Khamis, 29 Ogos 2019

Last minutes

Itulah manusia.  Tema dah keluar April. September baru terhegeh. Maaflah. First come first served. Dapatan DATA terbaik adalah dari Penyata Kewangan  Kerajaan Persekutuan yang telah diaudit yang boleh diakses dari laman web Jabatan Akautan Negara Malaysia (ANM). yang best siap ada nota tentang pinjaman dalam negeri dan luar negeri yang lengkap dari tarik pinjaman jumlah pinjaman jumlah bayar balik dan baki pinjaman. Rasanya tak rampai pelajar akan terfikir nak cari Penyata Akaun Kerajaan Malaysia sebagai bahan rujukan utama bagi kajian TEMA Hutang Kerajaan Persekutuan. Hanya yang berpengalaman tahu mana nak cari maklumat tersebut. tak pun dibertitahu oleh seseorang.
Penyata Akaun Memorandum Hutang Awam (Bantuan Luar Negeri)
Penyata Akaun Memorandum Hutang Awam (Pinjaman)
Pelajar boleh dapat maklumat lengkap tentang berapa kali terbitan SKM, TPK Tahun pilihan pelajar bersekali nilaian terbitan.
HANYA ADA DENGAN lengkap dalam PENYATA KEWANGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Isnin, 5 Ogos 2019

Ekonomi Malaysia 2008-2013

EKONOMI MALAYSIA 2008
Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.6% pada tahun 2008 meskipun berlaku kegawatan dalam kewangan antarabangsa dan kemerosotan ketara dalam persekitaran ekonomi global. Permintaan dalam negeri yang kukuh, terutamanya penggunaan swasta yang mampan dan perbelanjaan awam yang kukuh, menyokong pertumbuhan sepanjang tahun itu. Walaupun permintaan luar negeri kukuh pada separuh pertama tahun 2008, keadaan ekonomi global yang merosot dengan ketara dan mendadak serta pembetulan yang besar dalam harga komoditi pada separuh kedua tahun telah membawa kepada penguncupan prestasi eksport Malaysia pada bahagian akhir separuh kedua tahun itu. Memandangkan tahap keterbukaan ekonomi Malaysia yang tinggi, penguncupan eksport telah menjejaskan pendapatan dan permintaan dalam negeri. Aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta menjadi sederhana dengan ketara pada suku keempat tahun 2008 Pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 7.1% dalam separuh pertama tahun 2008, disokong oleh permintaan dalam dan luar negeri yang kukuh. Permintaan dalam negeri diterajui oleh penggunaan swasta yang berkembang kukuh dan berterusan, disokong oleh peningkatan pendapatan boleh guna yang stabil, keadaan pasaran pekerja yang positif dan persekitaran pembiayaan yang memuaskan. Permintaan luar negeri disokong oleh harga komoditi yang sangat tinggi dan jumlah eksport yang kukuh. Permintaan daripada negara serantau juga kukuh.
Apabila kemerosotan global semakin buruk pada separuh kedua tahun 2008, dengan beberapa ekonomi maju yang utama mengalami kemelesetan dan pertumbuhan beberapa ekonomi serantau menyederhana dengan nyata, permintaan luar negeri bersih merosot dengan ketara. Walau bagaimanapun, pertumbuhan KDNK benar kekal positif pada separuh kedua tahun itu, dengan berkembang secara sederhana sebanyak 2.4%, disokong oleh penggunaan awam yang kukuh dan pengembangan penggunaan swasta yang berterusan. Bonus untuk kakitangan awam, pembayaran rebat tunai subsidi minyak dan akses berterusan kepada pembiayaaan telah menyokong penggunaan swasta ketika keadaan guna tenaga yang kian lemah telah menjejaskan sedikit sebanyak sentimen pengguna. Persekitaran ekonomi global yang semakin merosot juga telah mendorong kepada kemerosotan aktiviti pelaburan swasta pada separuh kedua tahun itu. Dari segi penawaran, pertumbuhan pada enam bulan pertama tahun itu telah didorong oleh prestasi sektor perkhidmatan yang teguh lantaran keadaan permintaan dalam negeri yang mantap, dan pengembangan aktiviti perdagangan dan pelancongan. Sokongan berterusan dating daripada sektor perkilangan berikutan permintaan luar negeri yang teguh daripada pasaran bukan AS dan eksport keluaran berasaskan sumber yang lebih tinggi yang turut mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi. Sektor pertanian juga meningkat pada kadar yang lebih kukuh disebabkan terutamanya pengembangan pengeluaran minyak sawit mentah. Walau bagaimanapun, sektor perkilangan, terutamanya industri berorientasikan eksport, menjadi lemah pada separuh kedua tahun itu, sejajar dengan kemerosotan permintaan global dan pembetulan mendadak harga komoditi. Sektor perkhidmatan terus menyokong ekonomi pada separuh kedua tahun itu, walaupun pertumbuhan menjadi sederhana disebabkan pertumbuhan perlahan subsektor perkhidmatan yang bergantung pada aktiviti berkaitan perdagangan dan pasaran modal.
Sejajar dengan aktiviti ekonomi yang kukuh pada separuh pertama tahun 2008, keadaan pasaran pekerja teguh sepanjang tempoh itu. Bagaimanapun, keadaan pasaran pekerja mula lembap pada separuh kedua tahun itu apabila syarikat-syarikat, terutamanya dalam sektor perkilangan, bersikap berhati-hati ketika permintaan luar negeri merosot. Oleh itu, kadar pengangguran bertambah kepada 3.7% pada tahun 2008, apabila jumlah guna tenaga berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding dengan peningkatan dalam tenaga kerja. Walaupun tekanan inflasi semakin meningkat pada separuh pertama tahun itu, tiada bukti berlakunya kenaikan upah berlebihan sebagai tindak balas terhadap harga yang lebih tinggi. Kaji Selidik Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia menunjukkan bahawa gaji purata dalam sektor swasta bertambah sebanyak 5.9% pada 2008 sejajar dengan trend tempoh terdahulu. Sementara itu, produktiviti pekerja meningkat lagi pada tahun 2008 dan terus menyokong kenaikan gaji dan pertumbuhan upah. Inflasi berada pada trend menaik pada lima bulan pertama tahun 2008 ekoran peningkatan dalam harga makanan dan bahan api global, hingga mencecah paras tertinggi pada pertengahan tahun. Kadar inflasi, walau bagaimanapun, naik dengan mendadak pada suku ketiga ekoran pelarasan 40.4% ke atas harga bahan api runcit pada bulan Jun. Kadar inflasi mencatat paras tertinggi kepada 8.5% pada bulan Julai.
Penurunan harga makanan global dan juga penurunan harga komoditi yang cepat telah membawa kepada pembetulan mendadak dan pesat bagi seluruh harga komoditi global. Hal ini mengakibatkan penyusutan harga makanan dalam negeri dan harga bahan api pada suku keempat. Bagi keseluruhan tahun itu, inflasi keseluruhan berpurata pada 5.4%. Kedudukan luaran kekal kukuh pada separuh pertama tahun 2008, disebabkan terutamanya oleh lebihan akaun semasa yang besar. Akaun semasa disokong oleh lebihan dagangan yang ketara besar berikutan pertumbuhan yang lebih kukuh pada kedua-dua eksport komoditi dan perkilangan berasaskan sumber, dalam keadaan harga komoditi yang tinggi. Akaun perkhidmatan terus mencatatkan lebihan, disebabkan perolehan yang lebih tinggi daripada pelancongan. Akaun kewangan turut mencatatkan lebihan yang besar pada separuh pertama tahun 2008, disebabkan aliran masuk pelaburan langsung asing dan pelaburan lain yang kukuh. Lebihan yang besar pada akaun semasa terus mampan pada separuh kedua tahun 2008, disebabkan eksport yang lebih sederhana telah diimbangi oleh penyusutan dalam import. Walau bagaimanapun, imbangan pembayaran secara keseluruhan pada separuh kedua tahun 2008 mencatatkan defisit bersih. Ini disebabkan aliran keluar bersih yang besar dalam akaun kewangan, yang lebih daripada mengimbangi lebihan dalam akaun semasa. Aliran keluar bersih dalam akaun kewangan adalah disebabkan terutamanya oleh kebalikan aliran portfolio pelaburan yang banyak berikutan aktiviti pembayaran balik hutang oleh institusi kewangan ekoran krisis kewangan global yang semakin buruk.
Ekonomi Malaysia menghadapi krisis kewangan global dalam keadaan kedudukan ekonominya yang kukuh. Ini disebabkan terutamanya oleh sistem kewangan yang lebih teguh selepas negara menghadapi krisis kewangan Asia sedekad yang lalu di samping struktur ekonomi yang lebih seimbang dan pelbagai. Kedudukan luaran negara juga berdaya tahan, dengan hutang luar negeri yang rendah, lebihan akaun semasa yang mampan dan paras rizab luar negeri yang tinggi. Sektor kewangan adalah mantap, dengan mudah tunai dan penampan modal yang kukuh. Memandangkan ketidakpastian dalam persekitaran luaran yang berlanjutan, tindak balas dasar tertumpu pada usaha menyokong permintaan dalam negeri, dengan memastikan pengembangan berterusan dalam penggunaan swasta dan perbelanjaan awam, serta mengelakkan pengangguran yang meluas.

EKONOMI MALAYSIA  2009
Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1.7% pada tahun 2009, iaitu tahun ekonomi global mengalami kemerosotan terburuk dalam sejarah moden. Ekonomi negara merasai kesan kemelesetan ekonomi global sepenuhnya pada suku pertama apabila ia merosot sebanyak 6.2%. Kemerosotan ini adalah penguncupan asas tahunan yang pertama bagi KDNK benar sejak suku ketiga 2001. Kejatuhan yang teruk dalam permintaan global dan perdagangan dunia menyebabkan eksport dan pengeluaran perindustrian di Malaysia merosot pada kadar dua angka. Berikutan tahap keterbukaan ekonomi yang tinggi, kemerosotan permintaan luar negeri telah menjejaskan guna tenaga, pendapatan serta sentimen keseluruhan sektor perniagaan dan pengguna lantas mengakibatkan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta pada suku pertama 2009 merosot. Pertumbuhan pada suku tersebut juga terjejas oleh pengeluaran inventori yang besar, terutamanya dalam sektor perkilangan dan komoditi. Walau bagaimanapun, pelaksanaan langkah rangsangan fiskal yang dipercepat, pelonggaran dasar monetari yang agresif dan pengenalan langkah komprehensif untuk memastikan akses kepada pembiayaan yang berterusan telah menyumbang kepada penstabilan ekonomi dalam negeri pada suku kedua. Ini disusuli oleh pemulihan pada separuh kedua tahun tersebut. Di samping perbelanjaan awam yang lebih tinggi, langkah-langkah dasar tersebut juga membantu memulihkan sentimen sektor swasta, yang bersama-sama dengan keadaan pasaran pekerja yang semakin baik, telah menyebabkan pengembangan penggunaan swasta pada separuh kedua 2009. Tanda-tanda bahawa aktiviti pelaburan swasta mula stabil semakin jelas menjelang akhir tahun 2009. Selain itu, permintaan luar negeri menjadi pemangkin pertumbuhan selanjutnya apabila ekonomi global, terutamanya ekonomi serantau, beransur-ansur pulih. Hasilnya, ekonomi Malaysia mendapat momentum pertumbuhannya pada suku keempat, apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5% hasil sokongan permintaan dalam dan luar negeri yang lebih kukuh.
Dari segi penawaran, pertumbuhan pada suku pertama terjejas terutamanya akibat kemerosotan yang ketara dalam sektor perkilangan. Sektor-sektor lain juga menguncup, kecuali sector pembinaan. Dalam sektor perkilangan, industry berorientasikan eksport terutamanya, telah terjejas teruk oleh kemerosotan permintaan luar negeri yang ketara. Namun, sektor perkilangan beransur-ansur pulih dan mencatat pertumbuhan positif pada suku keempat sejajar dengan pemulihan dalam permintaan luar negeri. Sektor perkhidmatan pula merosot sedikit pada suku pertama, disebabkan terutamanya oleh penguncupan subsektor berkaitan dengan aktiviti perkilangan dan perdagangan. Ekoran permintaan dalam negeri yang meningkat, prestasi sektor perkhidmatan secara beransur-ansur menjadi bertambah baik sejak suku kedua, hasil sumbangan pertumbuhan subsektor perkhidmatan yang bergantung pada aktiviti ekonomi dalam negeri dan subsektor berkaitan dengan kewangan dan pasaran modal. Namun, pertumbuhan sector pembinaan kekal positif sepanjang tempoh tersebut terutamanya berikutan pelaksanaan projek berkaitan pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan langkah rangsangan fiskal.
Keadaan pasaran pekerja menjadi sangat lemah pada suku pertama apabila syarikat perkilangan mengurangkan operasi mereka, terutamanya pada dua bulan pertama 2009. Jumlah pemberhentian pekerja meningkat ke paras tertingginya dalam tempoh tujuh tahun, iaitu sebanyak 25,064 orang pekerja pada tahun 2009, dengan separuh daripada mereka kehilangan pekerjaan pada suku pertama. Keadaan pasaran pekerja mula stabil pada suku kedua dan selepas itu menjadi bertambah baik seperti ditunjukkan oleh pemberhentian pekerja yang berkurang dan pengambilan pekerja baharu oleh syarikat. Pemulihan pasaran pekerja yang lebih pantas daripada jangkaan berikutan keadaan ekonomi global dan dalam negeri yang lebih baik telah menyebabkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada 3.7% daripada tenaga kerja, berbanding dengan unjuran awal pada 4.5%. Walaupun persekitaran ekonomi terus mencabar dan produktiviti merosot pada tahun 2009, majikan dalam sektor swasta tetap menaikkan gaji pekerja, meskipun pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 3.4% (2008: 5.1%). Inflasi keseluruhan berpurata pada 0.6% pada tahun 2009 (2008: 5.4%) apabila tekanan inflasi di Malaysia menjadi lebih sederhana, sejajar dengan perkembangan global dan dalam negeri. Keadaan permintaan global yang lemah, terutamanya pada suku pertama 2009, menyebabkan kejatuhan yang besar dalam harga komoditi dunia, terutamanya harga minyak mentah. Berikutan itu, beberapa Negara mengalami tekanan inflasi yang lebih rendah pada tahun itu. Inflasi dalam ekonomi maju mencatat kejatuhan yang besar, sementara inflasi dalam ekonomi pesat membangun juga merosot pada tahun 2009. Kemelesetan inflasi yang paling ketara dicatat oleh Republik Rakyat China (2009: -0.7%; 2008: +5.9%). Kejatuhan harga bahan api dan komoditi dunia serta inflasi yang lebih rendah di negara-negara rakan perdagangan utama Malaysia telah menyumbang kepada inflasi dalam negeri yang lebih rendah. Penurunan harga runcit petrol tempatan secara kumulatif pada separuh kedua 2008, mendorong kepada trend inflasi dalam negeri yang sederhana pada tahun 2009. Kedudukan luaran Malaysia terus kukuh pada tahun 2009 walaupun persekitaran luaran sangat lemah. Akaun semasa terus mencatat lebihan yang besar pada tahun 2009, disokong oleh lebihan perdagangan yang besar dan akaun perkhidmatan yang bertambah baik. Walaupun eksport kasar merosot dengan ketara pada tahun 2009, khususnya pada separuh pertama tahun, lebihan perdagangan kekal besar memandangkan permintaan terhadap eksport yang lebih rendah diiringi oleh kejatuhan dalam import. Akaun perkhidmatan mencatat lebihan yang ketara pada tahun 2009 berikutan perolehan daripada sektor perjalanan yang lebih tinggi berikutan aktiviti perjalanan serantau yang berterusan dan defisit yang lebih kecil dalam perkhidmatan lain. Sementara itu, akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih yang lebih rendah pada tahun itu, sebahagian besarnya disebabkan oleh aliran keluar portfolio yang lebih sederhana pada separuh pertama dan aliran masuk bersih pada separuh kedua. Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing dan aliran keluar bersih pelaburan langsung luar negeri juga menjadi sederhana di tengah-tengah keadaan ekonomi yang lemah. Aliran keluar pelaburan lain, sebahagian besarnya terdiri daripada kredit perdagangan, meningkat pada tahun itu. Memandangkan lebihan akaun semasa yang besar telah lebih daripada mengimbangi aliran keluar bersih dalam akaun kewangan, imbangan pembayaran secara keseluruhan mencatat lebihan pada tahun 2009.
Perkembangan ini menyumbang kepada kenaikan rizab antarabangsa bersih sebanyak RM13.9 bilion lagi. Rizab berjumlah RM331.3 bilion (atau USD96.7 bilion) pada 31 Disember 2009. Ekonomi Malaysia yang terjejas dengan ketara oleh perkembangan ekonomi global pada suku pertama 2009, pulih dengan pantas untuk mencatat pertumbuhan positif pada suku keempat. Selain permintaan luar negeri yang bertambah baik, ekonomi dalam negeri juga disokong oleh pelaksanaan langkah rangsangan fiskal yang dipercepat, persekitaran monetari yang akomodatif dan akses kepada pembiayaan yang berterusan. Tindak balas dasar yang pantas dan komprehensif, yang juga membantu memulihkan sentiment pengguna dan perniagaan, telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan permintaan dalam negeri, iaitu faktor utama yang menyokong aktiviti ekonomi sepanjang tempoh tersebut. Selain itu, sistem kewangan domestik kekal kukuh walaupun persekitaran kewangan antarabangsa makin mencabar. Sistem kewangan meneruskan fungsi pengantaraannya dengan berkesan dan membantu memulihkan permintaan dalam negeri. Secara keseluruhan, asas-asas ekonomi dan kewangan yang kukuh, seperti dicerminkan oleh daya tahan permintaan dalam negeri, kedudukan rizab antarabangsa yang tinggi, hutang luar negeri yang rendah, kadar simpanan yang terus tinggi dan sektor perbankan yang kukuh, telah meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang lebih baik untuk terus berkembang pada masa hadapan.   

EKONOMI MALAYSIA 2010
Pada tahun 2010, ekonomi Malaysia kembali mencatat pertumbuhan yang kukuh, iaitu sebanyak 7.2% selepas mencatat kemerosotan pada tahun 2009. Pertumbuhan dipacu sebahagian besarnya melalui permintaan dalam negeri yang teguh; dan terutamanya melalui aktiviti sektor swasta. Khususnya, penggunaan swasta berkembang mantap sepanjang tahun itu, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, peningkatan pendapatan yang stabil, pengguna yang lebih optimistik dan akses yang berterusan kepada kredit. Keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dicerminkan dalam pertumbuhan guna tenaga yang lebih kukuh, kadar pemberhentian pekerja dan juga kadar pengangguran yang lebih rendah.
Di samping itu, selepas mengalami penguncupan yang ketara pada tahun 2009, pelaburan swasta meningkat semula dengan kukuh dan mencatat pertumbuhan dua angka pada tahun 2010. Ini mencerminkan peningkatan perbelanjaan modal dalam semua sektor, khususnya sector perkilangan, perlombongan dan perkhidmatan, berikutan keadaan ekonomi dalam negeri yang menggalakkan dalam keadaan permintaan luar negeri yang bertambah baik.
Sektor awam terus memberikan sokongan penting kepada ekonomi dalam negeri pada tahun ini melalui pelaksanaan program untuk terus mempertingkat infrastruktur dan sistem penyampaian sector awam. Permintaan luar negeri meningkat semula dengan kukuh pada separuh tahun pertama, disokong oleh permintaan serantau yang kukuh, dan sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas (base-effect) pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, momentum pertumbuhan menjadi perlahan pada separuh tahun kedua, seiring dengan pertumbuhan lebih sederhana dalam perdagangan global dan kesan asas pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya yang semakin berkurang.
Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatat prestasi yang kukuh pada tahun 2010, seiring dengan permintaan dalam negeri yang teguh dan eksport yang meningkat semula.
Sektor perkhidmatan khususnya, mendapat faedah daripada pengukuhan permintaan dalam negeri dan permintaan luar, dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan. Semua subsektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada separuh tahun pertama tetapi pertumbuhan menjadi sederhana pada separuh tahun kedua berikutan permintaan luar negeri yang lebih perlahan yang memberikan kesan kepada subsektor perkhidmatan berkaitan perdagangan dan perkilangan. Namun begitu, pertumbuhan yang mampan dalam penggunaan dalam negeri terus memberikan manfaat kepada subsektor yang bergantung pada permintaan dalam negeri.
Sektor perkilangan kembali mencatat pertumbuhan yang mantap, dengan industry kelompok keluaran elektronik dan elektrik serta industri berorientasikan dalam negeri mencatat kadar pertumbuhan dua angka. Walau bagaimanapun, kadar pertumbuhan menjadi sederhana menjelang akhir tahun disebabkan oleh permintaan luar yang lebih perlahan dan kesan asas pertumbuhan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya yang semakin berkurang. Sektor komoditi juga berkembang pada kadar lebih kukuh pada tahun 2010, disokong oleh pengeluaran gas asli dan tanaman makanan yang kekal tinggi. Sektor pembinaan menjadi sederhana, sebahagiannya disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan pada separuh tahun kedua berikutan siapnya projek yang dibiayai melalui pakej rangsangan kedua.
Inflasi keseluruhan berpurata pada 1.7% pada tahun 2010 (2009: 0.6%), dipacu oleh faktor penawaran ekoran harga makanan yang lebih tinggi dan pelarasan harga barangan ditadbir. Faktor penawaran dalam negeri secara relatif lebih dominan mendorong inflasi pada tahun 2010. Pada tahun itu, terdapat satu siri pelarasan yang lebih tinggi terhadap harga runcit petrol RON95, diesel, LPG dan gula, yang merupakan sebahagian daripada langkah pengurangan subsidi oleh Kerajaan yang diumumkan pada bulan Mei. Kesan faktor luaran terhadap harga dalam negeri adalah lebih sederhana pada tahun 2010, dan hanya tertumpu pada jenis makanan terpilih. Ini mencerminkan kenaikan harga global yang ketara untuk gandum dan jagung disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk di Negara pengeluar gandum dan jagung yang utama. Inflasi teras, yang merupakan penunjuk tekanan terhadap harga yang dipacu oleh permintaan, meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 1.5% pada tahun 2010 (2009: 2.7%).
Kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2010. Lebihan akaun semasa kekal besar, tetapi lebih kecil dari tahun 2009, manakala akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih yang lebih rendah. Pengurangan dalam lebihan akaun semasa mencerminkan lebihan perdagangan yang lebih rendah berikutan pertumbuhan import menjadi pesat susulan permintaan dalam negeri yang kukuh pada tahun itu serta mengatasi pertumbuhan eksport. Di samping itu, deficit akaun pendapatan meningkat disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi yang terakru kepada pelabur langsung asing di Malaysia, manakala akaun perkhidmatan kekal dalam lebihan, walaupun dengan amaun yang lebih kecil kerana disokong oleh ketibaan pelancong yang lebih tinggi. Akaun kewangan mencatat aliran keluar bersih yang lebih kecil pada tahun 2010, sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing yang lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi global dan dalam negeri yang bertambah baik. Aliran masuk ini sebahagiannya mengimbangi aliran keluar pelaburan langsung di luar negeri yang lebih tinggi kerana syarikat Malaysia terus meneroka peluang di luar negeri. Aliran keluar pelaburan lain, yang kebanyakannya mencerminkan kredit perdagangan dan penempatan deposit di luar negeri oleh pemastautin, menjadi sederhana pada tahun ini. Selepas pelarasan bagi kesilapan dan ketinggalan, rizab antarabangsa bersih merosot sebanyak RM2.6 bilion kepada RM328.6 bilion, bersamaan dengan USD106.5 bilion, pada 31 Disember 2010.

EKONOMI MALAYSIA 2011
Meskipun persekitaran ekonomi antarabangsa pada tahun 2011 adalah mencabar, ekonomi Malaysia mencatat kadar pertumbuhan yang stabil sebanyak 5.1% (2010: 7.2%). Pertumbuhan pada separuh pertama tahun itu adalah lebih sederhana, terutamanya pada suku kedua, berikutan ekonomi telah terjejas oleh kelemahan yang menyeluruh di ekonomi-ekonomi maju dan gangguan dalam rantaian bekalan perkilangan global yang disebabkan oleh bencana di Jepun. Walaupun persekitaran ekonomi global menjadi semakin mencabar dan tidak menentu pada separuh tahun kedua, pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh. Permintaan dalam negeri mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2011, didorong oleh perbelanjaan sektor isi rumah dan perniagaan, serta penggunaan sektor awam yang lebih tinggi. Penggunaan swasta bertambah kukuh pada tahun 2011, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang menyeluruh, berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik secara keseluruhan.  Selain itu, kakitangan awam juga memperoleh manfaat daripada dua pembayaran bonus setengah bulan gaji pada separuh kedua tahun tersebut, manakala isi rumah di kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada harga getah dan minyak sawit yang lebih tinggi. Pelaburan swasta kekal kukuh, walaupun pertumbuhan menjadi sederhana sedikit pada separuh tahun kedua, disebabkan oleh persekitaran luaran menjadi semakin tidak menentu. Penggunaan awam juga mencatat pertumbuhan yang lebih tinggi pada tahun 2011, sejajar dengan usaha Kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan penyampaian awam. Walau bagaimanapun, pelaburan awam menguncup pada tahun itu berikutan pembayaran perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, pelaburan   oleh perusahaan awam bukan kewangan (PABK) kekal kukuh pada tahun 2011. Walaupun permintaan luar negeri untuk keluaran elektronik dan elektrik (E&E) dipengaruhi oleh perdagangan global yang lebih lemah, eksport komoditi dan keluaran bukan E&E kekal kukuh pada tahun itu, lantas memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan.
Pengembangan yang kukuh dalam permintaan dalam negeri adalah faktor utama dalam memacu pertumbuhan keseluruhan sektor berorientasikan dalam negeri, manakala permintaan serantau yang kukuh memberi sokongan kepada industry perkilangan berkaitan komoditi dan sector pertanian. Sektor perkhidmatan berkembang dengan kukuh pada tahun 2011 dan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada pertumbuhan. Pengembangan teguh penggunaan swasta telah memberikan sokongan kepada subsektor perdagangan borong dan runcit serta penginapan dan restoran. Sektor perkilangan berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam keadaan prestasi yang lemah dalam industri berorientasikan eksport dan dalam negeri. Industri berorientasikan eksport dipengaruhi terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih lemah dan gangguan dalam rantaian bekalan global E&E, manakala industry berorientasikan dalam negeri pula dipengaruhi terutamanya oleh penguncupan industri peralatan pengangkutan berikutan gangguan pada bekalan rantaian. Pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi telah menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor pertanian, sementara sektor pembinaan menjadi sederhana berikutan beberapa projek utama telah disiapkan. Sektor perlombongan menguncup pada tahun 2011 kerana pengeluaran minyak mentah dan kondensat telah terjejas oleh penutupan beberapa buah loji pengeluaran.
Inflasi keseluruhan berpurata pada 3.2% pada tahun 2011 (2010: 1.7%). Peningkatan inflasi, khususnya pada separuh pertama tahun 2011, disebabkan terutamanya oleh faktor penawaran yang berpunca daripada harga makanan yang lebih tinggi dan pelarasan yang lebih tinggi terhadap harga ditadbir. Inflasi mencatat paras tertinggi pada 3.5% pada bulan Jun dan menurun pada separuh kedua tahun itu disebabkan kesan daripada pelarasan lebih tinggi bagi harga keluaran petroleum dan gula pada bulan Julai dan Disember 2010 telah luput. Inflasi teras, iaitu penunjuk tekanan harga berasaskan permintaan, meningkat kepada 2.6% pada tahun 2011 (2010: 1.5%). Kedudukan luaran Malaysia bertambah baik pada tahun 2011.
Imbangan pembayaran secara keseluruhan kembali pulih untuk mencatat lebihan yang kukuh kerana lebihan akaun semasa telah meningkat dan akaun kewangan kembali positif. Lebihan yang lebih besar dalam akaun perdagangan, yang berpunca terutamanya daripada eksport komoditi yang kukuh yang sebahagian besarnya mendapat manfaat daripada harga yang lebih tinggi, dan defisit yang lebih rendah dalam akaun pendapatan, telah menyumbang kepada peningkatan lebihan dalam akaun semasa. Imbangan yang positif dalam akaun kewangan sebahagian besar disebabkan oleh aliran masuk dana portfolio dan pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI). Pelaburan langsung di luar negeri mencatat aliran keluar bersih yang lebih tinggi berikutan syarikat-syarikat Malaysia terus mengembangkan perniagaan ke luar negeri. Aliran keluar pelaburan lain, yang terdiri terutamanya daripada aliran kredit perdagangan dan perbankan, menjadi sederhana dengan ketara pada tahun 2011. Selepas pelarasan bagi kesilapan dan ketinggalan, imbangan pembayaran secara keseluruhan mencatat lebihan yang besar sebanyak RM94.7 bilion. Dengan itu, rizab antarabangsa bersih Bank Negara Malaysia berjumlah RM423.3 bilion, bersamaan dengan USD133.6 bilion, pada 31 Disember 2011.   

EKONOMI MALAYSIA 2012
Ekonomi Malaysia mencatat prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada tahun 2012, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 5.6% (2011: 5.1%). Pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang mengurangkan kesan negatif daripada persekitaran luar yang lemah. Permintaan dalam negeri mencatat kadar pertumbuhan tertinggi bagi dekad ini, disokong oleh perbelanjaan penggunaan dan pelaburan yang lebih kukuh. Berbeza dari tahun 2009 apabila permintaan luaran yang lemah telah menjejaskan aktiviti ekonomi dalam negeri dengan ketara melalui kesannya ke atas pelaburan swasta dan penggunaan swasta, permintaan dalam negeri pada tahun 2012 kekal berdaya tahan. Daya tahan permintaan dalam negeri yang berterusan disokong sebahagian besarnya oleh asas-asas makroekonomi yang kukuh, struktur ekonomi yang lebih pelbagai dan seimbang, sistem kewangan yang lebih kukuh dan lebih maju, serta dasar makroekonomi yang lebih fleksibel.
Meneruskan trend sejak tahun 2011, pembentukan modal tetap kasar mencatat pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2012. Kadar pertumbuhan pelaburan swasta kekal memberangsangkan sepanjang tahun itu, dengan aktiviti pelaburan yang menyeluruh oleh firma merentas kebanyakan sektor. Pelaburan dalam sektor minyak dan gas mencerminkan usaha bersepadu oleh sector awam dan sektor swasta untuk meningkatkan pengeluaran minyak melalui pelaburan baharu dalam medan minyak laut dalam dan medan minyak yang lebih kecil. Pertumbuhan kukuh yang berterusan dalam penggunaan swasta telah mendorong kepada pelaburan yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan berkaitan pengguna dan perkilangan, manakala permintaan serantau yang teguh memberikan insentif yang besar bagi pelaburan dalam sektor perkhidmatan berkaitan pelancongan, seperti industri  Perkhidmatan penerbangan, perubatan dan pendidikan. Persekitaran pembiayaan yang kondusif dalam sector perbankan dan pasaran modal juga menyokong pembiayaan perbelanjaan modal. Di samping itu, pelaksanaan dan kemajuan dalam beberapa projek infrastruktur, termasuk projek yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti   Aliran Transit MY, juga telah memberikan kesanlimpahan positif yang ketara terhadap aktiviti dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dalam negeri. Ekoran perkembangan ini, nilai ditambah dalam sektor pembinaan mencatat pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2012.
Walaupun wujudnya ketidaktentuan dalam persekitaran luar, aktiviti penggunaan terus kukuh pada tahun 2012. Keadaan ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pendapatan yang menggalakkan, persekitaran inflasi yang rendah erta keadaan pembiayaan yang menyokong aktiviti penggunaan. Perbelanjaan isi rumah juga disokong oleh bayaran pindahan Kerajaan kepada isi rumah yang berpendapatan rendah dan sederhana. Walaupun pendapatan di kawasan luar Bandar terjejas akibat kemerosotan harga getah dan kelapa sawit, sebahagiannya telah diimbangi oleh pembayaran sebanyak RM15,000 kepada peneroka FELDA dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion.
Peningkatan aktiviti ekonomi dalam negeri pada tahun itu telah menyebabkan import barangan dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan yang terus kukuh. Pertumbuhan kukuh ini sebahagian besarnya mencerminkan import barangan modal yang mantap, terutamanya import jentera, kelengkapan telekomunikasi serta pesawat penumpang. Import barangan penggunaan juga berkembang sejajar dengan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perbelanjaan pengguna. Import perkhidmatan turut didorong terutamanya oleh pembayaran yang lebih tinggi bagi perkhidmatan profesional dan pembinaan, berikutan aktiviti pelaburan dan pembinaan yang kukuh pada tahun itu. Pembayaran untuk perjalanan juga lebih tinggi, mencerminkan bilangan rakyat Malaysia yang lebih banyak melancong ke luar negeri untuk percutian.
Eksport barangan dan perkhidmatan menjadi sederhana dengan ketara dalam keadaan permintaan luar negeri yang lebih lemah dari ekonomi maju dan ekonomi serantau. Pertumbuhan yang lebih rendah dalam eksport kasar disebabkan terutamanya oleh permintaan yang lebih lemah terhadap komoditi mentah dan keluaran bukan elektrik dan elektronik (E&E). Pada separuh pertama tahun 2012, pertumbuhan dalam eksport bukan E&E disokong oleh permintaan serantau. Walau bagaimanapun, pada separuh kedua tahun 2012, permintaan dari rantau ini terhadap eksport perkilangan dan komoditi merosot, berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam ekonomi serantau utama. Yang ketara, permintaan terhadap minyak sawit mentah dan getah asli yang lebih rendah dialami semasa RR China mengalami pertumbuhan yang lembap dan kawasan euro mengalami kemelesetan ekonomi. Penguncupan dalam eksport komoditi juga diburukkan lagi oleh pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih rendah dan gangguan dalam pengeluaran gas asli. Walaupun mencatat peningkatan kecil, eksport E&E masih lemah disebabkan oleh trend pelaburan dan penggunaan yang lembap dalam ekonomi maju. Eksport perkhidmatan meningkat sedikit disebabkan terutamanya oleh perolehan yang lebih tinggi daripada penyediaan perkhidmatan komputer, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan perniagaan dan professional oleh syarikat Malaysia. Perolehan daripada perkhidmatan pengangkutan merosot dengan nyata, berikutan eksport barangan yang sederhana dan ketibaan pelancong yang lebih rendah. Pertumbuhan ketibaan pelancong yang lebih rendah juga telah menjejaskan penerimaan daripada aktiviti pelancongan bagi tahun 2012.
Pertumbuhan import barangan dan perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding dengan eksport menyebabkan eksport barangan dan perkhidmatan bersih mencatat penguncupan yang lebih besar pada tahun 2012, sekali gus mencatat sumbangan negatif yang lebih besar kepada pertumbuhan KDNK keseluruhan. Walau bagaimanapun, keadaan ini lebih daripada diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada permintaan dalam negeri yang lebih kukuh.

EKONOMI MALAYSIA 2013
Ekonomi Malaysia meningkat 4.7% pada tahun 2013 (2012: 5.6%), didorong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang terus kukuh. Meskipun persekitaran luar negeri lebih lemah pada separuh pertama tahun 2013, permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan sepanjang tahun, dipacu aktiviti sektor swasta yang teguh. Penggunaan swasta kukuh, disokong terutamanya oleh keadaan guna tenaga dan pertumbuhan gaji yang menggalakkan. Pelaburan swasta mencatat pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2013, meneruskan momentum pertumbuhan tahun sebelumnya. Pertumbuhan disokong oleh perbelanjaan modal dalam sektor perlombongan, perkhidmatan dan perkilangan. Walaupun perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan berkurang pada tahun 2013, pertumbuhan pelaburan awam kekal positif hasil daripada perbelanjaan modal perusahaan awam yang terus tinggi.
Prestasi pertumbuhan yang lebih sederhana pada tahun 2013 disebabkan sebahagian besarnya oleh perkembangan di sektor luaran. KDNK benar mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada 4.3% pada separuh pertama tahun 2013 (ST1 2012: 5.4%), akibat terjejas oleh kelemahan permintaan luar negeri yang berpanjangan. Permintaan terhadap eksport Malaysia, terutamanya produk elektronik dan elektrik (E&E), telah menerima kesan akibat pertumbuhan yang perlahan di AS dan aktiviti ekonomi yang lemah di kebanyakan negara Eropah. Permintaan daripada ekonomi maju yang berterusan lemah juga telah memberikan kesan kepada beberapa ekonomi serantau, yang seterusnya melembapkan permintaan terhadap produk bukan E&E Malaysia. Akibatnya, eksport barangan dan perkhidmatan benar merosot sebanyak 2.9% pada separuh pertama tahun 2013. Sebaliknya, import barangan dan perkhidmatan benar terus berkembang pada separuh tahun pertama berikutan pertumbuhan yang mampan dalam pelaburan dan penggunaan dalam negeri. Ini telah menyumbang kepada penguncupan lebih besar dalam eksport bersih.
Akibat daripada prestasi eksport yang lemah, unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun 2013 telah dikurangkan kepada 4.5%-5% pada bulan Ogos, daripada unjuran awal 5%-6%. Unjuran pertumbuhan juga dikurangkan oleh beberapa ekonomi serantau yang lain. Susulan momentum pertumbuhan global yang secara keseluruhannya meningkat pada awal suku kedua 2013, eksport benar Malaysia bertambah baik untuk mencatat pertumbuhan positif 2.3% pada separuh kedua tahun 2013. Berikutan itu, meskipun import benar meningkat dengan lebih kukuh, eksport bersih mencatat penguncupan lebih kecil pada separuh kedua tahun 2013.
Dari sudut penawaran, pertumbuhan permintaan dalam negeri yang terus mantap sepanjang tahun 2013 telah menyumbang kepada pengembangan aktiviti berkaitan dalam negeri di sector perkhidmatan dan perkilangan, manakala industry berorientasikan eksport di sektor perkilangan mendapat manfaat daripada keadaan luar negeri yang bertambah baik pada separuh tahun kedua. Sementara itu, aktiviti yang memberangsangkan dalam subsektor kediaman dan kejuruteraan awam telah menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan yang terus kukuh.

SEMUA INI MERUPAKAN HIMPUNAN DARIPADA LAPORAN TAHUNAN BANK NEGARA MALAYSIA. LAPORAN INI BOLEH DI AKSES DI LAMAN WEB BANK NEGARA MALAYSIA.  
WWW.BNM.GOV.MY

Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023

Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...