Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed
berkata, jumlah itu merangkumi hutang kerajaan Persekutuan (RM741
bilion), jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan (RM132.7 bilion)
serta hutang bersih 1Malaysia Development Bhd (RM32.2 bilion).
Ia
juga meliputi liabiliti lain iaitu perkongsian awam-swasta (PPP),
inisiatif kewangan swasta (PFI) dan PBLT Sdn. Bhd., sebelum ini dikenali
sebagai Pembinaan BLT Sdn. Bhd., syarikat di bawah Kementerian Kewangan
(Diperbadankan) dengan jumlah RM184.9 bilion, katanya kepada pemberita
di Parlimen di sini hari ni.
Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai Penyata Pertama Sesi 2018-2020 bagi Hutang dan Liabiliti Kerajaan.
Beliau
berkata, kerajaan telah beralih kepada perakaunan akruan sejak 2011
selaras dengan manual yang dikeluarkan Tabung Kewangan Antarabangsa
berkenaan Perangkaan Hutang Sektor Awam yang menggunakan asas tersebut.
Kerajaan
juga telah membuat keputusan untuk beralih daripada pelaporan
berasaskan tunai kepada akruan pada 2015 dengan migrasi akan berlaku
sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, katanya.
Mustapa
berkata, perakaunan akruan perlu melihat kepada aset dan liabiliti
sepenuhnya termasuk tanggungan masa depan berbanding tunai yang hanya
melihat kepada transaksi sahaja.
“Perbezaan
dahulu dan sekarang, jawatankuasa ini berkeputusan kita perlu mengambil
kira liabiliti kerana ia merupakan tanggungan kerajaan yang perlu
dibayar,” katanya.
Beliau berkata kedudukan
pinjaman yang ditanggung kerajaan dengan telah menjamin sejumlah RM266
bilion bagi pelbagai entiti juga perlu diambil kira memandangkan
sebahagian entiti tersebut mampu membayar hutangnya sendiri manakala
selainnya telah menjadi tanggungan kerajaan -- pokok dan faedah.
Daripada
jumlah jaminan kerajaan Persekutuan (RM266 bilion), jaminan yang perlu
ditanggung adalah RM137.93 bilion dengan antaranya TRX City Sdn Bhd
(RM3.6 bilion), SRC International (RM485 juta) dan 1Malaysia Development
Bhd (RM5 bilion), katanya.
Beliau berkata,
bagi jaminan yang tidak perlu ditanggung pula berjumlah RM128.54 bilion
termasuk antaranya Perbadanan PR1MA Malaysia (RM5 bilion) dan Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM37.7 bilion).
Dari
sudut projek yang perlu ditanggung sepenuhnya seperti projek di bawah
DanaInfra Nasional Bhd seperti Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 1
yang meminjam sejumlah RM52.74 bilion, ia perlu diambil kira sebagai
liabiliti walaupun dijamin kerajaan sepenuhnya selain merupakan projek
yang baik untuk rakyat dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi.
Mustapa
berkata, mengenai 1MDB, komitmen hutang adalah terdiri daripada nilai
sukuk dan bon yang merangkumi prinsipal (RM32.2 bilion) dan faedah
(RM11.4 bilion) malah setakat ini kerajaan telah membelanjakan sejumlah
RM8.9 bilion sebagai bayaran penyelesaian dan bayaran faedah.
Beliau berkata, beberapa ukuran yang digunakan untuk mengenal pasti beban hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan.
Antaranya,
nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 51.2
peratus dan sekiranya diambil kira hutang serta liabiliti mengikut
prinsip perakaunan akruan ia berada pada paras 75.4 peratus pada akhir
2018, katanya.
Beliau berkata, nisbah
defisit kerajaan pada tahun ini disasarkan pada paras 3.4 peratus
daripada KDNK berbanding perancangan kerajaan sebelumnya yang
menjangkakan diturunkan kepada 2.4 peratus.
Nisbah
bayaran khidmat hutang berbanding hasil kerajaan berada pada paras 13.1
peratus bagi 2018 dan ini bermakna bagi setiap seringgit hasil 13.1 sen
adalah untuk membayar hutang, katanya.
Beliau
berkata, sebagai langkah berhemat, jawatankuasa itu mengesyorkan
beberapa langkah yang perlu dilaksanakan untuk memperkukuh pengurusan di
samping meningkatkan ketelusan dalam konteks hutang dan liabiliti
negara.
Mustapa berkata, hutang ini perlu dipantau rapi berpandukan beberapa nisbah.
“Jawatankuasa
mahu kedudukan hutang dan liabiliti dibentangkan di Parlimen, serta
rekod-rekod dimantapkan untuk mengetahui obligasi berkenaan jaminan
kerajaan (GG), PPP, PFI dan PBLT, serta membuat penilaian dari semasa ke
semasa ke atas senarai yang mampu ditanggung dan tidak perlu
ditanggung,” katanya.
Beliau berkata,
jawatankuasa itu turut menyarankan kerajaan menetapkan had berkanun atau
had pentadbiran ke atas jumlah terkumpul GG manakala peruntukan dan
perbelanjaan untuk membiayai liabiliti lain perlu diperincikan dan
dilaporkan selain memperkenalkan kod butiran khusus dalam anggaran
belanjawan tahunan.
Jawatankuasa juga perlu
mengetahui perbelanjaan sebenar pembayaran hutang, yang dilaksanakan
pada masa ini pada paras 13.1 peratus, kerana ia perlu terus dipantau
dari semasa ke semasa termasuk nisbah khidmat hutang berbanding KDNK
serta nisbah defisit kepada KDNK, katanya.
Beliau
berkata, selain itu jawatankuasa berkenaan mengesyorkan kerajaan
membuat analisis dari semasa ke semasa mengenai beban hutang negara
berbanding negara lain, khususnya negara di rantau ASEAN serta beberapa
negara maju untuk mengetahui kedudukan sebenar negara.
Berdasarkan
jumlah hutang negara, Mustapa berkata isu negara akan bankrap adalah
tidak berkaitan memandangkan setiap negara sememangnya berhutang dan
Malaysia tidak pernah gagal dalam membuat pembayaran.
Beliau
berkata pinjaman bagi menjana pendapatan ekonomi adalah perlu bagi
negara membangun, namun penekanan penting seharusnya diberikan agar
keberkesanan kos bagi projek yang dijalankan serta kemampuan membayar
balik dapat dicapai.
“Kita juga tidak harus
melihat kepada angka sebenar RM1.1 trilion tetapi kepada nisbah yang
relevan berdasarkan kemampuan pembayaran balik melalui projek yang
dilaksanakan bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
“Kerajaan disarankan terus memantau nisbah tersebut kerana ia menentukan kemampuan kita untuk berbelanja,” katanya.
Beliau
berkata walaupun ada pertambahan hutang, ekonomi negara masih terus
berkembang, dan ia antara faktor untuk kerajaan mengambil kira nisbah
berkenaan.
Kerajaan sewajarnya meneruskan langkah konsolidasi fiskal agar nisbah ini dapat diuruskan secara terbaik, katanya. - BERNAMA