|
RENCANA
2009
|
|||
|
BAGAIMANA KEMELESETAN GLOBAL BARU-BARU INI
MEMBERIKAN KESAN KEPADA EKONOMI MALAYSIA? (MS:13)
|
|||
|
Pengenalan
Masalah dalam sistem kewangan Amerika Syarikat (AS) yang
bermula pada pertengahan tahun 2007 berpunca daripada kemerosotan kualiti
aset subprima. Perkembangan buruk ini merebak hingga menjadi krisis kewangan
global yang besar lagi ketara pada separuh pertama 2008. Kegagalan beberapa
buah institusi kewangan AS dan global yang utama pada bulan September 2008
khususnya telah membangkitkan kebimbangan meluas mengenai gangguan sistemik
merentas pasaran kewangan global, yang kemudiannya telah mengakibatkan
‘pembekuan’ pasaran antara bank dan
pasaran kredit di banyak pusat kewangan seluruh dunia.
Meskipun pihak berkuasa melaksanakan langkah kewangan yang besar dan agresif
yang tidak pernah diambil sebelum ini, krisis tersebut menjadi bertambah
buruk apabila lebih banyak kelas aset kewangan mengalami keruntuhan harga lantas
mengakibatkan kesan negatif yang amat besar terhadap pendapatan dan kekayaan.
Fenomena ini bersama-sama dengan kehilangan keyakinan yang meluas juga
menyebabkan kemelesetan serentak dalam kalangan ekonomi maju pada separuh
kedua 2008. Keadaan ini menjadi bertambah buruk pada suku pertama 2009 (Rajah
1).
Berikutan pelaksanaan rangsangan dasar fi skal dan monetari
yang besar, ekonomi global mula menunjukkan tanda-tanda penstabilan pada suku
kedua 2009, sebelumberansur-ansur pulih menjelang akhir tahun tersebut. Walau
bagaimanapun, pemulihan ekonomi global adalah tidak sekata, dengan pertumbuhan
ekonomi maju masih lagi lemah manakala ekonomi sedang pesat membangun pula
lebih kukuh prestasinya. Kemelesetan yang ketara dalam ekonomi maju telah
mengakibatkan kesan limpahan yang nyata kepada ekonomi di rantau Asia
memandangkan hubungan kewangan dan perdagangan yang rapat. Menjelang akhir
tahun 2008, proses pembayaran balik hutang pada peringkat global juga telah
menyebabkan aliran keluar dana portfolio jangka pendek yang besar dari rantau
ini di samping kemerosotan yang ketara dalam aktiviti pembiayaan bank. Ini
mengakibatkan kemerosotan besar dalam pasaran ekuiti dan pasaran hutang,
memperlahankan kemasukan pelaburan langsung asing dan melemahkan nilai mata
wang serantau berbanding dengan dolar AS. Walau bagaimanapun, asas-asas
ekonomi dan sektor kewangan rantau ini yang kukuh membolehkan ekonomi
serantau menangani perkembangan buruk ini dengan baik tanpa mengganggu proses
pengantaraan sistem kewangan domestik. Kemerosotan perdagangan global yang
teruk telah menyebabkan rantau ini mengalami kejatuhan eksport dan
pengeluaran perindustrian yang besar. Ini lantas telah mengakibatkan negara
di rantau ini yang lebih terbuka ekonominya
mengalami penguncupan ekonomi, manakala ekonomi lain pula mencatat kejatuhan pertumbuhan
yang ketara pada suku keempat 2008.
Kesan Kemelesetan Global Terhadap Malaysia
Krisis kewangan global dan aktiviti pembayaran balik hutang
dalam ekonomi maju telah mendorong aktiviti penjualan aset di seluruh dunia,
termasuk di rantau ini, lantas menyebabkan penurunan yang ketara dalam
pasaran ekuiti dan bon serantau. Aliran keluar modal jangka pendek juga
ketara khususnya pada separuh kedua 2008 apabila dana dihantar balik ke AS.
Namun, trend aliran modal tersebut dapat diimbangi oleh pasaran kewangan
domestik memandangkan mudah tunai dalam sistem kewangan adalah lebih daripada
mencukupi dan sistem perbankan pula kukuh. Kedudukan rizab AS yang teguh
turut bertindak sebagai penampan bagi mudah tunai dolar AS dan turun naik dalam
kadar pertukaran dalam tempoh yang bergolak ini. Tambahan pula, reformasi
sektor kewangan dan inisiatif bina upaya secara meluas berikutan krisis
kewangan Asia telah meningkatkan daya tahan sektor kewangan untuk menghadapi
kemelut krisis kewangan ini. Dedahan sistem perbankan domestik terhadap aset
subprima juga terhad.
Sistem perbankan Malaysia berada pada asas yang kukuh semasa
krisis kewangan global meletus. Tahap permodalan sistem perbankan Malaysia
terus kukuh, dengan nisbah modal wajaran risiko pada 14.7% pada akhir
Disember 2009 (akhir 2008: 12.6%), manakala nisbah pinjaman tak berbayar
(NPL) bersih adalah rendah pada 1.8% (akhir 2008: 2.2%). Tahap permodalan
yang kukuh dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam sistem
perbankan telah memastikan fungsi pengantaraan dapat berjalan seperti biasa.
Ini seperti ditunjukkan oleh pengembangan berterusan dalam pinjaman terkumpul
sektor perniagaan dan isi rumah sepanjang tahun 2009. Jumlah pinjaman
perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 2.6% pada akhir tahun 2009 (akhir
2008: 13.2%), sementara pinjaman isi rumah terkumpul terus mapan pada kadar
yang tinggi, iaitu 9.8% pada akhir tahun 2009 (akhir 2008: 9.7%).Memandangkan
Malaysia merupakan ekonomi yang sangat terbuka, kesan kemelesetan global begitu
dirasai oleh sektor yang berkaitan dengan perdagangan luar. Kemelesetan
ekonomi maju mula memberikan kesan kepada ekonomi Malaysia pada suku keempat
2008. Eksport dan pengeluaran perkilangan masing-masing menurun sebanyak 7.4%
dan 11.1% (Rajah 2), manakala aktiviti pelaburan swasta menjadi lembap oleh
keadaan perniagaan yang semakin merosot. Walau bagaimanapun, permintaan dalam
negeri yang berterusan, khususnya penggunaan swasta, memberi sokongan kepada
ekonomi lantas mengelakkannya daripada mengalami penguncupan ekonomi pada suku
keempat 2008 (pertumbuhan KDNK benar: 0.1%).
Malaysia mengalami kesan krisis global sepenuhnya pada suku
pertama 2009, apabila kemelesetan ekonomi maju yang kian meruncing
memburukkan lagi kesan kemerosotan ketara dalam permintaan global terhadap
perdagangan, aktiviti pengeluaran dan pelaburan dalam ekonomi domestik.
Apabila ekonomi maju dan sebilangan ekonomi sedang pesat membangun terjerumus
ke kancah kemelesetan yang teruk pada suku pertama 2009, perdagangan dunia
jatuh dengan ketara sebanyak 28.6% (S4
08: -7.4%). Ini seterusnya telah menjejaskan eksport dari
rantau ini, termasuk Malaysia. Eksport kasar Malaysia merosot sebanyak 20%
pada suku tersebut (S4 08: -7.4%) lalu menjejaskan aktiviti pengeluaran,
khususnya sektor perkilangan (Rajah 3). Sebagai tindak balas terhadap
kemerosotan ketara eksport dan aktiviti pengeluaran, fi rma-fi rma mengambil
langkah mengurangkan kos pekerja dengan membekukan pengambilan pekerja
baharu, memulakan pengurangan gaji dan waktu kerja lebih masa serta
memberhentikan sebahagian daripada pekerja. Jumlah pemberhentian pekerja
meningkat kepada 12,590 orang pada suku pertama, berbanding dengan purata
suku tahunan sebanyak 3,873 orang dalam tahun 2005-2008, terutamanya pekerja
perkilangan. Kadar pengangguran meningkat kepada 4% pada suku pertama 2009
(S4 2008: 3.1%). Walaupun pendapatan isi rumah dalam sector lain yang tidak
terdedah secara langsung kepada permintaan luar tidak terjejas, sikap
berbelanja mereka turut dipengaruhi sentimen yang lemah ekoran keadaan
ekonomi keseluruhan yang lembap di samping ketidakpastian mengenai prospek
pendapatan dan jaminan pekerjaan.
Ini menyebabkan penurunan kecil dalam perbelanjaan penggunaan
swasta sebanyak 0.7%. Jumlah pelaburan pula merosot dengan ketara (-10.8%),
berikutan penguncupan yang besar dalam perbelanjaan pelaburan swasta,
dengan aktiviti pengembangan kapasiti terjejas oleh penurunan
yang besar dalam permintaan luar, penggunaan kapasiti yang lebih rendah daripada
biasa dan keyakinan perniagaan yang semakin lemah. Kesannya, permintaan dalam
negeri agregat menurun sebanyak 2.9% dan ekonomi menguncup dengan nyata
sebanyak 6.2% pada suku pertama 2009 (Rajah 4). Ini merupakan penguncupan
pertama sejak suku ketiga 2001. Ambilan inventori yang besar pada suku itu,
khususnya dalam sektor perkilangan dan komoditi, menyebabkan kemerosotan
pertumbuhan selanjutnya.
Tindak Balas Dasar dan Pemulihan Ekonomi Malaysia
Dalam tindak balasnya kepada krisis global, Kerajaan telah
mengumumkan beberapa langkah dasar untuk mengurangkan kesan buruk daripada
kemerosotan global dan untuk menghalang ekonomi daripada tergelincir ke dalam
kancah kemelesetan (Jadual 1). Langkah-langkah ini tertumpu pada
tiga bidang yang luas, iaitu dasar fiskal (dua pakej
rangsangan berjumlah RM67 bilion atau 9.9% daripada KDNK), pelonggaran dasar
monetari (Kadar Dasar Semalaman dikurangkan sebanyak 150 mata asas kepada
2.00%) dan diperkuat oleh langkah komprehensif untuk memastikan akses kepada pembiayaan
berterusan. Pelaksanaan langkah-langkah ini bukan sahaja memberikan sokongan
secara langsung kepada aktiviti dalam negeri, bahkan sama pentingnya ialah
tindakan ini telah mendorong pemulihan sentimen perniagaan dan pengguna.
Hasilnya, permintaan dalam negeri mencatat penurunan yang lebih perlahan
sebanyak 2.2% pada suku kedua 2009, sebelum pulih untuk mencatat pertumbuhan
positif sebanyak 1.7% pada separuh kedua tahun itu. Yang penting ialah
penggunaan swasta menjadi bertambah baik untuk mencatat pertumbuhan sebanyak
0.5% pada suku kedua, sebelum menjadi lebih kukuh kepada 1.7% pada suku
keempat. Dari segi sektor luar, penstabilan, yang disusuli oleh pemulihan
beransur-ansur dalam ekonomi global sejak pertengahan tahun 2009, terus
menyokong ekonomi Malaysia. Khususnya, pemulihan ekonomi serantau yang kukuh,
terutamanya RR China, memberi manfaat kepada Malaysia, dengan eksport ke
rantau Asia menjadi bertambah baik pada separuh tahun kedua. Eksport Malaysia
ke RR China khususnya kembali pulih untuk mencatat pertumbuhan tahunan yang
positif seawal bulan Ogos. Pemulihan dalam eksport menjadi lebih menyeluruh
menjelang akhir tahun berikutan pemulihan eksport ke beberapa buah ekonomi
maju. Hasilnya, permintaan luar menyumbang secara positif kepada pertumbuhan
pada suku keempat 2009.
Kesimpulan
Sebagai ekonomi yang amat terbuka, Malaysia turut terjejas
oleh kemelesetan ekonomi global yang bermula pada suku ketiga 2008 dan
berterusan hingga suku pertama 2009. Dengan penstabilan pasaran kewangan
global yang disusuli oleh pemulihan dalam ekonomi maju, tindak balas dasar yang
pantas melalui dasar fi skal dan monetari telah memainkan peranan penting
dalam mengekalkan permintaan dalam negeri sepanjang tempoh itu. Asas-asas
ekonomi Malaysia yang kukuh, sistem kewangan yang teguh dan pelaksanaan
langkah sokongan dasar komprehensif yang proaktif telah berjaya menghindarkan
ekonomi negara daripada tergelincir ke kancah pertumbuhan negatif yang lebih
buruk dan berpanjangan. Asas-asas ekonomi dan kewangan yang kukuh telah
menyediakan asas bagi pemulihan yang cepat. Kekuatan dan kestabilan sistem
kewangan domestik sepanjang tempoh ini memastikan pengantaraan kewangan tidak
terganggu dan sektor swasta boleh terus mendapat akses kepada kredit.
Bersama-sama dengan kedudukan kewangan swasta yang kukuh, situasi ini akan mendorong
pemulihan yang cepat dalam permintaan dalam negeri sebaik sahaja krisis
kewangan global terkawal dan ekonomi global kembali stabil. Melangkah ke
hadapan, asas-asas ini akan mencerahkan lagi prospek pemulihan yang lebih
kukuh.
|
|||
|
|
|||
|
Jadual 1: Tindak Balas Dasar untuk Mengurangkan Kemelesetan
Ekonomi
|
|||
|
|
|||
|
TINDAK
BALAS DASAR
|
LANGKAH-LANGKAH
|
||
|
Dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion (suntikan
fiskal langsung: RM22 bilion), dengan tumpuan utama untuk menyokong
permintaan dalam negeri dan mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi global
terhadap segmen ekonomi yang terjejas
|
i.
Pakej
pertama (RM7 bilion)
|
||
|
§
|
Membina, menaik taraf, memperbaik dan menyelenggara kemudahan
|
||
|
§
|
Membina rumah kos rendah dan sederhana
|
||
|
§
|
Program pembangunan modal insan
|
||
|
§
|
Penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi yang lebih pesat
|
||
|
§
|
Bantuan kepada Sektor Swasta
|
||
|
ii.
Pakej kedua
(RM60 bilion)
|
|||
|
§
|
Mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan
|
||
|
§
|
Meringankan beban orang ramai, terutamanya kumpulan yang
mudah terjejas
|
||
|
§
|
Membantu sektor swasta untuk menghadapi krisis
|
||
|
§
|
Membina kapasiti untuk masa hadapan
|
||
|
Rangsangan monetari untuk mengurangkan kos pengantaraan
|
i.
Menurunkan
Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 150 mata asas kepada 2.0% antara bulan
November 2008 hingga bulan Februari 2009
|
||
|
ii.
Mengurangkan
Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 300 mata asas kepada 1.0%
|
|||
|
Langkah komprehensif untuk memastikan akses kepada pembiayaan
yang berterusan, serta meminimumkan kesan kemelesetan ekonomi terhadap sektor
tertentu yang terjejas
|
i.
Memastikan
akses kepada pembiayaan yang berterusan
|
||
|
§
|
Skim pembiayaan dan jaminan untuk PKS dan perniagaan
|
||
|
§
|
Penubuhan Institusi Jaminan Kewangan (Danajamin Nasional Bhd)
|
||
|
ii.
Penyusunan
Semula dan Penjadualan Semula Kemudahan Kredit
|
|||
|
§
|
Fleksibiliti untuk menyusun dan menjadual semula pinjaman
supaya dapat menyelesaikannya dengan lebih awal dengan peminjam
|
||
|
§
|
Peranan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC)
yang dipertingkatkan dan Skim Penyelesaian Hutang Kecil yang lebih meluas
|
||
|
iii.
Langkah
awalan bagi mengekalkan keyakinan terhadap sector kewangan
|
|||
|
§
|
Jaminan penuh bagi semua deposit sehingga akhir tahun 2010
|
||
|
§
|
Kemudahan mudah tunai BNM diperluas kepada pengendali
insurans dan takaful
|
||
|
iv.
Saluran
untuk peminjam mendapatkan bantuan dan penyelesaian
|
|||
|
§
|
Pusat Perhubungan Bersepadu: BNMLINK, BNMTELELINK, Unit
Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat
|
||
|
§
|
Memperluas skop rangkuman Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
|
||
|
§
|
Saluran Bebas Tol ABMConnect
|
||
|
§
|
Unit aduan di institusi kewangan
|
||
|
§
|
Biro Pengantaraan Kewangan
|
||
|
§
|
Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Kecil
|
||
|
Langkah-langkah lain
|
i.
Pengurangan
bahagian caruman pekerja kepada KWSP secara sukarela sebanyak 3 mata
peratusan daripada 11% kepada 8% pada tahun 2009dan 2010
|
||
|
ii.
Membenarkan
pembelian harta tanah komersial yang berharga lebih daripada RM500,000 oleh
orang asing untuk kegunaan sendiri tanpa memerlukan kebenaran daripada FIC
|
|||
|
iii.
Meningkatkan
tahap kelayakan pinjaman kenderaan untuk kakitangan awam
|
|||
|
|
|||
|
MENGEKALKAN DAYA SAING : ISU BERKAITAN DENGAN
MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, KECEKAPAN TENAGA DAN INOVASI DALAM SEKTOR
PERKILANGAN (MS:25)
|
|||
|
Pengenalan
Seiring dengan langkah Malaysia ke arah menjadi ekonomi yang
tinggi nilai ditambahnya, produktiviti, kecekapan tenaga dan inovasi akan
menjadi semakin penting dalam memastikan ekonomi Negara kekal berdaya saing
dan terus bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai ditambah. Sehubungan dengan
ini, sektor perkilangan tidak terkecuali kerana pergantungan kepada daya
saing kos tidak akan dapat bertahan lama dalam jangka panjang. Rencana ini
membincangkan mengenai pelbagai usaha yang diambil dan halangan yang dihadapi
oleh pengilang Malaysia untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan tenaga dan
inovasi dalam persekitaran global yang semakin mencabar. Analisis dalam rencana
ini adalah berdasarkan Kaji Selidik Perkilangan Dwitahunan Bank Negara
Malaysia 2008.1
Produktiviti
Strategi yang selalu digunakan oleh pengilang untuk menaikkan
produktiviti adalah dengan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan automasi
dalam unit pengeluaran yang sedia ada.
Peningkatan kemahiran adalah
penting kerana kira-kira 80% daripada tenaga kerja sector perkilangan
mempunyai kemahiran yang rendah atau sederhana, dan kurang separuh daripada mereka
pernah mendapat latihan formal. Dalam hal ini, kebanyakan peluang latihan dan
latihan semula banyak tertumpu pada peningkatan kemahiran teknikal, dengan
hampir separuh daripada perbelanjaan latihan diperuntukkan untuk tujuan ini.
Dalam usaha untuk meningkatkan automasi, pengilang terus menghadapi beberapa halangan, terutamanya
yang berkaitan dengan kos jentera dan peralatan yang tinggi serta skala
pengeluaran yang tidak cukup besar untuk mewajarkan automasi secara
besar-besaran. Di samping itu, faktor bahawa adalah mudah untuk mendapatkan pekerja
berkemahiran rendah pada gaji yang rendah telah menambah lagi halangan kepada
usaha untuk meningkatkan automasi secara yang lebih giat. Kaji selidik ini
menunjukkan bahawa kira-kira 60% daripada pekerjaan yang dilakukan oleh
pekerja asing berkemahiran rendah boleh, pada tahap tertentu, diautomasikan
(Rajah 1). Pengilang juga mengakui akan kepentingan insentif Kerajaan dalam menyokong
automasi, dengan menyatakan bahawa dana latihan Tabung Pembangunan Sumber Manusia,
pengecualian duti import dan cukai jentera, serta Elaun Pelaburan Semula
sebagai tiga langkah paling berkesan dalam menggalakkan automasi (Rajah 2).
Inovasi
Inovasi, yang diukur melalui tahap aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), adalah penting untuk membolehkan pengilang
bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai. Kira-kira 57% daripada syarikat
perkilangan yang dikaji menjalankan aktiviti R&D pada tahun 2008. Namun,
pengilang menyatakan bahawa halangan besar kepada aktiviti R&D yang lebih
giat ialah kualiti tenaga kerja yang ada. Kini, hanya kira-kira 20% daripada
tenaga kerja sektor perkilangan berkemahiran
tinggi dan pengilang menghadapi kesukaran untuk
mendapatkan pekerja berkemahiran tinggi dan separuh mahir sehinggakan
kekurangan jurutera, juruteknik, penyelia dan pakar kawalan mutu kini berada
pada tahap yang kritikal. Keadaan ini dijangka berterusan untuk
sekurang-kurangnya tiga tahun yang akan datang (Rajah 3). Selain itu, hanya
kira-kira 10% daripada responden yang menjalankan aktiviti R&D pada tahun
2008 menggunakan insentif yang disediakan Kerajaan. Ini kerana pengilang
mendapati keperluan pentadbiran yang terlalu banyak bagi mendapatkan insentif
tersebut menyebabkan mereka keberatan untuk memohon (Rajah 4). Oleh itu,
kebanyakan responden mencadangkan supaya proses permohonan dan kriteria
kelayakan untuk mendapatkan insentif Kerajaan dimudahkan bagi membolehkan
lebih banyak pengilang menggunakan insentif tersebut.
Kecekapan Tenaga
Memandangkan penggunaan tenaga oleh sektor perkilangan adalah
tinggi dan sektor ini juga perlu menanggung kenaikan kos utiliti sejak tahun
2005, kecekapan tenaga (EE)
merupakan komponen penting untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan sektor.
Meskipun pengurusan tenaga diakui sebagai penting, namun memandangkan
kesedaran mengenai faedah EE adalah pada tahap yang berbeza-beza, kurang
daripada 30% syarikat dalam kaji selidik ini mempunyai pengurus tenaga sepenuh
masa, manakala hanya 40% menjalankan audit tenaga sejak tahun 2005. Kaji
selidik ini juga mendapati kurang daripada 20% responden menggunakan pelbagai
insentif Kerajaan untuk EE. Cabaran utama yang dilaporkan dalam pelaksanaan
EE termasuklah faktor keengganan pengilang untuk menanggung kos tambahan bagi
perbelanjaan modal yang besar bagi melaksanakan EE, khususnya kerana pulangan
yang bakal diperoleh daripada pelaburan sedemikian tidak begitu diyakini, selain
faktor kekurangan modal insan terlatih dan maklumat khusus mengenai EE (Rajah
5).
Kesimpulan
Sektor perkilangan Malaysia telah dalam tahap yang
berbeza-beza, menggunakan beberapa strategi seperti meningkatkan kemahiran
pekerja dan automasi, menjalankan aktiviti R&D dan audit tenaga untuk
meningkatkan produktiviti, serta memperbaik kecekapan tenaga dan meningkatkan
inovasi supaya terus berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin
mencabar. Namun, masih terdapat cabaran dan halangan terhadap usaha-usaha ini
yang perlu ditangani segera supaya sektor ini dapat bergerak lebih tinggi
dalam rantaian nilai. Antara isu yang nyata ialah isu berkaitan modal insan, perbelanjaan
pelaburan permulaan yang tinggi dan keperluan pentadbiran yang terlalu banyak
untuk mendapatkan akses kepada insentif dan program pembiayaan.
|
|||
|
|
|||
|
CIRI DAN TREND ALIRAN MODAL DI MALAYSIA (MS:42)
|
|||
|
Malaysia adalah antara ekonomi yang paling terbuka di dunia.
Sepanjang proses pembangunannya, Malaysia telah menjalin integrasi yang kuat dengan
ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa, yang bukan sahaja
menghasilkan pengembangan yang ketara dalam perdagangan, bahkan aliran
pelaburan yang besar. Sejak lebih sekurun yang lalu, Malaysia telah menerima pelaburan
langsung asing yang merupakan penyumbang yang penting kepada pembangunan ekonominya.
Apabila ekonomi Malaysia berubah menjadi lebih maju, ciri-ciri aliran modal
juga berubah mengikut keadaan dalam negara. Dua perkembangan yang berbeza
telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pertama, aliran modal
jangka pendek telah menjadi lebih nyata dalam sistem kewangan Malaysia,
sejajar dengan lonjakan aliran modal sedemikian pada peringkat global. Aliran
modal jangka pendek, khususnya aliran portfolio, telah meningkat dari segi
jumlah dan aspek turun naiknya. Perkembangan ini berpotensi untuk menggugat
kestabilan kadar pertukaran, pasaran kewangan dan sektor ekonomi benar.
Kedua, perkembangan baru-baru ini ialah peningkatan besar dalam pelaburan
luar negeri oleh syarikat Malaysia dalam usaha mencari peluang dan pasaran baharu.
Pelaburan Langsung Asing
Pelaburan langsung asing (FDI) merupakan penyumbang penting
kepada pertumbuhan dan transformasi ekonomi Malaysia, terutamanya dalam
memulakan industri baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran, peluang
pekerjaan, perdagangan dan kemampuan teknologi. Malaysia berjaya menarik masuk
aliran FDI bersih yang berterusan dalam dekad kebelakangan ini, dengan purata
3% daripada KDNK setiap tahun dengan purata tertinggi pada 4.5% pada tahun
2007. Walau bagaimanapun, sejajar dengan trend global, aliran masuk FDI
adalah lebih rendah pada tahun 2001 dan 2009, masing-masing berikutan
berakhirnya gelembung teknologi dan krisis kewangan global. Malaysia mencatat
jumlah sebanyak RM152 bilion dalam aliran masuk bersih FDI pada tempoh 2000 hingga
2009, lebih tinggi daripada jumlah sebanyak RM134 bilion yang diterima pada
tempoh 1990 hingga 1999. Walau bagaimanapun, jika dilihat dari segi bahagian
kepada KDNK, aliran masuk FDI bersih adalah lebih rendah pada tempoh tahun
2000 hingga 2009 (3% daripada KDNK) berbanding dengan tempoh tahun 1990
hingga 1999 (6.3% daripada KDNK). Penyederhanaan ini disebabkan terutamanya
oleh dua faktor. Pertama, aliran masuk FDI ke Malaysia dalam dekad baru-baru
ini semakin banyak disalurkan ke dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai
nilai ditambah yang lebih tinggi, iaitu perkhidmatan kewangan dan operasi
perkhidmatan perkongsian. Skala pelaburan dalam subsektor tersebut adalah
kecil dan juga kurang berintensif modal berbanding dengan sektor perkilangan,
dengan itu melibatkan jumlah pelaburan yang lebih rendah. Namun, yang lebih penting
ialah nilai ditambah dan sumbangan jumlah FDI yang lebih rendah ini kepada
pertumbuhan adalah lebih tinggi memandangkan subsektor tersebut lebih
berintensif kemahiran dan mempunyai produktiviti pekerja yang lebih tinggi.
Kedua, persaingan daripada ekonomi sedang pesat membangun seperti RR China,
India dan Vietnam di samping pusat pelaburan yang telah lama bertapak, iaitu Singapura
dan Hong Kong untuk FDI dalam rantau ini adalah semakin sengit. Sementara
aliran FDI bersih global ke rantau ini meningkat lebih sekali ganda pada
tempoh tahun 2000 hingga 2009 (USD1.4 trilion; 1990-1999: USD0.6 trilion),
bahagian Malaysia kepada jumlah aliran FDI serantau adalah lebih rendah
memandangkan sebahagian besar daripadanya telah mengalir ke RR China.
Dari segi taburannya, aliran masuk FDI ke Malaysia secara
relatif adalah meluas. Walaupun aliran masuk FDI terus didorong oleh
kehadiran syarikat multinasional yang besar dan sudah lama bertapak dalam
sektor perkilangan dan juga pelaburan dalam sektor minyak dan gas di negara
ini, tempoh tahun 2000 hingga 2009 menyaksikan sektor perkhidmatan semakin
banyak menarik FDI. Justeru, bahagian sektor perkhidmatan mencakupi 37%
daripada jumlah aliran FDI dalam tempoh tersebut (1990-1999: 15%), iaitu
peningkatan lebih sekali ganda. FDI dalam sektor perkhidmatan adalah begitu
pelbagai, dengan pelaburan disalurkan terutamanya kepada subsektor
perkhidmatan kewangan, perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar, komunikasi,
pengangkutan, hotel dan perdagangan borong dan runcit. Satu perkembangan yang
amat menggalakkan ialah aliran FDI yang bertambah besar ke dalam sektor
kewangan, termasuk kewangan Islam. Dianggarkan bahawa aliran masuk FDI bersih
ke dalam sektor kewangan berjumlah RM41.6 bilion sepanjang 10 tahun yang lalu
berikutan langkah liberalisasi yang dilaksanakan dalam sektor tersebut. Dalam
sektor minyak dan gas, pelaburan dalam aktiviti huluan kekal ketara dengan
PETRONAS dan rakan kongsi asingnya terus aktif dalam aktiviti penerokaan,
pengeluaran dan pembangunan sumber minyak dan gas asli di negara ini. Selain
itu, sektor perkilangan di Malaysia terus menarik minat FDI dalam bidang
pertumbuhan baharu seperti sumber tenaga boleh diperbaharui dan juga bidang
peralatan perubatan.
Pelaburan Langsung di Luar Negeri
Satu perkembangan penting sejak beberapa tahun kebelakangan
ini ialah peningkatan ketara dalam pelaburan langsung di luar negeri (DIA)
oleh syarikat Malaysia, yang mencatat purata 3.5% daripada KDNK setahun pada
tempoh tahun 2000 hingga 2009, malah pernah mencapai paras tertinggi 6.8%
daripada KDNK pada tahun 2008. Secara kumulatif, DIA bersih mengumpul
sebanyak RM182 bilion sepanjang 10 tahun yang lalu, dengan 78% dijana antara
tahun 2006 hingga 2009. Trend DIA yang meningkat mencerminkan kehadiran
syarikat Malaysia yang bertambah di luar negeri, terutamanya di rantau Asia.
Sebagaimana syarikat-syarikat global yang lain, faktor-faktor yang mendorong
syarikat Malaysia untuk melabur di luar negeri termasuklah usaha memperluas
pasaran bagi produk mereka, mencari bekalan tanah dan pekerja yang lebih
kompetitif, mengembangkan perniagaan dalam industri yang sedang berkembang
pesat, memperoleh jenama dan teknologi, dan memanfaatkan kelebihan berbanding
negara tuan rumah. Khususnya, ekoran pasaran dalam negeri yang terhad,
pengembangan serantau dan global membolehkan syarikat Malaysia mencapai
ekonomi ikut bidangan (economies of scale) dengan memasuki pasaran baharu dan
pasaran yang lebih besar. Pada amnya, syarikat Malaysia yang melabur di luar
negeri juga telah memantapkan operasi dalam negeri mereka dengan meningkatkan
keupayaan dan mempertingkatkan kedudukan masing-masing dalam rantaian nilai
pengeluaran untuk mencapai pengurusan bekalan rantaian bersepadu (integrated supply
chain management) dengan anak syarikat mereka di luar negeri. Ini telah
mempertingkatkan kecekapan keseluruhan mereka supaya mampu bersaing dengan
lebih baik di pasaran global. Oleh itu, pelaburan di luar negeri oleh
syarikat Malaysia yang kian meningkat dalam jangka sederhana akan memanfaatkan
negara dari segi mempunyai syarikat Malaysia yang lebih berdaya saing dan
bersifat global melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat
Malaysia, dividen yang lebih tinggi untuk pemegang saham, dan aliran masuk
yang lebih tinggi daripada keuntungan yang dibawa balik.
Syarikat-syarikat Malaysia juga telah memperluas skop DIA
sejak beberapa tahun lalu. Pada tahun-tahun yang awal, pelaburan dibuat
terutamanya oleh PETRONAS dan syarikat berkaitan perladangan milik Kerajaan,
disebabkan oleh keperluan untuk mencari sumber semula jadi seperti minyak dan
gas serta untuk menambah keluasan tanah yang tersedia untuk kegiatan
perladangan. Namun, kesemua ini telah banyak berubah sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, dengan pelaburan, terutama dalam subsektor perkhidmatan,
dibuat oleh syarikat berkaitan Kerajaan dan juga syarikat swasta, khususnya dalam
sektor perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, utiliti dan perkhidmatan
perniagaan. Sebahagian besar pelaburan disalurkan ke rantau ini, khususnya
ASEAN, Negara-negara Perindustrian Baharu Asia (NIE Asia), RR China dan
negara Asia Barat.
Aliran Pelaburan Portfolio
Satu perkembangan penting dalam tahun 1990an ialah aliran
masuk pelaburan portfolio secara mendadak ke Malaysia. Kemuncaknya adalah
pada tahun 2008, apabila jumlah aliran masuk dan keluar kasar bagi portfolio
ialah 23 kali lebih tinggi berbanding tahun 2000. Selain itu, ciri-ciri yang berbeza
daripada aliran portfolio dalam beberapa tahun kebelakangan ialah adanya
turun naik dalam aliran tersebut. Sejak tahun 2004, telah berlaku beberapa
episod aliran masuk dan keluar dana portfolio yang besar wwsebagai tindak
balas terhadap perkembangan dalam pasaran kewangan global serta perubahan
dalam keadaan ekonomi dalam negeri. Yang ketara, antara tahun 2004 hingga separuh
pertama 2008, Malaysia mendapat aliran masuk bersih portfolio sebanyak RM54
bilion, didorong terutamanya oleh asas-asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta
prospek yang lebih baik bagi syarikat korporat di Malaysia berikutan
pemulihan ekonomi yang kukuh selepas krisis kewangan Asia. Selain itu,
perkembangan pesat dalam pasaran bon dalam negeri telah menarik aliran masuk
pelaburan portfolio asing yang besar ke dalam sekuriti hutang. Kemunculan
sekuriti hutang sebagai kelas aset bagi pelabur asing di samping pelaburan
ekuiti yang lebih konvensional, telah meningkatkan kepelbagaian dalam
komposisi aliran pelaburan portfolio di Malaysia.
Peningkatan aliran masuk dana spekulatif pada tahun 2005 adalah
disebabkan oleh jangkaan penambahan nilai ringgit yang diapungkan pada 21
Julai 2005. Lonjakan aliran masuk portfolio sejak tahun 2005 bagaimanapun
terganggu oleh beberapa perkembangan dalam pasaran luar yang menyebabkan
berlakunya episod aliran keluar oleh pelabur asing. Antara lain, ramalan
kemerosotan infl asi global pada tahun 2006, pembetulan dalam pasaran saham
Shanghai pada bulan Februari 2007 dan meningkatnya ketidakpastian pasaran global
selepas masalah gadai janji subprima di AS pada bulan Julai-Ogos 2007 yang
seterusnya mengakibatkan aliran keluar dana asing apabila pelabur asing mula
menghindari risiko. Yang ketara ialah aktiviti pengurangan hutang oleh
institusi kewangan asing berikutan krisis kewangan global pada separuh kedua
2008 yang menyebabkan pelupusan dana portfolio secara besar-besaran oleh
pelabur antarabangsa, yang seterusnya menjejaskan pasaran sedang membangun di
seluruh dunia termasuk Malaysia. Trend aliran portfolio bertukar arah lalu
menyebabkan aliran keluar bersih sebanyak RM111 bilion antara tempoh separuh
kedua 2008 hingga separuh pertama 2009. Namun, aliran masuk dana portfolio asing kembali semula pada
separuh kedua 2009 apabila prospek pertumbuhan serantau semakin kukuh dan
keadaan pasaran kewangan antarabangsa kembali normal. Ini kemudiannya meningkatkan
kecenderungan pelabur untuk mengambil risiko bagi aset kewangan dalam pasaran
sedang membangun termasuk Malaysia.
Walaupun magnitud pertukaran trend aliran tersebut baru-baru
ini lebih besar berbanding dengan aliran keluar bersih yang dicatat semasa
krisis kewangan Asia memuncak, kesannya kepada ekonomi dalam negeri adalah
kecil kerana Malaysia mempunyai sistem kewangan yang kukuh. Khususnya, pembangunan
pasaran hutang membolehkan pempelbagaian dalam komposisi aliran portfolio ke Malaysia.
Oleh yang demikian, trend aliran yang berubah arah tidak menyebabkan gangguan
yang ketara terhadap mana-mana pasaran aset. Tambahan pula, kedalaman pasaran
kewangan dalam negeri juga menyediakan mudah tunai dan kepekaan harga kepada
perubahan dalam keadaan kewangan, lantas membantu operasi monetari yang lebih
efektif untuk membendung kesan daripada aliran modal yang besar. Kedudukan
rizab antarabangsa yang kukuh telah berupaya mengimbangi aliran keluar dana
tersebut tanpa menjejaskan mudah tunai dalam negeri secara keseluruhan atau mengganggu
fungsi lazim pertukaran asing dan pasaran wang dalam negeri. Oleh yang
demikian, Malaysia bukan sahaja mampu untuk menghadapi pengeluaran dana asing
yang besar bahkan Berjaya keluar daripada kegawatan dalam pasaran kewangan
antarabangsa baru-baru ini tanpa sebarang gangguan yang besar terhadap
ekonomi dalam negeri.
Sementara itu, aliran keluar portfolio yang disebabkan oleh
pelaburan pemastautin di luar negeri terus meningkat sejak beberapa tahun
kebelakangan ini, dengan puratanya sekitar 3.9% daripada KDNK dalam tempoh
tahun 2000-2009. Ini terutamanya dalam bentuk sekuriti ekuiti. Liberalisasi
peraturan pentadbiran pertukaran asing pada tahun 2005 memainkan peranan
penting dalam perkembangan ini kerana memberi fl eksibiliti yang lebih besar
kepada pemastautin untuk melabur di luar negeri. Peningkatan yang besar dalam
portfolio aset luar adalah mirip kepada perkembangan dalam Negara lain di
rantau ini, terutamanya dalam kalangan NIE Asia, yang jumlah portfolio aset
luar yang dijana di peringkat antarabangsa adalah semakin besar.
Pelaburan Lain
Selain pelaburan portfolio, pelaburan lain terdiri
terutamanya daripada pinjaman luar negeri bersih oleh sektor rasmi dan sektor
swasta, penempatan deposit bersih oleh institusi perbankan, serta pemberian
kredit perdagangan, yang secara konsisten mencatat aliran keluar bersih,
berpurata pada 5.6% daripada KDNK sepanjang sepuluh tahun yang lalu. Pinjaman
luar bersih oleh sector rasmi dan swasta telah menyumbang kepada aliran
keluar ini. Komponen lain dalam aliran keluar pelaburan termasuklah aktiviti
oleh institusi perbankan dalam menguruskan mudah tunai mereka.
Ini dicerminkan terutamanya oleh penempatan deposit di luar
negeri dan peminjaman antara bank. Aliran dalam sektor perbankan ini
sebahagiannya disebabkan oleh tindak balas terhadap pergerakan kadar faedah
dan mudah tunai. Sektor swasta bukan bank juga mengalami aliran keluar
sepanjang tempoh ini, terutamanya disebabkan oleh pemberian kredit
perdagangan oleh pengeksport Malaysia dan pembayaran balik kredit perdagangan
oleh pengimport Malaysia. Aliran turun naik yang besar ini didorong
terutamanya oleh keperluan pembiayaan dan keputusan perniagaan oleh sektor
swasta bukan bank.
Rizab Antarabangsa
Perubahan dalam rizab antarabangsa bersih sepanjang sepuluh
tahun kebelakangan ini didorong oleh perkembangan dalam akaun semasa dan
kewangan dalam imbangan pembayaran, khususnya aliran pelaburan portfolio.
Dengan lebihan dalam akaun semasa melebihi defisit akaun kewangan, pengumpulan
rizab luar telah berlaku pada tempoh tahun 2001 hingga 2003. Aliran masuk
dana portfolio yang besar pada tahun 2004 hingga separuh pertama 2005
berserta lebihan yang berterusan dalam akaun semasa telah menyebabkan
kenaikan yang ketara dalam rizab antarabangsa daripada RM168 bilion (USD44.2
bilion) pada akhir tahun 2003 kepada RM297.1 bilion (USD78.2 bilion) pada akhir
bulan Julai 2005. Sementara sejumlah besar aliran masuk ini adalah daripada
tarikan peluang pelaburan yang tersedia berikutan kedalaman pasaran modal
Malaysia, terdapat juga aliran masuk portfolio spekulatif yang ketara dalam
tempoh ini berikutan jangkaan terhadap penjajaran semula kadar pertukaran
ringgit. Namun, aliran masuk spekulatif ini telah bertukar arah pada separuh
kedua 2005 apabila ringgit diapungkan pada bulan Julai 2005 dan rizab menjadi
stabil pada RM265.2 bilion (USD70.2 bilion) pada akhir tahun 2005.
Pada tahun 2007 dan separuh pertama 2008, Malaysia sekali
lagi menerima aliran masuk modal yang besar, terutamanya dana portfolio. Aliran
masuk modal yang besar ini yang ditambah pula oleh lebihan yang berterusan dalam
akaun semasa telah menyebabkan kadar pertukaran menambah nilai dengan ketara
dan peningkatan dalam rizab antarabangsa. Rizab mencapai paras tertingginya
pada bulan Jun 2008 kepada RM410.9 bilion (USD125.8 bilion). Aktiviti
mengurangkan hutang secara besar-besaran berikutan krisis kewangan global
yang semakin teruk telah mengakibatkan aliran keluar portfolio sebanyak RM111
bilion antara separuh kedua 2008 hingga separuh pertama 2009 lantas menyebabkan
penurunan yang besar dalam rizab antarabangsa kepada RM322.9 bilion (USD91.5 bilion)
pada akhir Jun 2009. Jumlah penurunan rizab pada tempoh ini adalah kurang
daripada aliran keluar portfolio bersih memandangkan Malaysia terus mencatat
lebihan dalam akaun semasa pada tempoh ini. Namun, aliran portfolio kembali
semula ke Malaysia mulai separuh kedua 2009. Rizab luar negeri berjumlah
RM331.3 bilion (USD96.7 bilion) pada akhir tahun 2009 dan paras ini memadai untuk
membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan ialah 4.3 kali hutang luar negeri
jangka pendek. Pada 25 Februari 2010, rizab antarabangsa bersih berjumlah
sebanyak RM331.8 bilion (USD96.8 bilion).
Kesimpulan
Kajian mengenai perkembangan aliran modal di Malaysia dalam
tempoh 10 tahun yang lalu telah membangkitkan beberapa pertimbangan dasar
yang penting bagi Malaysia untuk melangkah ke hadapan. Pertama, pelaburan di
luar negeri oleh syarikat Malaysia dijangka akan kekal besar pada masa
hadapan dan perkembangan ini adalah sebagai tindak balas terhadap perubahan
struktur dan persaingan dalam ekonomi serantau dan global. Perubahan
komposisi aliran modal akan menyumbang kepada daya saing jangka panjang,
transformasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kedua, persaingan untuk FDI
akan terus sengit, pada masa hadapan. Malaysia telah menukar strategi untuk
menarik FDI ke dalam aktiviti nilai ditambah yang tinggi dan yang akan
membawa bersamasamanya teknologi baharu, yang diperlukan untuk menyokong
peralihan ekonomi Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
|
|||
|
|
|||
|
PROSES DASAR MONETARI DI BAWAH AKTA BANK NEGARA
MALAYSIA 2009 (MS:88)
|
|||
|
Akta Bank Negara Malaysia 2009 (Akta) yang mula berkuat kuasa
pada 25 November 2009, secara rasminya telah menginstitusikan prosedur untuk
merumuskan dasar monetari yang telah dilaksanakan sejak awal dekad ini. Akta
ini memperuntukkan bahawa dasar monetari hendaklah dirumuskan dan
dilaksanakan secara autonomi oleh Bank Negara Malaysia. Objektif dasar
monetari juga dinyatakan dengan lebih jelas iaitu, ``Dalam menggalakkan
kestabilan monetari, Bank hendaklah membentuk dan menjalankan suatu dasar
monetari yang memenuhi kepentingan negara dengan matlamat utama untuk mengekalkan
kestabilan harga dengan mengambil kira perkembangan dalam ekonomi.´´1 Akta
ini secara rasmi dan dari segi perundangan memperakui bahawa Jawatankuasa
Dasar Monetari
(Monetary Policy Committee, MPC) ialah pihak yang
bertanggungjawab untuk merumuskan dasar monetari dan mengendalikan operasi
dasar monetari. MPC mengandungi 7 hingga 11 anggota, dengan Gabenor sebagai
Pengerusinya. Gabenor dan Timbalan-Timbalan Gabenor akan kekal sebagai
anggota MPC selagi mereka masih memegang jawatan masing-masing. Selain
Gabenor dan Timbalan-Timbalan Gabenor, anggota lain Jawatankuasa ini dilantik
oleh Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia daripada kalangan pegawai kanan
Bank yang mempunyai kepakaran yang berkaitan atas cadangan Jawatankuasa
Tadbir Urus Lembaga. Anggota-anggota Jawatankuasa dari luar Bank boleh
dilantik oleh Menteri Kewangan atas cadangan Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga.
Tempoh keanggotaan dalam Jawatankuasa ini ialah selama tiga tahun dan
kelayakan untuk pelantikan semula tertakluk kepada penilaian prestasi anggota
oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga. Akta ini juga memastikan pelantikan
anggota dalam MPC adalah berlandaskan kriteria yang berhemat. Anggota MPC
perlulah seorang yang jujur, berwibawa dan mempunyai pertimbangan yang baik,
di samping mempunyai kepakaran dan pengalaman yang berkaitan. Tadbir urus
mesyuarat MPC dan kebertanggungjawaban anggotanya adalah berdasarkan kepada
Undang-undang kecil MPC yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah Bank.
Anggota-anggota MPC pada masa ini ialah:
MPC dikehendaki mengadakan mesyuarat seperti yang dijadualkan
sebanyak enam kali setiap tahun. Mesyuarat tambahan akan diadakan sekiranya
perlu.2 Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, anggota-anggotanya akan
membuat penilaian mengenai keadaan ekonomi dan kewangan, serta risiko-risiko
kepada matlamat jangka panjang untuk mencapai kestabilan harga dan kemapanan
pertumbuhan ekonomi negara, sebelum membincangkan dengan terperinci dan
membuat keputusan berhubung dengan pendirian dasar monetari yang sewajarnya.
Dalam membuat keputusan, Jawatankuasa ini menerima pakai kaedah persepakatan
bersama. Oleh yang demikian, Gabenor, sebagai Pengerusi, memainkan peranan
penting dalam mengendalikan mesyuarat dan perbincangan, serta mencapai
sepersetujuan pendapat anggota-anggota Jawatankuasa. Pernyataan Dasar
Monetari3 akan disiarkan setiap kali selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar
Monetari untuk mengumumkan dasar monetari yang dirumuskan. Pernyataan Dasar
Monetari juga memberi maklumat kepada orang ramai mengenai penilaian prospek
ekonomi dan infl asi, serta isu-isu lain yang berkaitan dengan keputusan
dasar yang dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari.
|
|||
|
|
|||
|
PERALIHAN KEPADA EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI :
PERTIMBANGAN DASAR (MS:110)
|
|||
|
Dahulu hingga Kini: Perkembangan Ekonomi Malaysia
Malaysia telah mencapai kemajuan ekonomi yang ketara sejak
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, membangun daripada sebuah ekonomi
berpendapatan rendah kepada ekonomi berpendapatan menengah atas dalam tempoh
lebih setengah abad. Pendapatan per kapita telah meningkat hampir dua puluh
kali ganda dalam tempoh empat dekad lalu, sementara kadar kemiskinan telah
berkurang lebih sepuluh kali ganda. Perubahan struktur yang besar juga telah berlaku
dalam ekonomi. Ekonomi yang sebahagian besarnya berasaskan komoditi utama
dengan kebergantungan tinggi pada getah dan bijih timah pada tahun 1960-an
telah ditransformasikan menerusi kebangkitan sektor perkilangan sebagai
penyumbang utama kepada pertumbuhan pada lewat tahun 1980-an, dan kemudiannya
sektor perkhidmatan sebagai pemacu utama pertumbuhan sejak tahun 2000.
Sepanjang proses pembangunan ini, Malaysia telah memperkukuh dan meningkatkan
integrasinya dengan ekonomi global.
Pada masa ini, Malaysia sedang berdepan dengan persekitaran
ekonomi global yang sedang berubah dengan ketara. Walaupun landskap global
telah berubah secara beransur-ansur pada dekad yang lepas, krisis kewangan
dan ekonomi global semasa telah mempercepat perubahan ini. Yang ketara,
terdapat dua perkembangan berbeza yang menonjol. Pertama, landskap ekonomi global
semakin bersifat berbilang polar dengan peningkatan kepentingan ekonomi
pasaran sedang pesat membangun, terutamanya ekonomi Brazil, Rusia, India dan
RR China (BRIC). Yang penting, kebangkitan ketara RR China telah mengubah
dinamik pertumbuhan di Asia. Faktor struktur yang menggalakkan dalam ekonomi
pasaran sedang pesat membangun itu termasuk golongan kelas pertengahan yang
besar dan semakin bertambah yang akan menyokong permintaan dalam negeri dan
seterusnya pertumbuhan berterusan dalam ekonomi tersebut selepas krisis.
Walau bagaimanapun, krisis tersebut telah mendedahkan beberapa kelemahan
struktur dalam ekonomi maju, yang kesemuanya akan membatasi potensi
pertumbuhan ekonomi tersebut dalam jangka sederhana. Kedua, kebangkitan
ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang secara relatif besar, seperti
BRIC, Vietnam dan Indonesia, juga akan memperhebat persaingan dalam ekonomi
global, bukan sahaja dalam kalangan perniagaan, tetapi juga antara negara
dalam menarik pelaburan dan modal insan.
Dalam persekitaran yang makin mencabar ini, inisiatif
strategik dilaksanakan untuk mengukuhkan fl eksibiliti ekonomi Malaysia
supaya dapat disesuaikan dengan keadaan yang berubah-ubah, untuk memanfaatkan
peluang baharu di samping menangani cabaran yang mungkin timbul. Model ekonomi
sedia ada sedang dikaji semula dan dasar yang menyokong daya saing yang lebih
tinggi, kadar inovasi yang lebih pantas dan peningkatan kepada industri lebih
berintensif pengetahuan merupakan strategi peralihan Malaysia kepada ekonomi
berpendapatan tinggi.
Masa Hadapan: Ciri-ciri Ekonomi Malaysia Berpendapatan Tinggi
Menurut definisi Bank Dunia, sebuah negara berpendapatan
tinggi ialah negara yang mempunyai pendapatan per kapita lebih daripada
USD11,905. Oleh itu, daripada paras semasa USD6,634, Malaysia perlu
meningkatkan pendapatan per kapitanya sebanyak hampir dua kali ganda untuk menjadi
negara berpendapatan tinggi. Selain paras pendapatan, penilaian terhadap Negara
berpendapatan tinggi sedia ada memaparkan lima ciri ekonomi utama, iaitu:
1. Aktiviti ekonomi berintensif inovasi dan pengetahuan
Sebuah ekonomi berpendapatan tinggi adalah berteraskan
pengetahuan dan inovasi berbanding dengan ekonomi yang berteraskan pelaburan.
Semua sektor ekonomi terlibat dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi, dengan
pengetahuan, inovasi dan produktiviti menjadi keutamaan dalam penciptaan
nilai. Bagi Malaysia, berdasarkan asas perkilangan kukuh yang sedia ada dalam
ekonomi, perubahan ke arah aktiviti bernilai tinggi akan didorong oleh
industri sedia ada yang meningkatkan kedudukan mereka dalam rantaian nilai.
Syarikat dalam industri-industri ini akan s makin bergantung pada strategi
kebitaraan (niche) dan juga penambahbaikan yang berterusan, kecanggihan yang
lebih tinggi dan pengkhususan yang lebih mendalam. Beberapa bidang yang
berpotensi termasuklah elektronik bernilai tinggi, perkilangan panel suria,
peralatan perubatan dan minyak sawit hiliran.
Pergerakan ke arah aktiviti bernilai lebih tinggi akan
dilengkapkan oleh pembangunan subsektor perkhidmatan berintensif pengetahuan.
Perkhidmatan moden ini termasuk pengkomputeran, teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT), penyelidikan dan pembangunan (R&D), kesihatan dan pendidikan
serta hiburan. Di samping perkhidmatan berintensif pengetahuan ini,
perkhidmatan berkaitan perkilangan yang sudah berkembang kukuh, seperti
logistik, pemasaran dan penjenamaan juga akan memberikan sokongan yang kukuh
kepada pertumbuhan industri.
Selain itu, sementara syarikat multinasional dan syarikat
tempatan yang besar akan kekal penting kepada ekonomi, perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) akan menjadi tulang belakang ekonomi. Yang ketara, jumlah
besar PKS yang sangat dinamik, berinovatif dan berdaya saing akan menjadi ciri
penting bagi ekonomi Malaysia berpendapatan tinggi.
2. Ekonomi diterajui oleh sektor swasta berteraskan persaingan
Aktiviti ekonomi dalam ekonomi berpendapatan tinggi diterajui
oleh sektor swasta dalam persekitaran yang berdaya saing. Persaingan akan menyumbang
kepada peruntukan sumber yang menjadikan aktiviti ekonomi lebih
memberangsangkan dan dinamik. Bagi pasaran berfungsi dengan cekap dan
berkesan, ketiadaan gangguan pada pasaran, terutamanya yang mengakibatkan
isyarat harga yang tidak sewajarnya merupakan prasyarat yang perlu ada. Walau
bagaimanapun, rangka kerja keinstitusian yang kukuh juga perlu diwujudkan
bagi menangani kemungkinan kegagalan pasaran dan memastikan persekitaran
perniagaan yang berdaya saing dan saksama.
3. Kerajaan sebagai pemudah cara pertumbuhan ekonomi
Oleh sebab ekonomi akan diterajui oleh sektor swasta, peranan
Kerajaan perlu beralih menjadi pemudah cara utama untuk pertumbuhan. Fokus
Kerajaan dalam peranan ini adalah menyediakan persekitaran berdaya saing yang
membolehkan sektor swasta berfungsi dengan cekap. Ini akan melibatkan
terutamanya penyediaan infrastruktur pemboleh, termasuk pengangkutan awam dan
infrastruktur berkaitan Internet yang moden, dan juga penyediaan perkhidmatan
keselamatan dan kemasyarakatan asas, seperti kesihatan dan pendidikan. Di
samping itu, dasar teknologi dan inovasi yang menyeluruh akan menggalakkan
aktiviti bernilai tinggi dan penciptaan pengetahuan. Kerjasama erat antara
sektor awam dengan swasta adalah perlu untuk mencapai matlamat ini dengan
berkesan.
4. Keseimbangan yang lebih baik antara permintaan dalam negeri
dengan permintaan luar
Sejajar dengan trend yang sedang berlaku, ekonomi
berpendapatan tinggi perlu mempunyai model pembangunan yang lebih seimbang.
Sementara kelebihan bersaingan dalam sektor luar akan kekal penting, sektor
dalam negeri perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam memberikan
sumbangan kepada pertumbuhan. Pertama, golongan berpendapatan sederhana yang
lebih besar dan lebih kaya akan menyokong penggunaan swasta yang lebih tinggi
dan lebih canggih. Kedua, peningkatan dalam kualiti pelaburan swasta akan
menyumbang kepada pertumbuhan pekerjaan berpendapatan tinggi dan bernilai
tambah tinggi yang lebih mampan. Pelaburan swasta perlu semakin beralih
daripada yang lebih tertumpu pada pembinaan dan jentera bernilai rendah
kepada automasi dan R&D lebih maju untuk mempermudah pergerakan bagi
meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai di samping menyokong inovasi.
Sementara itu, produktiviti yang tinggi akan melengkapkan peningkatan kecanggihan
modal untuk menghasilkan keluaran dan perkhidmatan yang bernilai tinggi.
5. Integrasi global dan serantau yang lebih mendalam
Memandangkan pasaran dalam negeri adalah kecil, apabila
syarikat menjadi bertambah besar dan lebih kukuh, ia akan meningkatkan
integrasinya dengan rantau dan bahagian dunia yang lain untuk mendapatkan
akses yang lebih baik kepada pasaran yang lebih besar. Integrasi yang lebih
mendalam dengan pasaran antarabangsa akan merangkumi permintaan akhir dan
bekalan input faktor. Bagi Malaysia, integrasi selanjutnya dengan ekonomi
serantau dan ekonomi sedang pesat membangun lain akan menjadi ciri utama
peralihan kepada ekonomi bernilai tambah yang tinggi. Khususnya, trend
pelaburan luar negeri oleh syarikat Malaysia yang meningkat baru-baru ini
dijangka berterusan dan akan membawa lebih banyak manfaat kepada Malaysia
dalam jangka sederhana memandangkan peluang dan pasaran baharu akan
diperoleh.
Strategi untuk Ekonomi Malaysia yang Mampan dan Dinamik
Walaupun pandangan tentang ciri-ciri ekonomi berpendapatan
tinggi secara relatif jelas, tidak
ada sepersetujuan tentang keperluan yang perlu ada untuk berjaya menjadi
ekonomi berpendapatan tinggi. Walau bagaimanapun, pengalaman negara
berpendapatan tinggi memberikan beberapa penunjuk bahawa lima faktor adalah
sangat penting (Rajah 1).
Walaupun maklumat yang banyak mengenai pembangunan tidak memberikan
satu formula pembangunan ekonomi yang jelas, akan tetapi pengalaman dapat
memberikan contoh faktor yang perlu dijauhi (Rajah 2). Yang penting ialah
faktor di sebalik penentuan harga pasaran yang digunakan untuk mengekalkan
daya saing kos yang tidak mencerminkan kedudukan sebenar.
Dalam kebanyakan ekonomi membangun, faktor tersebut wujud
dalam berbagai-bagai bentuk, daripada kawalan harga dan subsidi tenaga,
hinggalah kepada perlindungan terbuka kepada sektor dan industri tertentu.
Walaupun mungkin terdapat keadaan yang mewajarkan penerapan sementara
beberapa langkah ini, dasar sebegitu dalam jangka masa panjang lazimnya
melibatkan kos yang tinggi. Untuk Malaysia melangkah ke hadapan, kekuatan dan
asas yang mantap akan memberikan sokongan kepada pembangunan ekonomi yang
berterusan. Untuk berjaya beralih kepada ekonomi bernilai tambah tinggi,
Malaysia mempunyai potensi untuk memanfaatkan faedah berbanding sedia ada dan
membangunkan keupayaan dan kepakaran yang lebih mendalam. Pembaharuan asas
sememangnya diakui akan diperlukan dalam beberapa bidang ekonomi. Dalam hal
ini, tiga keutamaan strategik penting telah dikenal pasti, iaitu memupuk
tenaga kerja yang berkualiti, menggalakkan persekitaran yang berdaya saing dan
membangunkan infrastruktur pemboleh yang cekap.
1. Tenaga kerja berkualiti dan berbudaya inovasi
Tenaga kerja yang berpengetahuan, berinovatif dan bersikap
keusahawanan adalah penting untuk memacu penciptaan nilai yang perlu dalam
ekonomi berpendapatan tinggi. Justeru, pendidikan dan latihan bertaraf dunia
penting untuk mengembangkan kemahiran dan tenaga kerja yang kreatif. Oleh
sebab itu, Malaysia sedang melaksanakan pembaharuan terhadap sistem
pendidikannya untuk menjadi sistem yang mampu membangunkan kumpulan tenaga
kerja yang lengkap dengan kemahiran dan kecekapan untuk meningkatkan
produktiviti dan pembangunan ekonomi. Dalam hal ini, penekanan yang besar
diberikan terhadap pengukuhan institusi pembelajaran untuk memastikan kualiti
pengajaran yang bermutu tinggi. Berkaitan dengan hal ini, skim gaji dan
ganjaran untuk pensyarah universiti dan guru kini sedang ditambah baik untuk
menarik dan mengekalkan pendidik yang berkualiti. Selain itu, sistem
pendidikan teknikal sedang ditambah baik untuk menyediakan dengan jayanya
tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk sektor perkilangan dan perkhidmatan
bernilai tinggi.
Untuk memastikan kualiti didukung tinggi secara berterusan,
prestasi politeknik utama akan ditanda aras kepada institusi teknikal yang
terkemuka termasuk di Jerman, Austria dan Sweden. Usaha juga sedang
dijalankan untuk melibatkan sektor swasta dalam memastikan kerelevanan dan
keberkesanan sistem pendidikan dalam memenuhi kehendak industri. Meskipun
pembaharuan dalam sistem pendidikan merupakan keutamaan yang amat penting, fleksibiliti
juga diberikan untuk mengambil tenaga kerja global. Dalam hal ini, pelbagai
langkah telah diambil untuk meningkatkan fleksibiliti untuk mengambil pekerja
ekspatriat, sementara inisiatif sedang diambil untuk mengurangkan masalah
penghijrahan cendekiawan (brain drain).
2. Pasaran yang cekap dan berteraskan persaingan
Aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang canggih memerlukan
mekanisme pasaran yang berfungsi dengan baik, berpandukan isyarat harga yang
tidak diganggu, supaya sumber yang terhad diperuntukkan dengan cekap.
Gangguan pasaran akan menyebabkan ketidakcekapan dan pembaziran yang banyak, sementara
dasar bersifat perlindungan menjejaskan struktur insentif asas yang
diperlukan untuk sesebuah masyarakat usahawan yang berkembang maju. Pada masa
ini, beberapa gangguan pasaran wujud dalam beberapa bidang ekonomi Malaysia. Gangguan
pasaran ini saling sangat berkait, dan langkah yang dilaksanakan memberi
kesan kepada pelbagai industri dan sektor dalam ekonomi. Subsidi sedemikian
memberikan bebanan yang berat kepada Kerajaan dan mengalihkan sumber daripada
aktiviti pelaburan lain. Walau bagaimanapun, penghapusan gangguan sedemikian
perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan berturutan untuk
mengelakkan gangguan terhadap ekonomi. Sama penting ialah peruntukan semula
simpanan berikutan terhapusnya gangguan menyeluruh sedia ada memandangkan
terdapat lebih banyak subsidi sasaran dan pemindahan pendapatan langsung
untuk menyokong golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
3. Infrastruktur pemboleh yang meluas dan cekap
Infrastruktur tradisional dan moden memainkan peranan penting
dalam membolehkan peralihan ke arah ekonomi bernilai tambah yang tinggi. Oleh
sebab Malaysia sudah mempunyai infrastruktur fi zikal yang berkualiti tinggi
termasuk jalan raya, pelabuhan dan utiliti, tumpuan kini diberikan pada pembangunan
sistem pengangkutan awam yang cekap, infrastruktur berkaitan dengan Internet
dan infrastruktur berkaitan dengan kecekapan tenaga yang moden, yang penting
dalam menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dan memperbaik produktiviti
keseluruhan ekonomi. Dalam usaha untuk mengembangkan perkhidmatan jalur lebar
di seluruh negara, Kerajaan, melalui perkongsian dengan Telekom Malaysia,
telah memulakan inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi bernilai RM11.3
bilion.
Sejajar dengan langkah Malaysia menerapkan perubahan ini,
pelaksanaan dasar perlu mengambil kira tiga pertimbangan penting. Pertama,
dasar hendaklah dilaksanakan secara beransur-ansur dan berturutan bagi
membolehkan perniagaan dan isi rumah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Kedua ialah pentingnya ketelusan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai
terhadap peluang dan kekangan baharu. Ketiga, sokongan perlu diberikan kepada
golongan berpendapatan rendah untuk meminimumkan kesan negatif sewaktu peralihan,
di samping untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk
meraih manfaat daripada peluang-peluang baharu.
Kesimpulan
Ekonomi Malaysia kini berada di persimpangan yang kritikal
berhubung dengan pembangunan dan kemajuannya pada masa hadapan yang bakal
berdepan dengan banyak cabaran. Sepanjang proses pembangunan Malaysia selama
lebih daripada 50 tahun, ekonominya telah menunjukkan keupayaan dan
fleksibiliti untuk beralih kepada bidang baharu yang mempunyai faedah berbanding
dan juga bidang pertumbuhan baharu. Dalam proses peralihan kepada ekonomi
bernilai tambah yang tinggi masa kini, Malaysia perlu membangunkan bidang
pertumbuhan baharu dan menerapkan model ekonomi baharu untuk pembangunan.
Dengan pembangunan persekitaran ekonomi yang menyokong dan berdaya saing,
yang terdiri daripada tenaga kerja yang berkualiti dan infrastruktur yang
cekap, Malaysia akan bersedia dengan asas-asas yang diperlukan untuk
memanfaatkan trend serantau dan global yang baru muncul dan pantas berubah,
untuk beralih menjadi sebuah ekonomi bernilai tambah yang tinggi.
|
|||
|
|
|||
|
AKTA BANK NEGARA MALAYSIA 2009 (MS:119)
|
|||
|
kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif
bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Akta ini juga menetapkan
bahawa fungsi utama Bank adalah untuk:
(a)
merumuskan
dan mengendalikan dasar monetari di Malaysia;
(b)
mengeluarkan
mata wang di Malaysia;
(c)
mengawal
selia dan menyelia institusi kewangan yang tertakluk kepada undang-undang
yang dikuatkuasakan oleh Bank;
(d)
mengawasi
pasaran wang dan pasaran pertukaran asing;
(e)
mengawasi
sistem pembayaran;
(f)
menggalakkan
sistem kewangan yang kukuh, progresif dan merangkumi semua;
(g)
memegang
dan menguruskan rizab luar negeri Malaysia;
(h)
menggalakkan
rejim kadar pertukaran yang selaras dengan asas-asas ekonomi negara; dan
(i)
bertindak
sebagai penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan kepada Kerajaan.
Dalam melaksanakan matlamat dan fungsi di atas, Bank
dikehendaki mengambil kira kepentingan negara.
Kestabilan monetari
Akta ini menginstitusikan amalan sedia ada Bank untuk
merumuskan dan melaksanakan dasar monetari dengan penubuhan Jawatankuasa
Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC). Kebebasan monetari yang
diberikan kepada Bank sepanjang 50 tahun operasinya dan merupakan teras utama
kepada perumusan dan pelaksanaan dasar monetari yang berkesan, kini
dikanunkan di bawah Akta ini.
Dalam menggalakkan kestabilan monetari, Akta ini menuntut
Bank melaksanakan dasar monetari demi kepentingan negara dengan matlamat utamanya untuk mengekalkan kestabilan harga
dengan mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam ekonomi. Untuk
memastikan keutuhan keputusan dasar monetari, Akta ini memperuntukkan
beberapa ciri perlindungan yang meluas, termasuk memastikan kriteria yang berhemat
digunakan dalam pelantikan ahli MPC, keperluan untuk menyiarkan pernyataan
dasar monetari selepas setiap mesyuarat MPC serta proses membuat keputusan
oleh MPC. Bagi melaksanakan keputusan MPC, Bank diberi fl eksibiliti untuk
mengendalikan operasi monetari melalui pelbagai pilihan instrument (rujuk
rencana ``Proses Dasar Monetari di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009´´). Rejim
kadar pertukaran akan terus ditentukan oleh Menteri Kewangan atas syor Bank.
Bank akan mengendalikan operasi pertukaran asing secara autonomi untuk
menggalakkan rejim kadar pertukaran dan pasaran pertukaran asing yang
berfungsi dengan cekap dan berkesan.
Kestabilan kewangan
Tanggungjawab dan kuasa yang diberikan kepada Bank di bawah
Akta ini memartabatkan kedudukan Bank sebagai pihak berkuasa kestabilan
kewangan Malaysia. Akta ini memberi Bank kuasa yang perlu untuk mengurangkan
kemungkinan terjadinya perkembangan buruk dan kesannya yang boleh menjejaskan
kestabilan kewangan, termasuk proses pengantaraan kewangan, fungsi pertukaran
asing dan pasaran wang yang teratur serta keyakinan orang ramai terhadap
sistem kewangan. Bank terus bertindak sebagai pemberi pinjaman terakhir dan
peranan tersebut kini ditambah untuk membolehkannya memberikan bantuan mudah
tunai kepada entiti yang tidak dikawal selia olehnya tetapi dianggap penting
dari segi sistemik.
Kuasa yang lebih meluas diberikan kepada Bank untuk
menggalakkan kestabilan kewangan termasuk kuasa untuk mendapatkan maklumat
bagi mengenal pasti dan memantau risiko kepada kestabilan kewangan dan
seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan awal. Akta ini juga memberi
Bank kuasa untuk membantu mencari penyelesaian bagi institusi kewangan yang menghadapi
masalah kewangan. Ini adalah bagi memastikan penyelesaian yang pantas dan
teratur lantas mengurangkan kesan dan kos kegagalan sesebuah institusi
kewangan terhadap ekonomi dalam negeri, dan untuk mengekalkan keyakinan orang
ramai. Tindakan yang boleh diambil
oleh Bank termasuk membeli instrumen modal, membiayai pembelian perniagaan
atau instrumen modal institusi yang menghadapi masalah, dan memindahkan serta
meletakkan hak perniagaan atau instrumen modal institusi berkenaan kepada
Bank, institusi kewangan atau individu lain. Akta ini seterusnya menggariskan
rangka kerja kebertanggungjawaban yang jelas bagi tindakan-tindakan tersebut
dan jika tindakan tersebut melibatkan pindahan perniagaan atau instrumen
modal, Akta memperuntukkan proses penilaian bebas. Berikutan kesalinghubungan
yang lebih kukuh antara sistem kewangan negara dengan sistem kewangan global,
Bank juga diberi kuasa untuk menyelaraskan tindakan pencegahan, pengurusan dan
penyelesaian krisis bersama-sama dengan pihak berkuasa pengawalseliaan
kewangan yang lain (rujuk rencana dalam Laporan
Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2009 bertajuk ``Melindungi Kestabilan Kewangan di bawah Akta Bank
Negara Malaysia 2009´´).
Pasaran wang dan pasaran pertukaran asing
Akta ini memberikan kuasa kepada Bank untuk mengawasi pasaran
wang dan pasaran pertukaran asing serta pasaran bagi terbitan yang berkaitan
dengan mata wang, sekuriti dan instrument kewangan lain yang diniagakan dalam
pasaran tersebut. Ini bertujuan untuk membangunkan dan mengekalkan keadaan
teratur dan integriti pasaran tersebut. Pasaran tersebut merupakan komponen
teras sistem kewangan dan mempunyai implikasi yang besar terhadap daya tahan sistem
kewangan. Sehubungan dengan itu, Bank diberi kuasa untuk mengeluarkan kaedah,
kod, piawaian, prinsip atau garis panduan untuk pasaran tersebut. Bank juga
boleh melantik sebuah organisasi kawal selia kendiri (self-regulatory) untuk
pasaran pertukaran asing dan pasaran bagi terbitan yang berkaitan dengan mata
wang, sekuriti dan instrumen kewangan lain yang diniagakan dalam pasaran
tersebut.
Rangkuman kewangan
Akta ini menyatakan dengan jelas bahawa rangkuman kewangan
perlu diterap sebagai salah satu fungsi utama Bank. Rangkuman kewangan adalah
penting untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan selain
memberikan peluang kepada semua segmen ekonomi untuk meraih manfaat daripada
kemajuan ekonomi negara. Bagi tujuan ini, Akta ini memberikan kuasa kepada
Bank untuk mewujudkan dana bagi menyediakan
pembiayaan dalam keadaan mendesak atau kepada mana-mana segmen ekonomi bagi
memperluas rangkuman kewangan.
Kewangan Islam
Berlandaskan infrastruktur perundangan kewangan Islam yang
sedia ada, termasuk Akta Bank Islam 1983, Akta Takaful 1984 dan Akta
Pendanaan Kerajaan 1983, Akta ini memperuntukkan satu rangka kerja
perundangan bagi pembangunan sistem kewangan Islam selanjutnya di Malaysia.
Akta ini juga memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada sistem kewangan
Islam yang beroperasi seiring dengan sistem kewangan konvensional selain
memberikan mandat kepada Bank dan agensi Kerajaan yang lain untuk
mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa. Di bawah Akta
ini, Majlis Penasihat Syariah yang diwujudkan di bawah Akta Bank Negara
Malaysia 1958 dikekalkan, dengan ahlinya yang sedia ada dilantik oleh Menteri
Kewangan. Di bawah Akta ini, ahli Majlis Penasihat Syariah yang baharu
selepas ini akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan peranan
Majlis Penasihat Syariah yang dipertingkatkan. Jika timbul sebarang persoalan
mengenai perkara Syariah dalam mana-mana prosiding mahkamah atau
penimbangtaraan berhubung dengan urusan perniagaan kewangan Islam, pihak
mahkamah atau penimbang tara perlu mengemukakan persoalan tersebut kepada
Majlis Penasihat Syariah untuk mendapatkan keputusan. Keputusan yang dibuat
oleh Majlis Penasihat Syariah wajib dipatuhi.
Pengurusan rizab luar negeri
Bank akan terus menguruskan rizab luar negeri Malaysia. Jenis
aset yang boleh dipegang oleh Bank telah diperluas bagi meliputi sekuriti dan
instrumen kewangan termasuk terbitan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah.
Bank dikehendaki menguruskan rizab luar negeri Malaysia menurut dasar dan
garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengarah.
Penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan kepada Kerajaan
Seperti termaktub dalam Akta Bank Negara Malaysia 1958, Bank
akan terus bertindak sebagai penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan
kepada Kerajaan. Di samping itu, Akta ini juga memperuntukkan Bank untuk
memberikan nasihat kepada Kerajaan yang umumnya adalah berhubung dengan
perkara-perkara ekonomi sesuai dengan kecekapan dan kepakaran Bank.
Kerjasama antarabangsa
Akta ini memberikan kuasa kepada Bank untuk menjalinkan
kerjasama antarabangsa dengan menyertai atau menyediakan sumber kewangan
dalam sebarang pengaturan atau inisiatif dengan bank pusat, pihak berkuasa
monetari atau institusi kewangan antarabangsa yang lain untuk menggalakkan
kerjasama monetari, kewangan atau ekonomi dua hala, serantau atau
antarabangsa. Di bawah Akta ini, Bank akan terus melaksanakan hak dan
tanggungjawabnya berikutan keanggotaan Malaysia atau Bank dalam Tabung
Kewangan Antarabangsa, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, Bank for
International Settlements dan dalam mana-mana organisasi antarabangsa,
sebagaimana diperuntukkan di bawah
undang-undang persekutuan. Bank, dengan kelulusan Menteri Kewangan, juga
diberi kuasa untuk mengeluarkan peraturan atau arahan kepada institusi
kewangan bagi menunaikan tanggungjawab antarabangsa Kerajaan di bawah
ketetapan yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu.
Tadbir urus
Akta ini memperkukuh rangka kerja umum tadbir urus Bank,
terutamanya kuasa pengawasan oleh Lembaga Pengarah. Lembaga Pengarah
bertanggungjawab terhadap pentadbiran am hal ehwal dan urusan Bank serta
kelulusan bagi belanjawan dan pelan operasi Bank. Bagi maksud menjalankan fungsi
pengawasan di bawah Akta ini, Lembaga Pengarah diberi kuasa untuk
mengeluarkan undang-undang kecil. Dalam melaksanakan peranan pengawasannya,
Lembaga Pengarah dibantu oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga, Jawatankuasa
Audit Lembaga dan Jawatankuasa Risiko Lembaga, yang ahlinya terdiri daripada
pengarah bukan eksekutif. Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga bertanggungjawab
memeriksa dan mengesyorkan belanjawan dan rancangan urusan Bank kepada
Lembaga Pengarah untuk kelulusan. Jawatankuasa ini juga akan mencadangkan
calon untuk dilantik sebagai ahli MPC dan Jawatankuasa Bank yang lain. Jawatankuasa
Audit Lembaga bertanggungjawab membantu Lembaga Pengarah dalam pengawasannya
terhadap integriti akaun dan penyata kewangan Bank, keberkesanan sistem
kawalan dalaman Bank, prestasi fungsi audit dalaman Bank dan pematuhan Bank
kepada keperluan undang-undang dan pengawalseliaan.
Jawatankuasa Risiko Lembaga pula bertanggungjawab membantu
Lembaga Pengarah dalam pengawasan terhadap pengurusan risiko operasi Bank. Di
bawah Akta ini, Gabenor dan Timbalan-timbalan Gabenor bertanggungjawab kepada Lembaga Pengarah
atas tindakan dan keputusan mereka. Hal ini selaras dengan tanggungjawab
Lembaga Pengarah untuk sentiasa mengkaji semula prestasi Bank dalam
melaksanakan matlamat dan fungsinya serta penggunaan sumber Bank (bagi perbincangan
lanjut mengenai aspek tadbir urus fungsi kestabilan monetari dan kestabilan
kewangan Bank, rujuk rencana ``Proses Dasar Monetari di bawah Akta Bank
Negara Malaysia 2009´´ dan rencana ``Melindungi Kestabilan Kewangan di bawah
Akta Bank Negara Malaysia 2009´´ dalam Laporan
Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2009).
Kebertanggungjawaban
Akta ini memperuntukkan kebertanggungjawaban Bank kepada
Parlimen, Menteri Kewangan dan orang ramai secara amnya. Bank terus
bertanggungjawab kepada Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di
bawah Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan
Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang
berkenaan. Akta ini juga menghendaki penyata kewangan dan laporan tahunan Bank
dibentangkan di Parlimen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tahun kewangan
Bank berakhir. Sekiranya Parlimen tidak bersidang pada masa tersebut, penyata
kewangan dan laporan tahunan Bank hendaklah dibentangkan pada persidangan
Parlimen yang berikutnya.
Bank perlu mengemukakan penyata aset dan liabilitinya kepada
Menteri Kewangan setiap dua minggu sekali, selain penyata kewangan tahunan
dan laporan tahunan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tahun kewangan
berakhir.
Bank juga dikehendaki memaklumkan kepada Menteri tentang
dasar-dasar berkaitan dengan matlamat utama Bank. Sehubungan dengan ini,
suatu mekanisme telah diwujudkan dalam Akta ini untuk menyelesaikan perbezaan
pendapat antara Menteri dengan Bank berhubung dengan dasar-dasar tersebut. Sekiranya
perbezaan pendapat tersebut tidak dapat diselesaikan, mekanisme tersebut
memperuntukkan supaya perkara tersebut dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi
menentukan sama ada dasar tersebut perlu dilaksanakan oleh Bank. Sekiranya
masih tiada jalan penyelesaian dalam perbezaan pendapat tersebut, ia akan
dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat. Bank dikehendaki memaklumkan
keputusan dasar monetarinya kepada or ang ramai selepas setiap mesyuarat MPC
dengan menyiarkan pernyataan dasar monetari dan rasional bagi keputusan tersebut.
Selain tanggungjawab Bank untuk menyiarkan penyata aset dan
liabilitinya setiap dua minggu sekali, Bank juga perlu menerbitkan penyata
kewangan tahunan dan laporan tahunan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh
tahun kewangannya berakhir.
Kesimpulan
Akta Bank Negara Malaysia 2009 dengan ini menyediakan asas
perundangan yang komprehensif bagi Bank untuk memastikan kestabilan monetari
dan kestabilan kewangan serta menggalakkan sistem kewangan yang progresif,
berdaya tahan dan merangkumi semua bagi menghadapi cabaran landskap kewangan
dan ekonomi abad ke-21 yang semakin pesat berubah.
|
|||
|
|
|||
Blog ini membicarakan tetang proses mendapatkan data sekunder, memproses dan proses seterusnya untuk menyiapkan KERJA KURSUS EKONOMI
Selasa, 31 Disember 2019
BANK NEGARA MALAYSIA-LAPORAN EKONOMI 2009 (RENCANA)
Langgan:
Ulasan (Atom)
Data Hutang Kerajaan Persekutuan Malaysia sehingga 2023
Assalamualaikum Sudah lama tak update isu berkaitan kerja kursus ekonomi STPM. Tak pasti tema apa tahun 2023. Rasanya ada kaitan dengan huta...
-
RENCANA 2009 BAGAIMANA KEMELESETAN GLOBAL BARU-BARU INI MEMBERIKAN KESAN KEPADA EKONOMI MALAYSIA? (MS:13) ...
-
Tema kerja kursus ekonomi STPM boleh dikategori kepada dua jenis. melibatkan data primer data sekunder biasanya guru lebih cenderung k...
-
sebahagian daripada maklumat berkaitan perkembangan pasaran buruh Malaysia dari tahun 2001 sehingga 2012 yagng boleh dicapai dilaman web aca...