleh itu, volatiliti
kadar tukaran mata wang memberi kesan yang
minimum kepada portfolio GG. Di samping itu,
profil purata kematangan GG adalah 8.6 tahun
pada akhir 2016 yang menunjukkan kebanyakan
jaminan mempunyai tempoh matang pinjaman
yang panjang. Lebih 80% daripada hutang
yang dijamin oleh Kerajaan dijangka matang
selepas 2020, justeru mengurangkan risiko
pembiayaan semula. Senarai GG terkumpul
diterbitkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan
Persekutuan dan dibentangkan di Parlimen
setiap tahun. Selain itu, data jumlah GG suku
tahunan diterbitkan di National Summary Data
Page, Bank Negara Malaysia, selaras dengan
Dissemination Standards Bulletin Board oleh IMF.
Sorotan Pelaburan GG
Pembiayaan projek infrastruktur melalui GG telah membawa kesan positif kepada pembangunan
negara. Perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang sepanjang 51 kilometer yang telah
beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai 2017 merupakan antara kejayaan Kerajaan dalam
memenuhi keperluan rakyat. Kepakaran sektor swasta dimanfaatkan dengan MRT Corp sebagai
rakan penyampaian projek dan DanaInfra sebagai penerbit sukuk. Sehubungan itu, Kerajaan
dapat mengehadkan risiko pelaksanaan dan pertambahan kos projek. Malah, Kerajaan berjaya
mengurangkan kos pembinaan laluan tersebut kepada RM21 bilion dengan penjimatan sebanyak
RM2 bilion daripada anggaran kos asal.
Di samping itu, kemudahan GG telah mempercepat langkah pengukuhan DFI dan meningkatkan
keupayaan bank-bank terbabit. Sebagai contoh, Bank Pembangunan Malaysia Berhad telah
berjaya mengurangkan kebergantungan kepada GG setelah melancarkan program pembiayaan
bertaraf AAA. Kejayaan tersebut menunjukkan keyakinan pasaran dan pelabur terhadap
keupayaan bank tersebut untuk menguruskan pinjaman infrastruktur. Kemudahan GG juga telah
mengurangkan beban kewangan Kerajaan dalam menyediakan suntikan modal secara langsung
kepada DFI dan membolehkan peruntukan disalurkan bagi membiayai projek berorientasikan
sosial seperti sekolah dan hospital.
Secara umumnya, kemudahan GG membolehkan projek dan program dilaksanakan dengan
jayanya. Bertentangan dengan tanggapan bahawa GG telah menjejaskan pelaburan sektor
swasta, GG sebenarnya telah meningkatkan pelaburan dan penyertaan sektor swasta dalam
ekonomi. Berikutan ini, sektor swasta telah tampil sebagai pemacu pertumbuhan dan pemangkin
pembangunan ekonomi.
Melangkah ke Hadapan
Walaupun pengurusan profil risiko GG telah ditambah baik, namun terdapat keperluan untuk
terus memperkukuh pengurusan risiko GG bagi memastikan pendedahan risiko kepada
kedudukan fiskal Kerajaan adalah minimum. Kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap
kepentingan memantau GG dengan lebih teliti memandangkan ia merupakan sumber utama
liabiliti luar jangka. Melangkah ke hadapan, rangka kerja penilaian risiko akan ditambah baik
dengan proses taksiran yang lebih ketat dan teratur berdasarkan amalan terbaik. Langkah ini
bagi memastikan risiko kredit dan kebarangkalian kegagalan entiti membayar balik pinjaman
adalah rendah. Pemantauan terbitan pembiayaan GG juga adalah penting bagi mengurangkan
risiko kecairan serta melancarkan terbitan pembiayaan kerana ia boleh mempengaruhi kadar
kupon pembiayaan. Sementara itu, fi GG akan dikenakan berdasarkan profil dan pendedahan
risiko kepada Kerajaan bagi mengatasi isu bahaya moral. Skop dan tempoh GG akan dihadkan
tertakluk kepada segmen pelaburan dan jangka hayat aset yang dicadangkan.
Elemen penting lain yang wajar diambil kira dalam rangka kerja fiskal adalah penilaian dan
penetapan tahap pendedahan risiko berdasarkan metodologi yang kukuh. Kerajaan juga sedang
meneliti langkah untuk memperkenalkan had siling untuk terbitan GG seperti yang diguna
pakai dalam pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan. Langkah ini akan meningkatkan lagi
keberkesanan pengurusan liabiliti dalam rangka kerja fiskal Kerajaan.
Kesimpulan
GG memainkan peranan penting dalam memudahkan dan merancakkan pembangunan ekonomi
di Malaysia bagi memastikan pertumbuhan yang pesat dan inklusif. Sebagai sebahagian
daripada komponen pengurusan risiko fiskal, Kerajaan akan terus melaksanakan pemantauan
dan pengurusan secara aktif bagi memastikan kemudahan GG berdaya maju dan mapan dalam
jangka panjang. Pelaksanaan amalan terbaik dalam menguruskan GG membolehkan Kerajaan
meningkatkan keberkesanan bagi mencapai konsolidasi fiskal dan menyokong agenda
transformasi negara.







HUTANG KERAJAAN PERSEKUTUAN 2013-2017-ISI KANDUNGAN

Kepada calon STPM yang menggunakan data terkini berhubung Hutang Kerajaan Persekutuan sebagai bahan kajian, ini cadangan ISI KANDUNGAN untuk anda.


ISI KANDUNGAN

BIL
PERKARA
MUKA SURAT
1         
Penghargaan

2         
Abstrak

3         
Latar belakang

4         
Penyataan masalah

5         
Tujuan/objektif kajian

6         
Kaedah kajian


6.1
Kaedah Memperolehi Data


6.2
Kaedah analisa data

7         
Hasil Kajian Dan Perbincangan


7.1
Akaun Kewangan Kerajaan Persekutuan 2013-2017



7.1.1
Hasil Kerajaan Persekutuan 2013-2017



7.1.2
Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan 2013-2017


7.2
Sumber pembiayaan Kerajaan Persekutuan 2013-2017



7.2.1
Penggunaan Harta



7.2.2
Pinjaman domestic Kerajaan Persekutuan 2013-2017



7.2.3
Pinjaman luar negeri Kerajaan Persekutuan 2013-2017


7.3
Hutang Kerajaan Persekutuan 2013-2017



7.3.1
Hutang Domestik Kerajaan Persekutuan 2013-2017




7.3.1.1
Profil Kematangan Hutang




7.3.1.2
Pemilik Utama Hutang




7.3.1.3
Pegangan Pemastautin dan Bukan Pemastautin



7.3.2
Hutang Luar Persisir Kerajaan Persekutuan 2013-2017




7.3.2.1
Pemilik Utama Hutang




7.3.2.2
Bantuan Luar Negeri


7.4
Jaminan Kerajaan Persekutuan / Liabiliti Luar Jangka



7.4.1
Jaminan Deposit



7.4.2
Jaminan Berkanun

8         
Cadangan

9         
Penutup/Rumusan kajian

10     
Senarai rujukan

11     
Lampiran

Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023

Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...